[FIKIH] Hukum Duit Tanda Jadi (Hamisy Jiddiyah) dan Bezanya dengan Deposit (Urbun)
Oleh: K.H. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan :
Ustaz, mohon dijelaskan hukum duit tanda jadi (booking/hamisy jiddiyah)? Apa bezanya antara wang pendahuluan dan wang tanda jadi (booking/hamisy jiddiyah)?
Jawapan :
Duit tanda jadi (hāmisy jiddiyyah) (هامش الجدية) dalam bahasa Inggeris disebut dengan istilah earnest money. Definisi duit tanda jadi (hamisy jiddiyah) adalah sejumlah wang yang dibayar oleh calon pembeli kepada penjual sebelum terjadinya akad jual beli sebagai tanda keseriusan untuk melakukan akad jual beli dengan ketentuan jika terjadinya akad jual beli, wang tanda jadi tersebut akan mengurangkan jumlah harga sebenar. Jika akad jual belinya tidak terjadi, maka duit itu wajib dikembalikan semula. (Muhammad Taqi al-Utsmani, Fiqhul Buyū’ ‘ala al-Madzāhib al-Arba’ah, Juz I, hlm. 115).
Duit tanda jadi (hāmisy jiddiyyah) (هامش الجدية) hukumnya adalah boleh (jā’iz) asalkan memenuhi empat syarat berikut :
Pertama, duit itu diberikan oleh calon pembeli kepada penjual sebelum terjadinya akad jual beli.
Kedua, duit tersebut berstatus sebagai titipan/amanah yang diberikan kepada penjual. Ini bermaksud, duit itu tidak boeh di-tasharruf-kan (dimanfaatkan) oleh penjual, sebagai contoh digunakan untuk berjual-beli, membayar gaji pekerja dan sebagainya.
Ketiga, duit itu akan mengurangkan jumlah keseluruhan harga jika terjadinya akad jual beli.
Keempat, duit itu wajib dikembalikan kepada calon pembeli jika dia tidak jadi membeli. (Muhammad Taqi al-Utsmani, Fiqhul Buyū’ ‘ala al-Madzāhib al-Arba’ah, Juz I, hlm. 115).
Duit tanda jadi (hāmisy jiddiyyah) (هامش الجدية) ini mempunyai persamaan dan perbezaan dengan deposit (duit muka/down payment/’urbūn).
Persamaan duit tanda jadi dengan deposit adalah keduanya akan mengurangkan jumlah harga jika terjadinya akad jual beli atau tidak dibatalkan oleh pembeli. (Muhammad Taqi al-Utsmani, Fiqhul Buyū’ ‘ala al-Madzāhib al-Arba’ah, Juz I, hlm. 118).
Perbezaanya antara keduanya pula terbahagi kepada tiga, iaitu :
Pertama, perbezaan dari segi waktunya sama ada diberikan sebelum atau sesudah terjadinya akad jual beli. Duit tanda jadi diberikan saat pra-akad (sebelum terjadinya akad jual beli) (qabla injāzi al-bay’).
Sedangkan duit deposit pula diberikan pasca akad atau diberi bersamaan saat akad jual beli terjadi. (ma’a injāzi al-bay’ aw ba’dahu) (Muhammad Taqi al-Utsmani, Fiqhul Buyū’ ‘ala al-Madzāhib al-Arba’ah, Juz I, hlm. 118).
Kedua, berbeza dari segi perpindahan hak milik (naqlul milkiyyah, transfer of ownership). Duit tanda jadi, jika diberikan, ia bersifat sebagai titipan (amanah), iaitu wadi’ah di tangan pihak penjual. Maksudnya duit tersebut belum menjadi hak milik penjual dan dengan demikian pihak penjual tidak boleh melakukan tasharruf (pemanfaatan) menggunakan duit tersebut.
Berkenaan deposit pula, jika diberikan, sudah menjadi hak milik penjual dan dengan demikian, penjual berhak melakukan tasharruf (pemanfaatan) ke atas duit tersebut. (Muhammad Taqi al-Utsmani, Fiqhul Buyū’ ‘ala al-Madzāhib al-Arba’ah, Juz I, hlm. 115-116).
Ketiga, perbezaan dari segi berlakunya akad atau dibatalkan. Jika akad jual beli tidak terjadi, duit tanda jadi itu wajib dipulangkan semula kepada calon pembeli. Ini adalah kerana duit itu belum pun menjadi hak milik penjual.
Terkait duit deposit pula, jika akad jual belinya dibatalkan oleh pembeli, deposit itu sudah menjadi hak milik pihak kedua (penjual) atau istilahnya deposit hangus. (Muhammad Taqi al-Utsmani, Fiqhul Buyū’ ‘ala al-Madzāhib al-Arba’ah, Juz I, hlm. 118).
Wallahualam.

