Site icon MuslimahHTM News

Pandangan Akhirat

[Nafsiyah] Pandangan Akhirat

Penulis: Ustaz Ismail Yusanto

 

Ketika memandang dunia dengan timbangan-timbangan akhirat, kamu akan mendapati kenyataan bahawa semua perhiasan dunia yang menakjubkan dan mempesona tidaklah layak ditukar dengan kebahagiaan abadi yang kita semua tunggu.

 

Petikan nasihat di atas disampaikan Orhan kepada Murod. Orhan adalah anak lelaki Osman, cucu Sulaiman Syah, pemimpin Kabilah Qayi yang menjadi pelopor Kekhilafahan Uthmani. Utsman atau Osman adalah anak lelaki Ertugrul. Dia berperanan penting dalam perjuangan menghadapi dua kekuatan besar saat itu, yakni Byzantium dari arah matahari tenggelam dan Mongol dari arah matahari terbit. Melalui tangan Ertugrul dan Sulaiman Syah lahir pemimpin-pemimpin hebat seperti Osman, Orhan, dan Murad. Kelak anak keturunan mereka melahirkan Muhammad Al-Fatih, sang penakluk Konstantinopel dan pelanjut kejayaan era Kekhilafahan hingga runtuh pada 1924.

 

Salah satu karakter menonjol dari kabilah ini adalah keteguhannya memegang nilai-nilai keimanan kepada Allah Taala, ketaatan penuh kepada syariat, dan keberanian dalam perjuangan dan jihad. Itu semua mampu kukuh tertanam di kalangan mereka. Ada satu hal yang selalu ditanamkan kepada anak keturunan mereka, yakni untuk selalu mengorientasikan kehidupannya pada akhirat dan memandang dunia dengan kaca mata akhirat, seperti nasihat Orhan kepada puteranya, Murod, di atas.

 

Memang sangat penting untuk kita selalu memandang dunia dengan kaca mata atau pandangan akhirat. Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari bahawa sesungguhnya dunia akan pergi meninggalkan kita, sedangkan akhirat pasti akan datang. Masing-masing dari dunia dan akhirat memiliki anak-anak. Oleh kerana itu, hendaklah kita menjadi anak-anak akhirat dan jangan menjadi anak-anak dunia. Ini kerana, hari ini adalah hari amal, bukan hisab, sedangkan kelak adalah hari hisab, bukan amal.

 

Apa saja pengaruhnya jika kita selalu menggunakan kaca mata akhirat?

 

Pertama, kita akan menyedari dengan benar bahawa kehidupan dunia itu sementara, sedangkan yang abadi itu kehidupan akhirat (darul qarar). Nabi SAW bersabda, “Kehidupan dunia tidak ubahnya bagaikan seorang musafir, istirehat sebentar di bawah pohon, kemudian berlalu meninggalkan pohon itu.” (HR At-Tirmizi).

 

Sesingkat itulah hidup kita di dunia. Jika dibandingkan dengan waktu yang bakal dijalani nanti di akhirat, akan terasa lebih singkat lagi. Menurut Allah SWT dalam surah Al-Hajj: 47, satu hari di akhirat bagaikan 1000 tahun dalam perhitungan manusia. Diandaikan kita hidup 100 tahun, sepersepuluh dari 1000 tahun, maka itu tidak lebih dari 2.4 jam atau sepersepuluh dari 24 jam, di akhirat nanti.

 

Kedua, akhirat mestilah menjadi arah dan pusat orientasi hidup kita di dunia, sebagaimana Allah minta dalam surah Al-Qashash: 77. Allah SWT memerintahkan kita untuk mencari apa yang telah Allah anugerahkan kepada kita di negeri akhirat, tetapi jangan melupakan kehidupan dunia, kerana faktanya saat ini kita hidup di dunia.

 

Perhatikanlah nasihat Rasulullah SAW, sebagaimana disebut dalam hadis riwayat Imam Bukhari, agar kita hidup di dunia bagaikan orang asing (gharib[un]) atau seorang musafir (‘abirus sabiil). Menarik menyemak penjelasan Imam Nawawi atas hadis ini. Katanya, kita hendaklah menjadi seperti orang asing, kerana tempat asal kita bukanlah di dunia, tetapi di syurga. Bukankah moyang kita, Nabi Adam AS tempat asalnya adalah syurga? Oleh kerana itu, kita disebut abirus sabiil atau orang yang dalam perjalanan menuju asal kita, yakni syurga.

 

Ketiga, nikmat apa pun yang ada di dunia tidak sebanding dengan nikmat yang akan diterima di akhirat nanti. Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi SAW menyatakan, “Nikmat dunia jika dibandingkan dengan nikmat akhirat tidak lebih seperti ketika seseorang mencelupkan jarinya ke dalam lautan, lalu perhatikan yang tersisa di jari itu. Itulah nikmat dunia. Sebaliknya, samudera dan seisinya, itulah nikmat akhirat.”

 

Orang yang paling kaya di muka bumi hari ini, konon adalah Elon Musk. Kekayaannya mencapai 269.27 billion USD (per 12/9/2023). Andai kita memiliki wang sebanyak itu, tetap saja tidak lebih dari air yang  menitis dari jemari tadi. Apalagi faktanya, kita tidak memiliki harta sebanyak itu. Oleh kerana itu, rugi besar siapa saja yang mengorbankan yang abadi untuk yang sangat sementara dan mengorbankan yang banyak untuk yang sangat sedikit. Sudahlah sedikit, sementara pula.

 

Keempat, dengan kaca mata akhirat, kita akan makin sedar bahawa pintu menuju akhirat tidak lain adalah kematian. Kematian adalah sebuah kepastian. Ia akan tiba, bila-bila pun, di mana pun. Oleh kerana itu, orang yang menggunakan kaca mata akhirat akan selalu menjaga iman dan takwanya di mana pun dan bila pun berada. Dia takut melakukan maksiat kerana khuatir saat sedang maksiat, ajal tiba-tiba datang. Nabi SAW bersabda, “Orang yang cerdas adalah orang yang paling banyak mengingat kematian dan paling sungguh-sungguh menyiapkan diri menyongsong kematian agar husnul khatimah.” (HR Ibnu Majah).

 

Ketika kita tiba di akhirat, semua akan dimintai pertanggungjawaban. Tidak ada lagi kesempatan untuk menambah kebaikan atau memperbaiki kesalahan. Semua orang akan menyesal, kecuali yang benar-benar beriman dan beramal soleh.

 

Kelima, orang yang menggunakan kaca mata akhirat akan memiliki keberanian lebih untuk membela kehormatan diri, keluarga, harta dan jiwa, serta dalam menjalankan kewajipan agama, khususnya dakwah memperjuangkan risalah Islam. Dia tidak takut pada risiko perjuangan itu, termasuk jika sampai mengancam jiwanya, kerana yakin akan qada Allah terkait ajal dan kematian. Meskipun kerana itu dia perlu mati, maka itu adalah kematian yang mulia. Kemuliaannya disetarakan dengan syahidnya Sayidina Hamzah ra., pahlawan Perang Uhud.

 

Keenam, orang yang selalu menggunakan kaca mata akhirat akan memanfaatkan hidup di dunia dengan sebaik-baiknya untuk bertakwa kepada Allah dengan takwa yang sebenar-benarnya. Ingatlah selalu nasihat Nabi SAW, “Manfaatkanlah lima perkara sebelum lima perkara. Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu. Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu. Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu. Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu. Hidupmu sebelum datang kematianmu.” (HR Al Hakim).

 

Ketika kematian tiba, tidak ada lagi kesempatan kedua untuk berbuat taat dan menghindari maksiat.

 

Ketujuh, orang yang menggunakan kaca mata akhirat tidak ingin menyesal seperti menyesalnya orang-orang yang disebut di dalam Al-Quran. Orang kafir menyesal, lebih baik menjadi tanah daripada menjadi manusia tetapi kafir. Sebaliknya, yang sudah beriman juga menyesal kerana tidak banyak beramal soleh. Bahkan, ada orang yang meminta kepada Allah SWT menunda kematiannya walaupun sebentar untuk bersedekah dan menjadi orang soleh. Seperti dinyatakan dalam firman-Nya, “Dan infakkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu, lalu ia berkata (menyesali), ‘Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang soleh.’” (Surah Al-Munafiqun: 10).

 

Kelapan, orang yang menggunakan kaca mata akhirat dengan cepat akan menyedari kesalahan dan bersegera bertaubat. Dia bimbang ajal segera tiba dan tidak ada kesempatan untuk memperbaiki diri. Jika untuk menyucikan diri perlu melalui hukuman, dia akan menerima dengan senang hati. Seperti kisah seorang wanita yang berzina pada masa Nabi SAW dalam hadis riwayat Imam Muslim. Dia amat menyesal, lalu bertaubat, dan datang kepada Rasulullah SAW untuk minta direjam. Namun, hukuman tidak terus boleh dilakukan kerana dia sedang hamil. Setelah melahirkan, dia datang kepada Rasulullah lagi, tetapi Rasul memintanya untuk menggenapkan penyusuan anaknya. Akhirnya, hukuman dilaksanakan. Ketika mensolatkan jenazahnya, Umar bin al-Khattab ra. mempersoalkannya kerana dia wanita pezina. Rasulullah SAW kemudian menyatakan bahawa dia telah bertaubat dengan suatu taubat yang seandainya dibagi pada tujuh puluh penduduk Madinah, nescaya masih cukup. Apakah ada orang yang lebih utama dari seorang yang telah menyerahkan dirinya kepada hukum Allah?

 

Kesembilan, orang yang menggunakan kaca mata akhirat akan selalu berdoa, seperti tersebut dalam surah Yusuf: 101, agar diwafatkan dalam keadaan Islam dan digabungkan bersama orang-orang soleh.

 

Sumber: alwaie

 

Exit mobile version