[Syarah Hadis] Asabiyyahah, Haram dan Menjijikkan
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “man kharaja minath thâ’ati wa fâraqal jamâ’ata thumma mâta mâta mîtatan jâhiliyyatan wa man qutila tahta râyatin ‘ummiyyatin yaghdhabu lil ‘ashabiyati wa yuqâtilu lil ‘ashabiyati falaysa min ummatî wa man kharaja min ummatî ‘alâ ummatî yadhribu barrahâ wa fâjirahâ lâ yatahâsya min mu`minihâ wa lâ yafî bizi ‘ahdihâ falaysa minnî”
“Sesiapa yang keluar dari ketaatan dan memecahbelahkan jamaah kemudian mati, dia mati dalam keadaan jahiliah. Dan sesiapa yang terbunuh di bawah panji-panji yang buta, dia marah untuk kelompok dan berperang untuk kelompok, maka dia bukan bahagian dari umatku. Dan sesiapa yang keluar dari umatku memerangi umatku, memerangi orang baik dan jahatnya dan tidak takut akan akibat perbuatannya terhadap orang mukminnya dan tidak memenuhi perjanjiannya, maka dia bukanlah sebahagian daripada golonganku.” [HR Muslim, Ahmad, Ibnu Majah, An-Nasai].
Hadis ini menjelaskan beberapa perkara:
Pertama, haram keluar dari ketaatan kepada imam/khalifah dan haram memecahbelahkan jamâ’atul muslimîn (jamaah umat Islam). Yang dimaksudkan dengan jamâ’atul muslimîn dalam hadis adalah jamaah umat Islam yang dipimpin oleh seorang imam/khalifah. Ketentuan ini juga banyak dinyatakan dalam hadis-hadis lain.
Kedua, haram bagi sebahagian umat Islam memerangi sebahagian yang lain, peperangan yang tidak dibenarkan. Larangan ini berlaku secara individu mahupun berkumpulan. Larangan ini juga ditegaskan dalam banyak hadis lain. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa darah, harta, dan kehormatan seorang muslim adalah haram bagi muslim yang lain. Larangan ini tidak termasuk perang yang dibenarkan, contohnya memerangi khalifah kedua yang dibai’at, perang ta’zib terhadap pelaku bughat, dan sebagainya.
Ketiga, diharamkan menyeru, membela, dan memperjuangkan asabiyyah. Hadis di atas, walaupun ia adalah berbentuk perkhabaran, tetapi kerana disertai dengan celaan, maka maknanya adalah larangan. Qarinah yang ada menunjukkan ketegasan larangannya, iaitu qarinah “falaysa min ummatiy” atau “faqitlatuhu jâhiliyyatun” atau disebut sebagai râyah ‘ummiyah.
Imam An-Nawawi dalam Syarh Sahîh Muslim menyatakan, “Râyah ‘ummiyyah adalah perkara yang buta yang tidak jelas arahnya.” Begitulah yang dikatakan oleh Ahmad bin Hanbal dan Jumhur. Ishaq bin Rahwaih berkata, “Ini seperti kaum yang berperang sesama sendiri kerana asabiyyah.”
Ali al-Qari dalam Mirqatu al-Mafâtîh berkata, “Dalam kamus al-‘ummiyyah bermaksud kesombongan (al-kibru) dan kesesatan (ad-dhalâl).” Al-Qari meneruskan, “Yaghdhabu, iaitu hâl (keterangan) menjelaskan keadaan dia marah kerana asabiyyah, iaitu kebiasaan yang disandarkan kepada asabiyyah, maksudnya tidak meninggikan kalimat thayyibah. “Aw yad’û -menyeru-” iaitu menyeru orang lain untuk asabiyyah.”Aw yanshuru -menolong-” iaitu dengan perbuatan, pukulan dan peperangan secara asabiyyah.
Imam An-Nawawi berkata, “Maksudnya berperang tanpa pandangan dan pengetahuan disebabkan sikap ta’asub (fanatik), seperti perang jahiliyah dan tidak mengetahui kebenaran dari kebatilan. Dia marah kerana asabiyyah, bukan untuk menolong agama, dan asabiyyah menolong kaumnya dalam kezaliman.”
At-Thaibiy berkata, sabda Rasul “tahta râyah ‘ummiyyah ialah kinâyah (kiasan) dari jemaah yang berkumpul atau berhimpun pada perkara yang tidak jelas, benar atau batil.”
‘Asobiyah berasal daripada ‘ushbah (kelompok) dan ‘ashabah (kerabat lelaki). ‘Asobiyah bermaksud ikatan kelompok, baik kelompok keturunan mahupun yang lain. Nasionalisme, etnik, golongan, kedaerahan, jamaah, parti, mazhab, dan lain-lain, termasuk dalam makna ‘asobiyah.
Cuma larangan atau keharaman ikatan asabiyyah bukan bermakna tidak boleh mencintai suku, daerah, keluarga, jamaah, kelompok, golongan, mazhab. Sebaliknya, maksudnya ialah tidak boleh atau haram menjadikan ikatan asabiyyah di atas segala-galanya, di atas kebenaran dan di atas ikatan Islam dan keimanan, di atas persaudaraan Islam.
Oleh itu, dalam Islam tidak ada istilah right or wrong is my country, my nation, my mazhab, my party, my jamaah, dan lain-lain. Dalam Islam tidak ada slogan, “Sama ada betul atau salah, yang penting negara saya, bangsa saya, mazhab saya, parti saya, jamaah saya, kelompok saya, guru saya, dan lain-lain.” Sikap asabiyyah (fanatisme kelompok) mesti ditinggalkan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW.
Sikap asabiyyah boleh menimbulkan pelbagai masalah besar dalam kalangan umat. Asabiyyah boleh membuat manusia menolak kebenaran, merendahkan orang atau pihak lain. Ia boleh merosakkan ukhuwwah Islamiah. Asabiyyah juga boleh menyebabkan orang atau kelompok menganiaya orang lain atau kelompok lain.
Malah lebih daripada itu, asabiyyah boleh membuat kelompok bahkan negara berperang sesama sendiri dan membunuh sesama sendiri tanpa alasan yang dibenarkan. Maka asabiyyah membawa kepada kehidupan jahiliah. Wallahua’lam bissawab.
Sumber: mediaumat.id

