Site icon MuslimahHTM News

Hukum Syarak Seputar Barang Temuan (Luqathah)

[Hukum Fikh] Hukum Syarak Seputar Barang Temuan (Luqathah)

Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi

 

Soalan :

Ustaz, saya mahu bertanya, saya pemandu teksi. Kisahnya, saya pernah terjumpa cincin emas putih dan earphone kepunyaan penumpang saya. Kemudian saya laporkan barang tersebut ke pejabat. Setelah sekian lama tidak ada yang menuntut, barang tersebut dipulangkan semula kepada saya. Soalannya, bolehkan barang tersebut saya jual atau gunakan untuk keperluan saya dan bagaimana sebaiknya menurut hukum Islam.

 

Soalan kedua, ayam milik jiran saya mencari makan di halaman saya. Ketika ia bertelur di halaman saya, adakah telurnya menjadi milik saya?

 

Jawapan :

Kami akan menjawab dua soalan tersebut sekaligus kerana kedua-dua persoalan tersebut adalah mirip dan secara tinjauan fikih ia dikaji dalam bab fikih yang sama iaitu Bab Al-Luqathah (Bab tentang barang temuan).

 

Syeikh Rawwas Qal’ah Jie mendefinisikan Al-Luqathat sebagai berikut,

 

اَللُّقَطَةُ هِيَ اْلمَالُ الَّذِيْ يُوْجَدُ مُلْقىً فَي الطَّرِيْقِ وَنَحْوِهِ وَلاَ يُعْرَفُ لَهُ صَاحِبٌ

“Luqathah adalah harta yang ditemukan  terbiar di jalan dan di tempat seumpamanya, dan tidak diketahui pemiliknya.” (Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat al-Fuqohā`, hlm. 362).

 

Sementara itu, dalam kitab Al-Mu’jam al-Wasīth, definisi Al-Luqathah adalah sebagai berikut,

 

اَللُّقَطَةُ هِيَ الشَّيْءُ الَّذِيْ تَجِدُهُ مُلْقىً فَتَأْخُذُهُ

“Luqathah adalah sesuatu yang Anda temukan dalam keadaan terbiar lalu Anda mengambilnya.” (Ibrahim Anies dkk, Al-Mu’jam Al-Wasīth, hlm. 834).

 

Definisi paling baik dan lengkap barangkali definisi dalam kitab Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, yang mendefinisikan Al-Luqathah sebagai berikut,

 

اَللُّقَطَةُ شَرْعًا هِيَ اْلمَالُ الضَّائِعُ عَنْ رَبِّهِ يَلْتَقِتُهُ غَيْرُهَ، أَوِ الشَّيْءُ الَّذِيْ يَجِدُهُ الْمَرْأُ مُلْقىً فَيأْخُذُهُ أَمَانَةً

“Luqathah menurut pengertian syariat adalah harta yang hilang dari pemiliknya yang ditemukan oleh orang lain, atau sesuatu yang ditemukan oleh seseorang dalam keadaan terbiar lalu dia mengambilnya sebagai barang amanah (titipan).” (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 35/295).

 

Dengan memahami definisi al-luqathah (barang temuan) ini, maka jelaslah bahawa hukum luqathah inilah yang tepat untuk diterapkan pada dua pertanyaan di atas. Jadi, soalan pertama dan kedua di atas jelas merupakan kes Al-Luqathah yang ada dalam fikh Islam.

 

Untuk barang temuan berupa sebutir telur, hukumnya boleh untuk terus dimiliki oleh orang yang menemuinya tanpa ada kewajipan untuk mengumumkannya kepada masyarakat terlebih dahulu. Imam Taqiyuddin An-Nabhani rahimahullah menjelaskan,

 

أَمَّا إنْ كَانَتْ مِنْ التَّوَافِهِ، كَالتَّمْرَةٍ وَاللُّقْمَةِ، وَمَا شَاكَلَ ذَالِكَ، فَإِنَّهُ لَا يُعَرَّفُ عَلَيْهِ، وَإِنَّمَا يَمْلِكُهُ فِي الْحَالِ

“Adapun jika barang temuan itu termasuk barang-barang yang remeh (murah harganya), seperti satu butir kurma, atau satu suap [makanan], atau yang seumpamanya, maka tidak wajib diumumkan, melainkan boleh dimiliki (oleh penemunya) saat itu juga.” (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Iqtishādi fi Al-Islām, hlm. 124).

 

Dalil bahawa barang temuan yang remeh atau murah harganya, boleh terus dimiliki atau dimanfaatkan oleh penemunya adalah hadis berikut ini,

 

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ رَخَّصَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْعَصَا وَالسَّوْطِ وَالْحَبْلِ وَأَشْبَاهِهِ يَلْتَقِطُهُ الرَّجُلُ يَنْتَفِعُ بِهِ

Dari Jabir bin Abdullah RA, dia berkata, ”Rasulullah SAW memberikan keringanan kepada kami untuk barang temuan berupa tongkat, pecut, tali dan yang serupanya yang ditemukan dan dimanfaatkan oleh seseorang (penemunya).” (HR Abu Dawud, no. 1459).

 

Berdasarkan penjelasan ini, barang yang remeh atau murah harganya, seperti satu biji telur yang ditanyakan di atas, boleh hukumnya untuk terus dimiliki atau dimanfaatkan oleh penemunya. Hukum ini berlaku untuk barang-barang temuan lain yang seumpamanya, yang remeh atau murah harganya, yang menurut kebiasaan masyarakat, tidak akan dicari oleh pemiliknya jika barang itu hilang. Contohnya, satu potong pisang goreng, satu botol minuman mineral, satu kotak mancis, satu butir kurma dan sebagainya. Barang-barang seperti ini boleh hukumnya untuk terus dimiliki atau dimanfaatkan oleh penemunya.

 

Perkara ini tentu berbeza jika barang yang ditemui bukan satu biji telur melainkan sepuluh atau dua puluh biji telur contohnya. Barang seperti ini tentu cukup bernilai (bukan barang remeh yang murah harganya), yang kemungkinan masih akan dicari oleh pemiliknya jika barang itu hilang. Oleh kerana itu, kes ini mempunya hukum syarak yang berbeza.

 

Khas untuk barang-barang seperti ini (yang akan dicari pemiliknya jika hilang), tetapi sifatnya tidak dapat disimpan atau tidak tahan lama seperti makanan, buah-buahan, kuih-muih dan yang sejenisnya, hukum syaraknya dijelaskan oleh Imam Taqiyuddin An-Nabhani sebagai berikut,

 

أَمَّا إنْ كَانَتْ مِمَّا لَا يُمْكِنُ حِفْظُهَا، بِأَنْ كَانَتْ مِمَّا لَا يَبْقَى، كَالْأَكْلِ، وَالْبَطِيْخِ، وَمَا شَاكَلَهُ، فَهُوَ مُخَيَّرٌ بَيْنَ أَنْ يَأْكُلَهُ وَغَرِمَ ثَمَنَهُ لِصَابِحِهِ إِنْ وُجِدَ، وَبَيْنَ أَنْ يَبِيْعَهُ وَيَحْفَظَ ثَمَنَهُ مُدَّةَ الْحَوْلِ

“Adapun jika barang temuan itu merupakan barang yang tidak mungkin disimpan, dalam erti kata lain, barangnya tidak dapat bertahan lama, seperti makanan atau buah tembikai dan barang yang sepertinya, maka penemunya boleh memilih salah satu dari dua pilihan, pertama, memakannya dan menjamin harganya bagi pemiliknya jika pemiliknya datang. Kedua, menjualnya dan menyimpan harganya dalam jangka waktu satu tahun menurut kalender hijriah (haul).” (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Iqtishādi fi Al-Islām, hlm. 124).

 

Adapun barang temuan seperti cincin dan earphone di dalam teksi, umum mengetahui bahawa barang tersebut merupakan barang bernilai dan sifatnya dapat disimpan atau dapat bertahan lama. Untuk barang seperti ini, hukumnya adalah wajib untuk diumumkan dahulu kepada masyarakat selama satu tahun (dalam kalender hijrah). Jika pemiliknya tidak datang setelah diumumkan selama satu tahun menurut kalender hijrah, barang temuan yang seperti ini boleh dimiliki oleh penemunya. Dalilnya adalah sabda Rasulullah SAW,

 

مَا كَانَ مِنْهَا فِي طَرِيقِ الْمِيتَاءِ أَوْ الْقَرْيَةِ الْجَامِعَةِ فَعَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا فَادْفَعْهَا إِلَيْهِ وَإِنْ لَمْ يَأْتِ فَهِيَ لَكَ، وَمَا كَانَ فِي الْخَرَابِ يَعْنِي فَفِيهَا وَفِي الرِّكَازِ الْخُمُسُ

“Apa yang ditemukan di jalan yang dilalui orang atau di kampung yang ada penduduk, maka umumkanlah selama setahun. Jika datang orang yang mencarinya, serahkan barang itu kepada dia. Jika tidak ada yang datang, itu untukmu. Dan apa yang ditemukan di reruntuhan (bukan jalan yang dilalui umum), maka padanya dan pada rikaz (harta yang terpendam di dalam tanah), ada khumus (kewajipan mengeluarkan seperlima dari harganya).” (HR Abu Dawud, no. 1710).

 

Berdasarkan dalil hadis di atas, jelaslah hukum syarak yang berlaku untuk barang temuan berupa cincin dan earphone di dalam teksi. Jadi barang temuan ini wajib diumumkan terlebih dahulu selama satu tahun hijriah. Jika datang pemiliknya, berikanlah kepadanya. Namun, jika pemiliknya tidak datang, boleh hukumnya barang itu dimiliki oleh penemunya, setelah berlalu satu tahun menurut kalender hijriah. Wallahualam.

 

#soaljawab #hukumfikh #luqathah #barangtemuan

Exit mobile version