[At-Tafkir] Memahami Teks-Teks Pemikiran (Bahagian 3/4)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Perlu ada tiga syarat untuk memahami teks pemikiran, di samping perlu adanya informasi terdahulu.
Pertama, informasi terdahulu perlu setaraf dengan pemikiran yang ingin difahami. Kedua, fakta pemikiran perlu difahami sebagaimana adanya dengan pemahaman yang boleh membatasi dan membezakannya dengan yang lain. Ketiga, gambaran fakta pemikiran tersebut perlulah tergambar dengan benar sehingga memberikan gambaran hakiki tentang fakta pemikiran.
Jika tiga hal tersebut tidak terwujud secara bersamaan, tidak mungkin seseorang akan mampu memahami suatu teks pemikiran, yakni maksudnya dia tidak akan mampu memahami suatu pemikiran. Dengan kata lain, dia tidak akan boleh mengambilnya, kerana maksud memahami suatu pemikiran adalah untuk mengambilnya, bukan hanya memahami maknanya.
Contoh yang paling dekat adalah pemikiran-pemikiran Islam, baik akidah mahupun hukum syarak. Ketika pemikiran tersebut diturunkan kepada orang Arab secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa yang terjadi, mereka memahaminya dan mengambilnya. Bukan kerana bahasa mereka memungkinkan mereka untuk memahaminya, tetapi kerana mereka mampu memahami fakta pemikiran-pemikiran itu dan mampu menggambarkan makna-maknanya.
Kemudian, mereka mengambilnya setelah adanya pemahaman dan penggambaran tersebut. Oleh kerana itu, pemikiran Islam mampu memberi pengaruh kepada mereka dan mampu memunculkan revolusi secara keseluruhan sehingga nilai-nilai tentang berbagai hal menjadi berubah menurut pandangan orang Arab. Nilai sebahagian hal menjadi tinggi dan sebahagian lainnya menjadi rendah, juga asas-asas kehidupan dalam pandangan mereka menjadi berbeza dengan sebelumnya.
Namun, ketika orang Arab tidak mampu memahami fakta pemikiran-pemikiran Islam dan menggambarkan makna-maknanya, mereka pun kehilangan pemahaman terhadap pemikiran-pemikiran Islam tersebut. Dengan kata lain, mereka tidak mampu mengambilnya.
Oleh kerana itu, pemikiran-pemikiran tersebut tidak mempengaruhi mereka meskipun di kalangan mereka terdapat para ahli hadis yang lebih banyak ilmunya daripada Imam Malik, terdapat para ahli fikh yang lebih luas ilmunya daripada Imam Abu Hanifah, dan terdapat para ahli tafsir yang lebih banyak pengetahuannya daripada Ibnu Abbas. Tetapi meskipun demikian, di kalangan orang Arab tidak terdapat orang yang setaraf dengan orang-orang yang hidup di Madinah pada masa Imam Malik, atau pada masa Ibnu Abbas, atau pada masa Abu Hanifah. Hal itu terjadi bukan kerana ketidakmampuan mereka mengetahui berbagai pemikiran Islam, tetapi kerana mereka tidak mampu memahami faktanya dan menggambarkan maknanya.
Oleh kerana itu, dalam proses berfikir tentang teks-teks pemikiran tidaklah cukup adanya informasi terdahulu yang setaraf dengan pemikiran tersebut, tetapi, selain itu perlu terdapat juga pemahaman terhadap faktanya dan penggambaran terhadap maknanya.
Memahami teks-teks pemikiran tidak bererti hanya untuk diambil, kadang juga untuk ditinggalkan dan diperangi. Jadi, mengambil pemikiran dari teks-teks tersebut adalah maksud utamanya. Jika suatu teks termasuk yang tidak boleh diambil, maka ia perlu ditinggalkan atau diperangi.
Jika tidak terdapat pemahaman tentang faktanya dan penggambaran tentang maknanya, kadang -kadang boleh mengakibatkan penyimpangan sehingga pemikiran yang sepatutnya ditinggalkan dan diperangi malah diambil, atau pemikiran yang sepatutnya diambil malah ditinggalkan atau diperangi. Ada juga pemikiran yang hanya cukup diketahui saja, tanpa diambil atau ditinggalkan.
Oleh kerana itu, untuk memahami teks-teks pemikiran perlu ada pemahaman tentang faktanya dan penggambaran tentang maknanya untuk mengambil sikap yang perlu diambil terhadapnya. Iaitu adakah perlu diambil, ditinggalkan, atau diperangi. Syarat perlu adanya pemahaman fakta berbagai pemikiran dengan pemahaman yang boleh membatasi dan membezakannya dengan yang lain, dan perlu adanya penggambaran makna berbagai pemikiran dengan penggambaran yang benar, adalah faktor yang akan menjaga suatu pemikiran dari kesalahan dan penyimpangan. Faktor ini pula yang akan menjadikan seseorang mampu menentukan sikap yang selamat terhadap pemikiran-pemikiran tersebut.
Ini kerana pemikiran-pemikiran tersebut tidak boleh diketahui bahayanya hanya dengan mengetahuinya. Bahkan orang yang mengambilnya boleh terpaling dari aktiviti-aktiviti utama dalam kehidupannya. Dan kadang ini menjadikannya terpeleset dan menyimpang, atau tersesat dengan kesesatan yang sangat jauh.
Contoh yang paling mudah adalah kesan yang dapat dilihat dari mempelajari falsafah Yunani pada kebanyakan ulama kaum Muslimin. Begitu juga kesan yang disebabkan oleh pemikiran kapitalisme dan sosialisme pada kebanyakan umat Islam. Semua itu terjadi kerana pemahaman terhadap fakta pemikiran yang ada bukan merupakan pemahaman yang dapat membatasi dan membezakannya dari yang lain. Juga kerana penggambaran terhadap makna pemikiran-pemikiran tersebut bukan merupakan penggambaran yang benar.
Sebagai contoh, mari kita ambil falsafah Yunani yang telah ada di kalangan orang-orang Kristian di Syam dan Irak. Dahulu, kaum muslimin mengemban dakwah Islam kepada orang-orang Kristian itu terutamanya setelah mereka berada di bawah pemerintahan dan kekuasan Islam.
Ketika berdebat dengan kaum muslim, orang-orang Kristian menggunakan falsafah Yunani dan logika Yunani. Kaum muslim pun lalu menggunakan falsafah dan logika Yunani untuk membantah orang-orang Kristian, tanpa memahami pemikiran yang terkandung dalam falsafah Yunani, dan tanpa melihat kekeliruan-kekeliruan yang masuk ke dalam ruang-ruang logikanya.
Dengan demikian, aktiviti mempelajari falsafah dan logika Yunani yang semula untuk menyebarkan Islam, telah memalingkan sebahagian ulama kaum muslimin untuk mempelajari logika bagi mencari kenikmatan yang ditemukan ketika mempelajarinya. Sebahagian ulama kaum muslimin yang lain berpaling menuju logika kerana ingin membantah orang-orang Kristian dan ingin menyusun hujah perdebatan bagi kebenaran pemikiran Islam.
Adapun golongan yang pertama dari para ulama tersebut, mereka telah mengikuti jalan para ahli falsafah Yunani dan mengambil falsafah Yunani sehingga menjadi tsaqafah mereka. Mereka memeluk pendapat-pendapat dalam falsafah Yunani dengan memperhatikan Islam menurut pandangan idea-idea falsafah Yunani tersebut.
Oleh kerana itu, muncullah para ahli falsafah muslim. Di antara mereka ada yang sesat dan menyimpang. Ada juga di antara mereka yang tersesat dengan kesesatan yang jauh sekali. Kedua golongan tersebut, iaitu orang-orang yang menyimpang dan tersesat, sesungguhnya telah meninggalkan Islam dan menjadi orang-orang kafir.
*Bersambung ke bahagian 4/4
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)
#fikrulislam #hakikatberfikir #tekspemikiran

