Site icon MuslimahHTM News

Cara Untuk Melapangkan Hati

[Nafsiyah] Cara Untuk Melapangkan Hati

 

Mengapa terkadang kita merasakan susah untuk menjalani kehidupan? Salah satu sebabnya ialah kerana manusia mempunyai hati yang sempit. Perkara ini yang membuatkan seseorang itu selalu berfikiran negatif terhadap setiap benda yang berlaku terhadap dirinya. Sehinggakan ada yang sanggup mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri.

 

Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam mampu memuaskan akal, hati dan menenangkan jiwa. Bagaimana seorang Muslim yang telah memeluk agama Islam menjadi manusia yang sulit untuk menjalani kehidupan? Boleh jadi, dia tidak terlalu memahami dan mengamalkan ajaran agamanya.

 

Ketahuilah bahawa sesiapa yang bersyukur kepada Allah SWT, Dia akan memudahkan kemahuannya dan dapat membuatkan hati menjadi terbuka. Sebaliknya, perkara yang menghalang kita daripada merasa lapang hati ialah apabila kita mempunyai banyak keinginan.

 

Iman itu separuh dari sabar dan syukur. Jika setiap manusia menggunakan akal sihatnya untuk memikirkan sesuatu yang terjadi dalam hidup, banyak pengajaran yang akan diperolehinya. Inilah yang membuatkan dirinya mempunyai hati yang lapang.

 

Jika Allah SWT mengurniakan rasa lapang kepada seorang hambaNya, itu bermakna Allah SWT telah memudahkan urusannya. Dengan demikian, akan mudah baginya untuk melaksanakan ketaatan dan konsisten dalam melakukan kebaikan. Sedangkan jika Allah SWT menyempitkan hati seorang hamba, maka urusannya akan menjadi kacau bilau. Akibatnya, dia tidak akan fokus dalam melakukan kerja serta aktiviti sehariannya dan tidak akan membawa kepada kebaikan. Malah, dia akan sentiasa berasa risau dan sedih. Nabi SAW pun tidak lelah memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusannya.

 

Ketika Allah SWT memerintahkan NabiNya, Musa AS menemui Firaun untuk berdakwah dan memberi amaran, Musa AS melihat ke langit sambil berdoa,“Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku” [TMQ at-Taha (20):25]

 

Bagaimana caranya supaya hati kita berada dalam keadaan lapang ? Ternyata ia boleh didapati dengan dua perkara yang saling berkaitan. Pertama, kelapangan hati tidak akan didapati melainkan dengan taufik atau pertolongan daripada Allah SWT, serta hidayahNya. Kedua, kelapangan hati dapat dicapai dengan mentaatiNya dan senantiasa melaksanakan syariatNya.

 

Hakikatnya, hati kita berada di tangan Allah SWT. Allah SWT boleh mengubah hati kita mengikut kehendakNya. Semua yang Allah SWT kehendaki akan berlaku. Sebaliknya, perkara yang tidak dikehendaki Allah SWT tidak akan berlaku. Seperti yang Dia katakan, “Maka sesiapa yang Allah SWT kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah SWT kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah SWT menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.” [TMQ al-An’aam (6):125]

 

Kita perlu untuk meminta kepada Allah SWT dengan cara yang sesuai mengikut syariat. Seorang Muslim boleh berdoa kepada Allah SWT untuk memohon kelegaan hati dan menyerahkan segala urusannya hanya kepada Allah SWT. Diikuti pula dengan menjalankan perkara yang boleh membawanya mencapai matlamat murni ini.

 

Ulama pernah berkata, “Keadaan seorang hamba di dalam kubur adalah seperti keadaan hati di dalam dada, sama ada merasa senang, sengsara, menahan diri atau bebas.”

 

Pada hakikatnya, sesiapa yang merasa sempit dan sesak di dalam hatinya kerana mengamalkan agama ini, maka begitu jugalah keadaan kuburnya. Sesiapa yang berlapang dada dan menerima agama ini (Islam), Allah SWT akan melapangkan kuburnya.

 

Ibnul Qayyim Rahimahullah berkata, “Disebutkan dalam atsar yang masyhur, apabila cahaya masuk ke dalam hati, hati akan terasa lapang dan menerima. Dikatakan kepadanya, ‘Apa tandanya?’ Baginda menjawab, ‘Pertama, mencukupkan diri dari dunia yang penuh tipu daya. Kedua, cenderung kepada kehidupan yang kekal (akhirat). Ketiga, persiapkan diri untuk menghadapi kematian sebelum ajal menjemputnya.’”

 

Ketahuilah bahawa hati yang terbuka adalah anugerah dari Allah SWT yang sangat berharga. Lebih-lebih lagi dalam sistem kapitalis sekarang, kehidupan manusia terus dihimpit dengan pelbagai ujian. Ekonomi sukar, pendidikan semakin susah untuk dijangkau, kos kesihatan yang melambung tinggi, keperluan asas semakin tidak terbeli dan sebagainya. Oleh kerana itu, kekallah dalam koridor syariah. Patuhi setiap perintahNya. Dengan cara ini, Allah SWT akan memberikan kelapangan hati sehingga kita mampu berfikir dengan jernih setiap ujian yang datang. Semoga Allah SWT menyegerakan pertolonganNya untuk kita menamatkan sistem kufur ini dan menggantikannya dengan syariat Islam. Aamiin. Wallahu muwafiq.

https://muslimahnews.net/2023/07/29/22167/

 

Exit mobile version