[Nafsiyah] Akhlak Sempurna dengan Tegaknya Syariat
Penulis: Ustaz Irfan Abu Naveed
Akhlak mulia mudah diucapkan, tetapi berat untuk diamalkan. Lebih-lebih lagi di tengah-tengah roda kehidupan yang digerakkan oleh ideologi kapitalisme yang berorientasikan materialistik. Masalah menjadi lebih rumit apabila umat Islam tidak dapat meletakkan sifat akhlak dalam Islam dalam kaitannya dengan syariat. Akibatnya, sebahagian umat Islam menumpukan dakwah mereka kepada peningkatan akhlak semata-mata. Padahal akhlak adalah karakter, iaitu karakter muslim yang wajib diwujudkan menurut pemahaman syariah.
Kedudukan Akhlak dalam Islam
Lafaz al-akhlaq ialah bentuk jamak bagi al-khuluq. Menurut Al-Azhari (w. 370 H) dalam Tahzîb al-Lughah (VII/18): “Al-Khuluq: ad-dîn; al-khuluq: kehormatan.” Perkara yang sama ditegaskan oleh Al-Qadhi ‘Iyadh (w. 544 H) dalam Masyâriq al-Anwâr (I/239), al-Hafiz Ibn al-Athir (w. 606 H) dalam Al-Nihâyah fî Gharîb al-Hadîth ( II/70), dan Ibn Manzhur (w. 711 H) dalam Lisân al-‘Arab (II/1245).
Makna ini membawa maksud bahawa terdapat hirisan antara akhlak dan dîn seseorang. Al-Hafiz Ibn Abdil Barr (w. 463 H) mengemukakan kata-kata Abu al-‘Atahiyah dalam Al-Tamhîd (XXIV/334):
لَيْسَ دُنْيَا إِلاَّ بِدِينٍ وَلَيْسَ الدِّينُ إِلاَّ مَكَارِمُ اْلأَخْلاَقِ
“Dunia tidak tegak kecuali dengan agama ini dan bukanlah agama ini melainkan akhlak yang mulia.”
Akhlak wajib dibina atas asas akidah Islam kerana ia merupakan sebahagian daripada syariat yang wajib disesuaikan dengan perintah dan larangan Allah. Justeru, setiap muslim apatah lagi pembawa dakwah wajib berusaha untuk menghiasi diri dengan akhlak yang mulia. Sifat ini tercermin dalam akhlak tauladan terbaik, Nabi Muhammad SAW, sebagaimana firmanNya:
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٖ
“Sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang agung.” [TMQ Al-Qalam (68): 4].
Menurut para ulama, khuluq ‘azim iaitu: Dinul Islam atau adab al-Quran. Mentafsir ayat yang agung ini, al-Hafiz Abu Ja’far at-Tabari (w. 310 H) berkata: “Allah SWT berfirman kepada NabiNya, Muhammad SAW: ‘Sesungguhnya engkau, wahai Muhammad, mempunyai adab yang agung, dan maksudnya adalah adab al-Quran yang dengannya Allah mengaturnya, iaitu Islam dan syariatnya.’
Ibnu Abbas RA menjelaskan maksudnya ialah dîn ‘azhîm (Dinul Islam yang agung). Dalam riwayat lain, dari Ibnu Abbas RA menyatakan:
إِنَّكَ عَلَى دِيْنٍ عَظِيْمٍ وَهُوَ اْلإِسْلاَمُ
“Sesungguhnya engkau (Muhammad SAW) memeluk dîn yang agung iaitu Islam.”
Ini juga pendapat al-Dhahhak, Mujahid, Ibn Zaid dan Muqatil. Qatadah sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam as-Tha’labi (w. 427 H) berkata, maksudnya ialah apa-apa yang diperintahkan Allah dan apa yang dilarang oleh Allah.
Ketika menafsirkan ayat ini, Abu Ja’far an-Nahhas dalam kitab I’râb al-Qur’ân berkata: “Ibn Abu Talhah, dari Ibnu Abbas, berkata: (iaitu) dalam din. Abu Ja’far berkata: Ini adalah seperti sabda Rasulullah SAW, “Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” Iaitu orang yang paling baik agama, jalan, mazhab, dan ketaatannya. Dijelaskan oleh athar daripada Ali. bin Abi Thalib RA:
حُسْنُ اْلخُلُقِ فِي ثَلاَثِ خِصَالٍ: إِجْتِنَابُ الْمَحَارِمِ, وَ طَلَبُ اْلحلَاَلِ, وَ التَّوْسِعَةُ عَلَى الْعِيَالِ
Akhlak yang baik tercermin dalam tiga bentuk: menjauhi pelbagai perkara yang haram, menunaikan yang halal, dan bersikap lapang kepada keluarga. [Husain al-Mahdi, Shaid al-Afkar, hal. 687].
Penafsiran ini dikuatkan dengan pesanan agung dalam hadis Nabi Muhammad SAW, yang menggambarkan hubungan antara iman dan akhlak yang terpuji:
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيْمَاناً أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” [HR Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmidzi].
Penggambaran keluhuran akhlak sebagai buah kesempurnaan iman menunjukkan keutamaan berakhlak mulia sebagai akibat daripada keimanan. Justeru, dapat juga disimpulkan bahawa kebaikan khuluq seseorang berkait rapat dengan dinul Islam, iaitu keterikatannya dengan syariat Islam. Al-‘Allamah Taqiyuddin al-Nabhani (w. 1396 H) juga menekankan bahawa akhlak adalah sebahagian daripada syariat Islam. Ia terikat dengan perintah dan larangan Allah.
Akhlak Mulia, Sempurna dengan Tegaknya Din Islam
Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّماَ بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاقِ
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kesolehan akhlak.” [HR al-Baihaqi dan al-Bazzar].
Dalam teks hadis yang lain dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Baihaqi diistilahkan sebagai shâlih al-akhlâq. Dalam hadis ini, Baginda Rasulullah SAW menekankan kedudukan akhlak yang agung dalam Islam. Lafaz shâlih dan makârim yang ditautkan (al-idhâfah) pada lafaz al-akhlâq jelas menunjukkan kekhususan akhlak itu sendiri, iaitu kebaikan yang tidak terpisah daripadanya.
Menariknya, Imam Abu Ja’far at-Thahawi (w. 321 H) dalam Syarh Musykil al-Âthâr (XI/262) menjelaskan, hadis ini menekankan bahawa yang dimaksudkan ialah menyempurnakan din itu sendiri:
Maksud hadis ini menurut kami-wallâhu a’lam- ialah Allah ‘Azza wa Jalla mengutusnya untuk menyempurnakan bagi manusia, diri mereka, dan Allah mewahyukan kepadanya dari apa yang termasuk dalam makna ini, iaitu firman-Nya:
ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu din-mu.” [TMQ Al-Maidah (5): 3].
Dengan demikian pengutusan Nabi Muhammad SAW oleh Allah ‘Azza wa Jalla ialah untuk menyempurnakan bagi umat manusia syariat agama mereka. Maksudnya, telah ada syariat beribadat para nabi sebelum Rasulullah SAW, kemudian Allah ‘Azza wa Jalla menyempurnakannya. Ini berdasarkan maklumat daripada firman-Nya:
ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu din-mu.” [TMQ Al-Maidah (5): 3].
Perkataan al-ikmâl adalah sinonim dengan al-itmâm. Inilah maksud sabda Rasulullah SAW:
إِنَّماَ بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ اْلأَخْلاَقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan kesolehan akhlak.”
Frasa (shâlih al-akhlâq) ialah shâlih al-adyân, iaitu dinul Islam.
Imam al-Baji, sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Zurqani (w. 1122 H) dalam Syarh al-Zurqani ‘Alâ Muwaththa’ (IV/404), berkata: Dahulu bangsa Arab dikenali sebagai manusia yang terbaik dari aspek akhlak mereka kerana sisa ajaran yang ada pada mereka dari syariat Nabi Ibrahim AS. Mereka kemudian menyimpang dari kebanyakan mereka. Oleh itu, Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan mahâsin al-akhlâq dengan menjelaskan kesesatannya dan dengan mengkhususkan syariatnya.
Al-Hafiz Ibn Abdil Barr al-Andalusi seperti yang dinukilkan oleh al-Zurqani (ibid, (IV/404) menjelaskan bahawa termasuk di dalamnya kesolehan dan seluruh kebaikan, din ini, keutamaan, kehormatan, kebajikan (al-ihsân), dan keadilan. Itulah mengapa Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakannya.
Huraian di atas mengandungi pengajaran penting. Pertama, hadis ini menerangkan visi utama pengutusan Nabi SAW ialah menyempurnakan tegaknya din dalam kehidupan, yang diungkapkan secara majazi (kiasan), yang diwakili oleh perkataan akhlak. Dalam ilmu balaghah, ini merupakan bentuk zikr al-juz’i wa irâdat al-kulli (menyebut sebahagian tetapi yang dimaksudkan ialah keseluruhan). Sebabnya, akhlak adalah sebahagian daripada dinul Islam itu sendiri.
Kedua, hadis ini bukanlah dalil untuk fokus semata-mata membincangkan pembaikan akhlak, dengan mengabaikan usaha menegakkan syariat Islam dalam kehidupan. Hal ini diperjelaskan dengan adanya huruf lam dalam frasa li utamimma yang menunjukkan tujuan diutuskan baginda Rasulullah SAW.
Ketiga, usaha menyempurnakan akhlak mulia direalisasikan dengan menegakkan dinul Islam dalam kehidupan yang dapat ditegakkan secara total di bawah naungan Khilafah. Tidak boleh fokus semata-mata untuk memperbaiki akhlak, dengan mengabaikan dakwah penegakan syariat Islam itu sendiri secara kaffah. Ini dijelaskan oleh sunnah Nabi Muhammad SAW dalam dakwahnya menyampaikan akidah dan seluruh syariat Islam.
Wallâhu a’lam.

