Site icon MuslimahHTM News

Relevankah Idea Khilafah dengan Situasi dan Keadaan Sekarang? (Bahagian 2/3)

[FIKRUL ISLAM]
(Sambungan dari Bahagian 1/3)

Relevankah Idea Khilafah dengan Situasi dan Keadaan Sekarang? (Bahagian 2/3)

Penulis: M.R. Kurnia

Mungkin ada sebahagian orang yang pesimis terhadap kejayaan menegakkan Daulah Khilafah. Namun, ini tidak berlaku bagi mereka yang yakin akan janji Allah SWT. dan dapat mengabstraksikan apa yang berlaku sekarang untuk masa hadapan. Ini berdasarkan perkara berikut:

Pertama, secara i’tiqadiy. Allah SWT. berulang kali menegaskan bahawa kemenangan ada di tangan Allah SWT., bukan di tangan manusia.

“Dan tidaklah kemenangan itu melainkan dari sisi Allah Yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana.” [TMQ Ali Imran (3): 126].

Kemudian, Allah menjanjikan pertolongan dan kemenangan bagi mereka yang menolong (agama) Allah dengan berusaha menegakkan hukum-hukum-Nya di muka bumi ini. Dengan tegas Allah SWT. berfirman,

“Apabila kalian menolong agama Allah, maka (pasti) Allah akan memberi kalian kemenangan.” [TMQ Muhammad (47): 7].

Selain itu, Allah mengkhabarkan bahawa Daulah Khilafah Islamiah akan tertegak semula. Ini kerana Allah SWT. adalah Zat Yang Maha Mengetahui dan mustahil untuk berdusta. Di antara khabar syarie tersebut ialah,

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh (di antaranya berjuang menegakkan Islam di muka bumi) bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dan sungguh Dia pasti meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redhai (Islam) untuk mereka. Dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa, (dengan syarat) mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [TMQ An-Nur (24): 55].

“Telah datang satu masa kenabian dengan kehendak Allah kemudian ia berakhir. Selepas itu, akan datang zaman Khilafah Rasyidah sesuai dengan garis kenabian, dengan kehendak Allah kemudian ia akan berakhir. Kemudian akan datang satu zaman pemerintahan yang di dalamnya terdapat banyak kezaliman, dengan kehendak Allah kemudian ia akan berakhir. Kemudian akan datang zaman para diktator, dengan kehendak Allah ia juga akan berakhir. Kemudian (terakhir), akan datang kembali zaman Khilafah Rasyidah dengan garis kenabian. Kemudian Nabi diam.” (HR Imam Ahmad dan AI-Bazzar).

Juga, tercatat dalam sejarah bahawa sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW.,

“Ya Rasulullah, kota manakah yang akan ditakluki terlebih dahulu, Konstantinopel atau Rom?” Rasulullah menjawab, “Kota Heraclius (Konstantinopel) yang akan ditakluki dahulu.” (HR Ahmad dan Ad-Darimi).

Sejarah mencatatkan bahawa Konstantinopel pernah ditakluki oleh tentera Islam. Sekarang namanya Istanbul, Turkiye. Sementara itu, Rom belum pernah ditakluki. Insya-Allah, suatu hari nanti penaklukan Rom akan berlaku!

Berdasarkan semua ini, setiap muslim yang benar-benar yakin kepada janji Allah akan sedar bahawa Khilafah akan kembali. Baik kebanyakan orang percaya atau tidak bahawa Daulah Khilafah akan tertegak kembali, Daulah Khilafah dengan izin Allah akan tertegak semula kerana Allah yang telah mengkhabarkan perkara ini kepada seluruh manusia.

Kedua, secara fakta. Umumnya, suatu ideologi akan mengatasi ideologi yang lain apabila ideologi tersebut menguat, manakala ideologi lawannya melemah. Pada titik ketika ideologi tersebut kuat dan ideologi lawannya lemah, pada ketika itulah ideologi tersebut mendapat kemenangan. Realiti hari ini jelas mengetahui bahawa ideologi sosialisme telah musnah. Sementara itu, kapitalisme sedang diprotes oleh banyak pihak termasuk oleh penyokongnya sendiri. Kemusnahan akibat penerapan kapitalisme semakin jelas di depan mata. Di sisi lain, tampal sulam kapitalisme dengan sosialisme juga terus berlaku. Semua ini menunjukkan bahawa kapitalisme sedang meluncur laju menuju kehancuran.

Pada masa yang sama, semangat keislaman umat Islam semakin jelas kelihatan. Kalau dahulu agak malu menunjukkan Islam, kini sebaliknya. Buku-buku Islam semakin popular, pengajian di mana-mana, tuntutan penerapan Islam semakin kedengaran dan para pengemban dakwah dengan berani muncul di mana-mana.

Di sisi lain, kebimbangan Barat terhadap kebangkitan Islam semakin memuncak. Sudah tentu hal ini bukan tanpa alasan. Mereka mengetahui fakta kebangkitan Islam dan umat Islam. Munculnya tuduhan-tuduhan fundamentalis, pengganas, ataupun ekstremis menunjukkan ketakutan Barat terhadap kekuatan Islam yang semakin berkembang.

Jelas bahawa kekuatan Islam semakin menguat. Sebaliknya, kapitalisme semakin lapuk. Suatu hari, insya-Allah Islam benar-benar kuat dan menang. Ini semua adalah realiti yang terus berjalan.

Ketiga, sudah tentu mengembalikan Daulah Khilafah bukanlah perkara yang mudah. Negara-negara Barat akan terus berusaha menghalanginya. Namun, hal ini akan dapat dihapuskan dengan menyatukan negara-negara umat Islam. Caranya, dakwah antara satu negara dengan negara lain mestilah memiliki hubung kait organisasi. Lebih penting lagi, dakwah tersebut memiIiki pemikiran (fikrah) dan metod (thariqah) yang sama.

Jadi, usaha menegakkan Daulah Khilafah mestilah bersifat antarabangsa, tidak boleh bersifat tempatan. Maka, berhubung dengan masalah ini, parti yang berjuang untuk Khilafah memang perlu bergerak di seluruh negara. Sekiranya negara-negara imperialis Barat berusaha menghancurkan umat Islam yang ingin menegakkan khilafah dengan kekuatan fizikal, masyarakat akan tahu bahawa HAM dan demokrasi yang mereka gembar-gemburkan adalah tipu belaka.

Akhirnya, masyarakat memahami bahawa negara-negara Barat ini tidak boleh dipercayai. Pada masa itu, masyarakat sebenarnya akan menentang negara-negara imperialis tersebut. Apabila sudah demikian, siapa lagi yang dapat menghalang tegaknya Daulah Khilafah?

Sumber: M.R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam

#FikrulIslam #MenjadiPembelaIslam #KebangkitanUmat #Dakwah

Exit mobile version