[FIKRUL ISLAM] Islam Pembawa Kemaslahatan (Bahagian 2/3)
Penulis: Ustaz M. R. Kurnia
Allah Rabbul’alamin telah memberikan janji ancaman (wa’id) dalam firman-Nya, “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” [TMQ Ar-Ruum (30): 41]
Dalam memaknai ayat di atas, Imam Ibnu Katsir menyebutkan bahawa kerosakan (fasad) di muka bumi ini adalah disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia. Barang siapa yang bermaksiat kepada Allah SWT di bumi, bermaksud dia telah berbuat kerosakan di muka bumi. Ini kerana, kebaikan di bumi dan langit hanya tercapai dengan ketaatan kepada-Nya. Caranya adalah dengan menegakkan hukum Allah SWT..
Dengan penerapan hukum Allah, maka majoriti masyarakat akan menjauhi maksiat, melaksanakan ketaatan dan meninggalkan perkara-perkara haram. Ketaatan inilah yang menyebabkan keberkatan turun dari langit dan bumi. Jalan yang perlu ditempuh untuk mewujudkannya adalah dengan meninggalkan kemaksiatan dan kembali kepada hukum Allah SWT. (Tafsirul Qur’anil ‘Azhim, Jilid III, halaman: 527). Tegaknya satu hukum Allah SWT. adalah lebih baik daripada 40 hari hujan yang menyuburkan tanah di dunia Arab yang jarang turun hujan.
Nabi SAW. bersabda,
لحد يقام فى الرض احب الى اهلها من ان يمطروا اربعين صبحا
“Sungguh satu hukum Allah yang ditegakkan di bumi lebih disukai bagi penduduknya daripada turun hujan 40 hari.” (HR Imam Abu Daud).
Dengan kata lain, segala permasalahan yang melanda kaum muslim saat ini adalah disebabkan keengganan mereka untuk mengingati petunjuk Allah SWT. yang terdapat dalam Al-Quran mahupun sunnah Rasul-Nya. Jadi, penerapan sistem sekularisme, ideologi kapitalisme atau sosialisme komunisme, sistem ekonomi ribawi, menjadikan Yahudi dan Nasrani sebagai wali, berhukum kepada undang-undang ciptaan manusia dan setiap penerapan hukum bukan Islam bermaksud melakukan kerosakan di bumi yang akan mendatangkan keburukan yang bukan hanya menimpa mereka yang zalim, tetapi semua orang akan terpalit sama. Allah SWT. memperingatkan,
“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” [TMQ Al-Anfaal (8): 25]
Akibat dari kelalaian dan keengganan untuk terikat dengan sistem dan hukum Islam, maka Allah akan mendatangkan kesempitan hidup serta berbagai bentuk kesukaran, sebagaimana firman Allah SWT.,
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Taha (20): 124]
“wa man a’radla an dzikri” membawa maksud bertentangan dengan perintah Allah dan apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya, kemudian mengambil (sistem hukum) selain dari (petunjuk) Allah. Maksud “fa inna lahu ma’iisyatan dlonka” pula adalah kesempitan hidup di dunia, tidak memperoleh kebahagiaan, dada mereka sempit kerana kesesatannya (Tafsirul Qur’anil ‘Azhim, Jilid III, halaman 206).
Sebaliknya, jika manusia melaksanakan hukum Islam secara menyeluruh (kaffah), janji baik (wa’id) dari Allah SWT. akan datang. Dia berfirman,
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” [TMQ Al-A’raaf (7): 96]
Perlu kita ingat bahawa janji-janji Allah (baik janji berupa ancaman (wa’id) mahupun janji kebaikan (wa’id)) pasti benar dan akan ditunaikan oleh-Nya. Kini pilihannya bergantung pada kita sama ada hendak menerapkan seluruh hukum-hukum Islam ataupun tidak. “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?” Demikianlah firman-Nya dalam surah Al-Balad ayat 10. Ketika mana kita menerapkan dan memperjuangkannya, pasti Allah SWT. akan menurunkan kebaikan di dunia dan akhirat. Tetapi, yang sebaliknya akan berlaku jika kita tidak menerapkannya.
“Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui..” [TMQ Yunus (10): 55]
Sebagai orang yang beriman, kita perlu berjuang keras dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menerapkan dan memperjuangkan tegaknya hukum Islam secara kaffah untuk memenuhi seruan Allah Al-Hakimul Khabir :
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” [TMQ Al-Baqarah (2): 208]
Dengan demikian, jelaslah bahawa penyelesaian dari semua masalah ini adalah dengan kembali kepada hukum-hukum Allah SWT. sebagai sebuah sistem kehidupan. Hanya syariat Islam sajalah yang dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan bagi umat manusia. Perkataan Allah bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main sepertimana firman-Nya,
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” [TMQ Al-Anbiyaa’ (21): 107]
Maksudnya, Islam merupakan satu-satunya deen yang diredhai oleh Allah dan akan mendatangkan kemaslahatan sekaligus menjauhkan mafsadat. Di mana ada hukum syarak, di situlah ada maslahat, “hainamaa yakuunusy syar’u takuunul maslahat.” Maksudnya, tiada pilihan lain bagi orang yang merindukan kebaikan dan kemaslahatan dunia dan akhirat selain menerapkan syariat Islam. Inilah keyakinan orang yang benar-benar beriman. Mereka akan menerima setiap hukum Islam sepenuhnya.
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam

