Site icon MuslimahHTM News

Bersegera Melaksanakan Kewajipan

[Nafsiyah] Bersegera Melaksanakan Kewajipan

Penulis: M. Taufik N.T.

 

Allah SWT berfirman,

وَسَاِرعُوْا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَّبِكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَ

Dan bersegeralah kamu kepada pengampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” [TMQ Ali Imran[3]: 133].

 

Dikatakan kepada seseorang dari Bani ‘Abdul Qais, “Nasihatilah kami.” Maka dia berkata,

احذروا سوف

Hati-hatilah dengan saufa.”[1]

 

Setidaknya terdapat dua hal yang akan terjadi ketika menunda pelaksanaan kewajipan, iaitu kematian lebih dahulu menjemputnya atau muncul banyak perkara yang membuat kita tidak boleh melaksanakannya lagi. Ketika menafsirkan ayat,
وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا

Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu.” [TMQ Ali Imran[3]: 135], Sahl bin Abdullah (w. 238H) berkata,

 

“Dan ishrar (terus-menerus berbuat keji) maknanya adalah menunda-nunda (taswif), dan maksud menunda-nunda adalah seseorang berkata, “Aku akan bertaubat esok (sahaja).” dan ini adalah (sekadar) suara jiwa. Bagaimana dia akan bertaubat esok, padahal esok dia tidak (boleh menjamin) memilikinya!”[2]

 

Rasulullah SAW adalah contoh terawal dalam melaksanakan kewajipan tanpa menunda-nunda lagi. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Uqbah bin al Harits, beliau berkata, “Suatu ketika aku solat Asar di belakang Nabi SAW di Madinah. Kemudian baginda SAW salam, lalu cepat-cepat berdiri. Baginda SAW melangkah di belakang orang-orang yang ada di masjid menuju ke sebahagian bilik isterinya. Orang di situ pun merasa terkejut dengan bergegasnya Nabi. Kemudian Nabi SAW keluar dari bilik isterinya menuju mereka. Nabi SAW melihat para sahabat kehairanan kerana bergegasnya baginda. Lalu baginda SAW bersabda,

ذَكَرْتُ شَيْئًا مِنْ تِبْرٍ عِنْدَنَا، فَكَرِهْتُ أَنْ يَحْبِسَنِي، فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ

Aku teringat biji emas (zakat) yang ada padaku. Aku tidak suka jika barang itu menahanku, maka aku memerintahkan untuk membahagi-bahagikannya.”
‘Yahbisaniy’ (menahanku) bermakna “menyibukkan fikiranku tentangnya dari bertawajjuh dan menghadap Allah SWT.” [3]

 

Generasi sahabat–bahkan generasi setelahnya—juga menjadi contoh bagaimana meneladani Rasulullah SAW dalam sikap bergegasnya mereka melaksanakan pelbagai amal soleh.

 

Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa ketika turun ayat tentang perubahan arah kiblat, para sahabat langsung mengubah arah Kiblat padahal mereka sedang rukuk solat Asar.[4] Ketika para sahabat ditimpa kelaparan beberapa malam saat perang Khaibar, akhirnya mereka berhasil mendapatkan dan memasak keldai jinak. Ketika hampir masak, mereka diberitahu bahawa keldai jinak haram dimakan, maka mereka tidak jadi memakannya. [5] Rasa lapar tidak menghalangi mereka untuk bergegas menjalankan perintah Allah.
Kerugian harta benda juga sanggup mereka tanggung demi terlaksananya hukum Allah SWT.

 

Ketika khamar diharamkan, datanglah seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Sesungguhnya aku menyimpan harta anak yatim lalu aku beli khamar dengan harta itu. Apakah aku mesti menjualnya kembali untuk mengembalikan hartanya?” Rasulullah SAW bersabda,

قَاتَلَ اللَّهُ الْيَهُودَ حُرِّمَتْ عَلَيْهِمُ الشُّحُومُ، فَبَاعُوهَا، وَأَكَلُوا أَثْمَانَهَا

Semoga Allah membinasakan kaum Yahudi, telah diharamkan atas mereka lemak, lalu mereka menjualnya dan memakan hasil penjualannya.” Lalu lelaki tersebut berkata, “Rasulullah SAW tidak mengizinkan aku menjual khamar.” [6]

 

Bahkan ketika itu ada sahabat yang gelas khamar sudah menempel di bibirnya, namun ketika mendengar khamar telah diharamkan, mereka segera membuangnya.[7]

 

Terkait menutup aurat, Siti Aisyah RA berkata,
يَرْحَمُ اللَّهُ نِسَاءَ المُهَاجِرَاتِ الأُوَلَ، لَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ: {وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ} شَقَّقْنَ مُرُوطَهُنَّ فَاخْتَمَرْنَ بِهَا
Semoga Allah merahmati kaum wanita yang hijrah pertama kali, ketika Allah menurunkan firmanNya, “Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya.” [TMQ An-Nur(24): 31]. Maka kaum wanita itu mengoyak kain mereka dan menutup kepala mereka dengan koyakan kain tersebut.”[8]

 

Mereka tidak menunda, apalagi mencari alasan untuk tidak bertudung. Itulah beberapa contoh generasi terbaik umat ini. Mencontohi mereka merupakan suatu keberuntungan. Sebaliknya sikap menunda-nunda, menunggu waktu lapang, sibuk mencari alasan untuk menghindari kewajipan adalah sikap yang bukan hanya merugikan diri sendiri, namun juga merupakan bentuk kebodohan diri. Hal ini dikatakan oleh Ibnu Athaillah,
احالتك الأعمالَ على وجود الفَراغ من رُعُوناتِ النفس .
Penundaanmu terhadap amal-amal kebajikan kerana menunggu adanya waktu lapang adalah sebahagian dari kebodohan diri.”[9]

 

Menyerah dengan menunda ketaatan, walaupun kerana ada rintangan, lambat laun boleh menjatuhkan diri pada kehinaan. Akibatnya di saat tidak ada rintangan pun Allah SWT tidak bukakan hatinya untuk melakukan ketaatan.

الخذْلانُ كُلُّ الخذْلانِ أَنْ تَتَفَرَّغَ مِنْ الشَّواغِلِ ثُمَّ لا تَتَوَجَّهَ إلَيْه,ِ
Adalah sangat hina jika engkau mendapatkan kelapangan dari segala kesibukan, namun engkau tidak menghadap kepadaNya.”[10]

 

Hanya sahaja jika memang ada kewajipan lain yang saling berbenturan, maka tiada masalah menunda suatu kewajipan, mengatur waktu, dan membuat urutan keutamaan kegiatan yang mesti dilakukan lebih dahulu. Yang menjadi masalah adalah ketika pelbagai kewajipan tersebut sebenarnya boleh diatur agar tidak ada benturan, tetapi lalai mengaturnya.

 

Lebih parah lagi jika masih ada waktu senggang untuk melakukan pelbagai kewajipan dan kebaikan, contohnya masih sempat menghadiri halaqah, muthola’ah, dan lain-lain, lalu ditunda dan malah membuat kesibukan yang tidak berguna. Sungguh ini adalah kerugian, bahkan boleh jadi petanda bahawa Allah SWT sedang berpaling dari kita. Imam Al-Hasan al-Bashri berkata,
مِنْ عَلَامَةِ إِعْرَاضِ اللَّهِ تَعَالَى عَنِ الْعَبْدِ أَنْ يَجْعَلَ شُغْلَهُ فِيمَا لَا يَعْنِيهِ
“Di antara tanda ‘berpalingnya’ Allah SWT dari seorang hamba adalah Dia menjadikan hamba tersebut sibuk dalam hal-hal yang tidak berguna baginya.”[11]

 

Sungguh,  setiap detik yang dilalui seseorang, setiap detik itu pula dia menuju titik kematiannya. Titik yang tidak boleh diundur walau sekejap pun. Tidak cukupkah kematian ini menjadi penasihat?

 

Sumber: mtaufiknt[dot]wordpress[dot]com

[1] Abd al-‘Azîz bin Muhammad bin ‘Abdillah Al-Sad-hân, Ma’âlim Fî Tharîqi Thalabi al-‘Ilmi (Dâr al-Ashimah, 1999), hlm. 32. saufa maknanya nanti, maksudnya sikap menunda-nunda
[2] Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr Al-Qurthuby, Al-Jâmi’ Li Ahkâm al-Qur’ân, Pentahkik. Ahmad Barduni dan Ibrahim Athfisy (Kairo: Dâr al-Kutub al-Mishriyah, 1964), juz 4, hlm. 211.
[3] Ta’liq Musthafa al Bugha dalam Muhammad bin Isma’il Al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Pentahkik. Muhammad Zuhair bin Nashir, Cet. I. (Dâr Tûq al-Najâh, 1422), juz 1, hlm. 170.
[4] Ibid., juz 9, hlm. 87.
[5] Ibid., juz 4, hlm. 96.
[6] Muhammad bin Hibban bin Ahmad Al-Busti, Shahih Ibnu Hibban, Pentahkik. Syu’aib al-Arnauth, Cet. I. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 1998), juz 11, hlm. 320.
[7] Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Al-Syaibani, Musnad Al-Imam Ahmad Bin Hanbal, Pentahkik. Syu’aib al-Arnauth dkk (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 2001), juz 14, hlm. 268.
[8] Al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, juz 6, hlm. 109.
[9] Muhammad Hayat al-Sindi, Syarh al-Hikam al-Athâiyyah (Beirut: Dâr Maktabah al-Ma’arif, 2010), hlm. 27.
[10] Ibid., hlm. 117.
[11] Zainuddin Abdurrahman bin Ahmad Ibnu Rajab al-Hanbali, Jâmi’ al-’Ulûm Wa al-Hikam, Pentahkik. Syu’aib al-Arnauth, Cet. VII. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 2001), juz 1, hlm. 294.

Exit mobile version