Site icon MuslimahHTM News

[At-Tafkir] Memahami Teks-Teks Pemikiran (Bahagian 2/4)

[At-Tafkir] Memahami Teks-Teks Pemikiran (Bahagian 2/4)

Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani

 

Informasi-informasi terdahulu tentang kesedaran politik (al-wa’y as-siyasi, political awareness), pertarungan (an-nidhal, struggle), pandangan (al-ittijahat, viewpoints), dan pemahaman (al-mafahim, concepts), hendaklah tergambar faktanya dan dijangkau maknanya agar teks tersebut boleh difahami. Jika itu tidak boleh diwujudkan, dan informasi-informasi terdahulu pun hanya berupa informasi, atau makna yang ditunjukannya hanya diperhatikan sebagai makna, bukan sebagai fakta, maka teks pemikiran tersebut tidak mungkin boleh difahami.

 

Jika tidak difahami, maka teks tersebut tidak ada gunanya walaupun dihafal di luar kepala. Oleh kerana itu, teks-teks pemikiran itu bagaikan sebuah bangunan. Tidak mungkin menghilangkan sebuah batu darinya dengan tetap mempertahankan bentuk bangunan tersebut sebagaimana adanya. Dengan demikian, tidak mungkin pula memindahkan satu huruf dari teks pemikiran dari satu tempat ke tempat lain.

 

Begitu juga tidak mungkin mengganti satu kata dengan kata lain. Sebaliknya, suatu teks hendaklah dijaga sempurna sebagaimana adanya, sebab fakta yang dimaksudkan darinya, iaitu makna (madlul) dari pemikiran yang hendak disampaikan, adalah sebuah fakta tertentu dan gambaran tertentu. Jika ada suatu fakta atau gambaran yang berubah, akan berubah pula pemahamannya, baik seluruhnya atau sebahagiannya.

 

Jadi, memahami teks pemikiran menuntut adanya pemahaman terhadap makna (madlul) teks. Dan adanya pemahaman makna tersebut menuntut adanya penjagaan terhadap kata-kata dan susunan-susunan katanya.

 

Benar bahawa teks pemikiran kadang disusun seperti susunan teks sastera sehingga pengaruh teks pemikiran terhadap perasaan–di samping kejelasan dan kristalisasi berbagai fakta—akan dapat diamati keberadaannya. Akan tetapi, bagaimanapun teks tersebut adalah teks pemikiran, bukan teks sastera. Kerana syarat teks pemikiran bukanlah tidak berpengaruh terhadap perasaan, tetapi menjelaskan fakta-fakta, baik mempengaruhi perasaan mahupun tidak.

 

Jadi, memperhatikan pengaruh teks pemikiran terhadap perasaan tidak mengeluarkannya dari kategori teks pemikiran, melainkan tetap merupakan teks pemikiran selama perhatian pada teks tersebut diarahkan pada pemikiran, dan pemikiran menjadi maksud mendasar dari perhatian tersebut.

 

Meskipun ada perhatian mengenai pengaruh teks-teks pemikiran terhadap perasaan, tetapi untuk memahaminya tidaklah berbeza dengan teks yang tidak memperhatikan pengaruhnya terhadap perasaan. Untuk memahami teks pemikiran perlu ada informasi terdahulu tentang berbagai pemikiran, perlu ada pemahaman terhadap fakta pemikiran, dan gambaran terhadap maknanya.

 

Memang benar teks-teks pemikiran kadang layak bagi setiap orang dan teks tersebut mampu menyampaikan pemikiran kepada setiap orang tidak kira apa keadaan tsaqafah mereka. Jadi meskipun teks pemikiran itu mendalam, ia tetap berpeluang boleh difahami oleh setiap orang. Namun demikian, teks-teks seperti itu meskipun setiap orang mampu mengambil apa yang mampu difahaminya dari teks-teks pemikiran tersebut, bukan setiap orang boleh memahaminya, jika dikenangkan kedalamannya.

 

Benar bahawa orang akan mengambil teks pemikiran sesuai apa yang mampu dia fahami. Namun, bukan setiap orang mampu memikirkannya atau memahaminya kerana teks-teks pemikiran tidak mungkin boleh difahami apabila tidak terdapat informasi terdahulu yang setaraf dengan pemikiran individu.

 

Begitu juga jika fakta berbagai pemikiran tidak difahami, dan maknanya tidak boleh tergambar dalam benak, maka tidak mungkin seseorang mengambil manfaat darinya dan tidak mungkin pula melaksanakan pemikiran-pemikirannya. Jadi bahawa setiap orang mampu mengambil pemahaman dari teks pemikiran sesuai dengan kemampuan untuk memahaminya, tidak bererti bahawa setiap orang mampu memahami teks-teks tersebut. Kerana orang-orang yang tidak mempunyai informasi terdahulu yang setaraf dengan pemikiran tidak akan mampu memahaminya, walau apa pun keadaannya.

 

Mungkin ada yang mengatakan bahawa adanya informasi terdahulu sudah cukup untuk membentuk pemikiran apabila terdapat penginderaan. Dan ini bererti teks pemikiran boleh difahami cukup dengan adanya informasi terdahulu pada diri orang yang akan menafsirkan fakta yang dikandung oleh teks-teks pemikiran.

 

Jawapannya, bahawa maksud dari adanya informasi terdahulu adalah untuk mentafsirkan fakta yang terkandung dalam suatu teks. Dan fakta tersebut tidak akan boleh ditafsirkan dengan informasi terdahulu, kecuali jika informasi terdahulu itu setaraf dengan pemikirannya. Maka, jika informasi terdahulu yang ada hanya berupa informasi kebahasaan semata, maka itu tidak mencukupi kecuali hanya untuk menghasilkan penafsiran teks secara bahasa (at-tafsir al-lughawi).

 

Informasi seperti itu tidak cukup untuk menghasilkan penafsiran teks secara pemikiran (tafsir al-fikr). Jika informasi terdahulu tentang pemerintahan adalah pemerintahan itu identik dengan kekuatan (al-quwwah, force), maka ini tidak cukup untuk memahami makna pemerintahan. Bahkan informasi seperti itu akan dapat membuat orang tersesat dalam memahami makna pemerintahan.

 

Jika informasi terdahulu tentang masyarakat adalah masyarakat itu merupakan kumpulan orang dan berbagai interaksinya saja, maka itu tidak cukup untuk memahami masyarakat bagi mengubah atau menjaga masyarakat. Ini disebabkan informasi terdahulu tersebut tidak setaraf dengan apa yang dimaksud dengan masyarakat. Jadi, agar informasi terdahulu boleh dipakai untuk memahami teks pemikiran, perlulah setaraf dengan pemikiran yang dikandung dalam teks, bukan sekadar informasi.

 

Mungkin ada yang mengatakan, jika syarat memahami suatu teks pemikiran adalah perlu ada informasi terdahulu yang setaraf dengan pemikiran yang ingin difahami, maka dari mana datangnya persyaratan bahawa pemikiran itu perlu difahami faktanya dan perlu tergambarkan maknanya, selain perlu ada informasi terdahulu yang setaraf dengan pemikiran?

 

Jawapannya, bahawa memahami teks pemikiran maksudnya bukanlah untuk mencari kenikmatan, bukan pula hanya untuk mengetahui maknanya. Memahami teks pemikiran tujuannya adalah untuk diambil, iaitu difahami untuk diamalkan.

 

Jika tidak, maka teks tersebut tidak ada faedahnya dan tidak bernilai. Ini kerana mengetahui suatu pemikiran maksudnya adalah untuk mengambilnya, bukan sekadar mengetahuinya. Sedangkan mengambil suatu pemikiran tidak mungkin dilaksanakan kecuali dengan mengetahui faktanya dan mampu menggambarkan maknanya.

 

*Bersambung ke bahagian 3/4

 

Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)

 

#fikrulislam #hakikatberfikir #tekspemikiran

Exit mobile version