Site icon MuslimahHTM News

Siapakah orang yang rugi?

[Nafsiyah] Siapakah orang yang rugi?

 

Setiap umat Islam perlu melihat kembali tindakan yang dilakukan. Adakah perbuatan tersebut mendapat pahala atau bahkan dibalas dengan dosa? Adakah ianya hanya sia-sia dan tidak ada nilainya di hadapan Allah SWT?

 

Allah SWT berfirman, “Katakanlah, mahukah kamu aku ceritakan tentang orang-orang yang paling menderita akibat perbuatannya? Mereka itulah orang-orang yang sia-sia amalnya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat sebaik-baiknya.” [TMQ al-Kahfi (18): 103-104].

 

Abu Hayyan menjelaskan dalam ayat di atas bahawa mereka yang rugi ialah semua orang yang menganut agama selain Islam, orang yang menunjuk-nunjuk (riya’), dan orang yang melakukan bid’ah.” [Al-Bahr Al-Muhith].

 

Seperti yang dijelaskan oleh Abu Hayyan, kita perlu menjauhi riya’. Perkara ini boleh dilakukan dengan ikhlas ketika melaksanakan setiap amalan dan berniat untuk mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata.

 

Rasulullah SAW juga memberitahu kepada kami, “Tahukah kamu siapa yang digelar muflis (orang yang bankrap)?” Sahabat menjawab, “Orang yang muflis pada pendapat kami ialah orang yang tidak mempunyai dirham (duit) dan juga tidak mempunyai harta.” Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya orang-orang muflis dari umatku akan datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat namun dia pernah menghina orang ini, menuduh (memfitnah) orang ini, memakan (dengan cara yang haram) harta orang ini, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang ini. Kepada orang ini diberikan amal baik orang yang bersalah itu. Jika amal kebaikannya habis, maka diambil kesalahan orang ini, lalu dilemparkan kepadanya, sesudah itu dia dilemparkan ke dalam neraka.” [HR Muslim].

 

Astaghfirullah. Rasulullah SAW menggambarkan bahawa orang yang rugi ialah orang yang membawa amalnya tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah SWT. Ia berpunca kerana seseorang itu bersikap buruk kepada orang lain. Sungguh, nasihat berharga untuk kita ialah senantiasa berhati-hati dengan apa yang kita lakukan.

 

Jangan merasa selamat kerana telah melakukan banyak amal soleh, padahal dia juga melakukan keburukan pada orang lain. Perkara inilah yang boleh menyebabkan seseorang masuk kedalam neraka, bukan syurga. Contoh, memberi tausiah kepada orang ramai tetapi suka mencela saudara seagama. Contoh lain, berdakwah bukan untuk menyedarkan manusia supaya kembali kepada Islam akan tetapi bertelagah sesama sendiri sehingga berlaku perpecahan.

 

Mengapa masih ada orang Islam yang beramal soleh tetapi melakukan kejahatan kepada sesama muslim? Ini kerana komitmen dalam ibadah tidak dikaitkan dengan akhlak. Contohnya, ramai yang berpuasa, solat, dan bersedekah tetapi menyakiti jirannya.

 

Akhlak yang baik bukanlah jaminan untuk menjadi penduduk syurga. Namun, ilmu, amal, dan akhlak perlu dilakukan bersama untuk menuju jalan ke syurgaNya. Satu perkara yang perlu sentiasa diingat oleh umat Islam, jangan sekali-kali berpaling dari Al-Quran dan Sunnah. Kita perlu mengaitkan setiap tindakan sesuai dengan sumber hukum Islam.

 

Dengan cara ini, mereka terhindar dari kerugian besar. Sebaliknya, mereka akan memperoleh keuntungan yang besar di akhirat kelak. Perkara ini bersesuaian dengan janji Allah SWT, “Allah akan memperbaiki bagimu amalan-amalan kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, sesungguhnya dia telah mendapat keuntungan yang besar.” [TMQ Al-Ahzab (33): 71].

 

Sedarlah wahai saudariku, jangan sampai kita termasuk dalam golongan orang yang dalam kerugian. Luruskan niat dalam setiap perbuatan dan jangan melakukan perbuatan keji. Sungguh, mendapatkan redha dan kemaafan daripada manusia bukanlah perkara yang mudah. Allah SWT tidak pernah menutup pintu taubat bagi manusia. Namun, ketika manusia telah menutup pintu kemaafan, sukar untuk membukanya.

 

Kurangkan musuh di dunia. Namun, jika mereka memusuhimu ketika kamu mencuba untuk menarik mereka (sesama Muslim), serahkan urusan ini kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT memasukkan kita ke dalam syurga dan membalas setiap kebaikan dengan ganjaran yang berlipat ganda. Aamiin. Wallahu muwafiq.

 

[Nafsiyah] Siapakah Orang yang Merugi?

 

Exit mobile version