[TPOM] Ibu Generasi Penakluk
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, …” (TMQ An-Nisa [4]: 9)
Jika ditelusuri realiti hari ini, banyak generasi yang dibiarkan dalam keadaan lemah, bukan hanya dalam hal kekayaan material, malah yang lebih berbahaya daripada itu, iaitu kelemahan generasi Muslim dalam aspek mental dan spiritual. Tugas kita masih sangat banyak dalam membina
generasi muda Muslim, kerana jumlah mereka yang besar ternyata belum seimbang dengan kekuatan umat Islam di seluruh dunia serta pengendalian kedudukan geografi dunia Islam. Padahal dunia Islam adalah wilayah yang sangat kaya, serta mempunyai kedudukan kunci secara geografik yang sangat strategik di persimpangan samudera dan benua.
Di tengah gelombang kesedaran Islam yang sudah mulai memulih pada umat, serta kebangkitan Islam yang semakin berkembang, maka kaum ibu Muslimah perlu kembali mengambil peranan besar untuk menyambungkan kembali dua kekuatan besar yang terputus yakni potensi besar pemuda Muslim dan aset-aset geostrategik dunia Islam. Dengan begitu kebangkitan generasi penakluk adalah kenescayaan di depan mata. Ibu Muslimah sejati perlu menyedari bahawa peranannya sebagai ibu adalah peranan yang sangat mulia sekaligus sangat bersifat politik, yang tidak dapat sesekali dikerdilkan muslihat feminisme yang sering merendahkan peranan keibuan. Peranan sebagai Umma Ajyal atau ibu generasi disini merupakan manifestasi perpaduan peranan kaum Muslimah dari kewajipannya sebagai ibu dan kewajipannya berdakwah yang didasari oleh kesedaran politik yang tinggi.
Sebagaimana kita boleh menjadikan kisah hebat seorang ibu kepada Sang Penakluk Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah mendidik dan membesarkannya sehingga berjaya menjadi insan terpilih seterusnya merealisasikan bisyarah nabi sebagai inspirasi dan motivasi. Si ibu yang bercita-cita tinggi, yang menginginkan anaknya menjadi penakluk Kota Konstantinopel. Sejak kecil, si ibu akan membawa Sultan Muhammad Al-Fateh keluar dari istana dan berdiri di sebuah tebing, di mana tebing itu menghadap kea rah Konstantinopel. Ibunya akan berkata:
“Wahai anakku, di sana terdapat kota Konstantinopel. Dan Rasulullah SAW bersabda, “Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya (penakluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” Ketahuilah anakku, Engkaulah orangnya.”
Setiap hari, tanpa jemu, ibunya akan membawa Sultan Muhammad Al-Fateh ke tebing itu, sejak bayi, sehinggalah Muhammad Al-Fateh boleh berjalan. Apabila semakin besar, ibunya mengajarkannya ilmu geografi, garis sempadan wilayah Konstantinopel. Ibunya berkata, “Engkau, wahai Muhammad akan membebaskan wilayah ini. Muhammad Al-Fateh bertanya, “Bagaimana aku boleh membebaskan wilayah sebesar itu wahai ibu?” Ibunya pun menjawab, “Dengan Al-Quran, kekuatan, persenjataan, dan mencintai manusia.”
Akhirnya, kita dapat melihat bukti dari tangan seorang ibu yang bercita-cita besar, yang sabar dan tabah mendidik anak agar menjadi seorang penakluk yang hebat. Ini hanyalah satu kisah di antara jutaan teladan yang dapat dikutip agar para ibu generasi saat ini dapat menanamkan satu semangat baru seterusnya bercita-cita besar juga untuk melahirkan generasi penakluk seperti Sultan Muhammad Al-Fateh.
Sumber: Geopolitik Ibu (Fika Komara & Tim Institut Muslimah Negarawan)

