[TPOM] Afra Binti Ubaid Bin Tsa’labah, Ibunda para Syuhada
Oleh: Chusnatul Jannah
Peristiwa Baiat Aqabah yang pertama menjadi titik permulaan penyebaran Islam ke seluruh Jazirah Arab. Peristiwa ini bermula dengan kedatangan rombongan 12 orang dari Madinah dan seorang wanita yang sedang berziarah ke Kaabah. Ringkas cerita, 12 orang ini membaiat Rasulullah untuk taat dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Sejarah menyebutkan bahawa peristiwa legenda ini digelar sebagai Baiat Nisa kerana terdapat seorang wanita yang turut serta dalam perjanjian untuk memeluk Islam dan membela Nabi Muhammad ﷺ. Dia ialah Afra binti Ubaid
Ibn Al-Jauzi dalam Ensiklopedia Sahabat (2005: 83) menjelaskan: Di antara dua belas orang dalam rombongan itu adalah Ubadah bin Ash-Shamit. Ubadah berkata, “Kami berbai’at kepada Rasulullah pada malam pertama Aqabah. Baiat kita adalah untuk tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak dan tidak menderhaka kepada-Nya dalam perkara yang makruf. Jika kalian memenuhi perkara-perkara ini, maka kalian berhak mendapatkan syurga. Namun, jika kamu melalaikan sesuatu daripadanya, maka nasib kalian tergantung pada Allah. Jika berkehendak, maka Dia akan mengampuni kamu. Jika tidak, maka Dia akan menimpakan azab.”
Baiah Aqabah yang pertama inilah yang menjadi embrio atau pelopor kepada penubuhan Negara Islam pertama di Madinah.
Ibunda para Syuhada
Afra merupakan seorang wanita yang kemuliaan setelah dia memeluk Islam. Allah Ta’ala mengurniakan kepadanya tujuh orang anak lelaki, yang kesemuanya menyertai Perang Badar sebagai seorang Muslim. Hampir semua anak lelakinya syahid di jalan Allah. Tujuh puteranya diberi nama Mu’adz, Ma’udz, Auf, Khalid, Iyas, ‘Aqil, dan Amir. Mu’adz dan Ma’udz mati syahid dalam Perang Badar. Manakala Khalid pula mati syahid semasa peristiwa Ar-Raji’. Adapun Amir pula mati syahid semasa peristiwa Bi’r Ma’unah. Sementara Iyas meninggal dunia dalam Perang Yamamah.
Afra mendidik dan membesarkan tujuh anak lelakinya dengan tangannya sendiri. Dia menanamkan dalam diri anak-anaknya asas iman dan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Dari kasih sayang yang dia tanamkan ini, salah seorang anak lelakinya berjaya membunuh ‘Firaun’ umat ini iaitu Abu Jahal kerana dia telah mencela Rasulullah ﷺ.
Diriwayatkan daripada Abdurrahman bin Auf, dia berkata, “Ketika aku berdiri dalam barisan tentera semasa Perang Badar, aku melihat ke kanan dan kiriku. Ternyata aku berada di antara dua orang pemuda dari kaum Ansar, sedangkan sebelumnya aku sudah berangan-angan berada di antara dua orang yang lebih kuat daripada mereka berdua. Kemudian, salah seorang daripada keduanya memberi isyarat kepadaku dengan matanya dan berkata, ‘Wahai pakcik, adakah kamu kenal seseorang yang bernama Abu Jahal?’ Aku menjawab, ‘Ya, kemudian apa keperluanmu dengannya?’ Dia menjawab, ‘Aku mendapat khabar bahawa dia telah mencela Rasulullah ﷺ. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kau melihatnya, maka diriku tidak akan berpisah darinya sehingga ada di antara kami yang menemui ajalnya.’”
Mendengar kata-kata pemuda itu, Abdurrahman bin Auf terkejut. Tidak lama kemudian, dia melihat Abu Jahal bergerak di antara kerumunan tentera Quraisy. Dia pun menunjukkan sosok Abu Jahal kepada dua orang pemuda yang bertanya tentang Abu Jahal. Tidak lama kemudian, dua pemuda itu segera memburu Abu Jahal dan memukul pedang mereka sehingga kedua-duanya berjaya membunuh Abu Jahal.
Kemudian, dua pemuda itu menemui Rasulullah ﷺ dan memberitahu baginda tentang hal ini. Rasullullah lalu bertanya, “Siapakah di antara kamu berdua yang membunuhnya?” Masing-masing menjawab, “Akulah yang membunuhnya.” Rasulullah bertanya lagi, “Sudahkah kamu berdua membersihkan pedang kamu?” Mereka menjawab, “Belum.” Setelah melihat pedang keduanya, Rasulullah ﷺ memberikan harta rampasan perang kepada dua pemuda tersebut. Mereka adalah Mu’adz dan Ma’udz, anak-anak Afra binti Ubaid.
Peranan Afra
Afra tercatat dalam sejarah sebagai seorang ibu yang berjaya membentuk tujuh anak lelakinya untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya. Beliau mendidik mereka menjadi pahlawan dan pejuang yang hebat di medan perang sehingga mendapatkan gelaran syahid. Ini menunjukkan bahawa didikan yang Afra berikan kepada anak-anaknya adalah semata-mata kerana Allah Ta’ala. Afra menjadi terkenal di kalangan wanita Ansar kerana penjagaan dan pendidikan terbaik yang diberikannya untuk anak-anaknya.
Sungguh menakjubkan peranan Afra dalam merealisasikan tonggak perubahan dan perjuangan dakwah Rasulullah dan para sahabat. Pertama, Afra menjadi wanita pertama yang taat setia dengan mempercayai dan mempertahankan Nabi, walaupun terdapat risiko besar yang mengancam keselamatannya.
Kedua, Afra turut serta memperjuangkan penyebaran Islam sehingga Madinah menjadi negara yabg terpilih untuk peristiwa hijrah dan penubuhan negara Islam pertama. Dia adalah seorang wanita Ansar yang membantu agama Allah dan menguatkan dakwah Rasulullah ﷺ di Madinah.
Ketiga, Afra mendidik tujuh anak lelakinya untuk mencintai Islam dan menjadi mujahid kuat yang dikehendaki dan diperlukan oleh Islam. Afra telah mendedikasikan anak-anaknya untuk berjuang di jalan Allah. Sungguh, berjaya menghantar anak-anak sebagai seorang syuhada merupakan anugerah terindah buat seorang ibu.
Afra adalah ibu teladan, seorang pejuang yang patut menjadi contoh dan muslimah yang mendedikasikan hidupnya untuk membantu agama Allah. Sewajarnya tokoh luar biasa ini memberi inspirasi kepada ibu-ibu generasi abah ini untuk mendidik anak menjadi arkitek peradaban yang sentiasa bersedia untuk berjuang di jalan Allah.
#ThePowerOfMother #ibumithali #ibupencetakgenerasi #ibuideologis #InspirasiMuslimah

