[Tarikh Khulafa] Azh-Zhahir Bi Amrillah, Kebaikan dan Keadilannya Dirasai Oleh Seluruh Rakyat
Penulis: Nabila Ummu Anas
Nama lengkapnya ialah Muhammad bin Ahmad, Abu Nashr, Azh-Zhahir bin An-Nashir bin Al-Mustadhi’ al-Abbasi. Beliau secara rasmi memegang jawatan sebagai khalifah setelah meninggalnya sang ayah pada 622 H. Beliau menjadi khalifah selama 9 bulan 14 hari. Walaupun tempoh kekhalifahannya singkat, namun keadilan dan kebaikannya sangat menyerlah.
Khalifah yang Adil
Azh-Zhahir hidup bersama dengan sejarawan Islam iaitu Ibn Atsir. Ibnu Atsir berkata, “Seandainya ada orang yang mengatakan bahawa tidak ada khalifah sebaik Az-Zhahir Bi Amrillah selepas Khalifah Umar bin Abdul Aziz, maka orang itu benar. “Khalifah Azh-Zhahir Bi Amrillah mengembalikan banyak harta yang dirampas semasa pemerintahan sebelumnya kepada pemiliknya, membebaskan cukai di seluruh negara, mengarahkan pengenaan semula kharaj lama di seluruh Iraq dan menghilangkan kharaj/cukai baru yang diimplementasikan oleh bapanya dengan jumlah yang sangat banyak.”
Polisi tentang Kharaj
Apabila Khalifah Azh-Zhahir menyatakan arahan tersebut, ramai penduduk Iraq datang dan melaporkan bahawa tanah yang dikenakan kharaj lama kebanyakannya ialah pokok yang telah kering dan sudah mati. Jika diminta untuk membayar kharaj lama, maka hasil daripada pokok yang masih hidup dan berbuah itu tidak mencukupi untuk membayar kharaj. Akhirnya khalifah memutuskan kharaj hanya berlaku pada pokok yang masih elok sahaja.
Polisi tentang Timbangan
Di antara kebijakan Khalifah Azh-Zhahir yang lain ialah kembali menggunakan pendulum penimbang di gudang seperti yang digunakan oleh orang Islam, Yahudi dan Kristian. Pada ketika itu, gudang tersebut mempunyai pendulum timbangan emas khas yang digunakan untuk menimbang deposit masuk yang hasil nya selang setengah qirath jika dibandingkan dengan yang biasa digunakan masyarakat. Namun, jika hendak menimbang pengeluaran, yang digunakan ialah pendulum penimbang yang biasa digunakan dalam masyarakat.
Apabila mengetahui perkara ini, Khalifah Azh-Zhahir segera menulis pesanan kepada wazirnya, bermula dengan petikan dari Surah Al-Mutaffifin ayat 1-5, yang bermaksud, “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan. Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan pada hari yang besar.”
Semenjak itu, timbangan bandul Baitulmal kembali menggunakan yang biasanya digunakan oleh orang Islam, Yahudi dan Nasrani dalam urusan jual beli. Kemudian salah seorang pegawai menulis surat kepada Khalifah Azh-Zhahir, “Itu jumlah wang yang cukup besar, kami telah membuat pengiraan dan hasil yang diperolehi untuk tahun lepas mencapai 35,000 dinar.” Khalifah Azh-Zhahir mengkritik pegawai tersebut dan berkata, “Saya tidak peduli walaupun jumlahnya mencecah 350,000.”
Khalifah Azh-Zhahir juga mengarahkan agar bandul timbangan di Ad-Diwan digunakan seperti biasa. Ini kerana sebelumnya, bandul timbangan yang digunakan di Ad-Diwan adalah terdapat satu habbah untuk setiap satu dinarnya.
Tidak Memata-matai Rakyat
Antara kebijakan Khalifah Azh-Zhahir Bi Amrillah ialah menghilangkan tindakan memata-matai semua aktiviti masyarakat oleh pengawal pintu gerbang. Sebelum ini, terdapat polisi iaitu penjaga di setiap pintu gerbang kota Baghdad perlu menulis laporan tentang apa sahaja yang berlaku sama ada perkara yang kecil atau besar di tempat dia bertugas seperti mesyuarat dan sebagainya lalu diberikan kepada khalifah. Perkara ini dapat mengganggu, menghalang dan mengehadkan interaksi sesama mereka.
Khalifah Azh-Zhahir berkata, “Apakah tujuan kita untuk mengetahui perkara tentang masyarakat di rumah mereka? “Mulai sekarang, tiada sesiapa pun dibenarkan untuk membuat laporan kepada kami, kecuali laporan yang berkaitan dengan kepentingan negara kita. ”
Kemudian seseorang berkata kepada khalifah, “Keputusan ini akan merosakkan masyarakat dan berpotensi menimbulkan banyak keburukan.” Khalifah Azh-Zhahir menjawab, “Kami berdoa semoga Allah SWT membimbing dan menjadikan mereka baik.”
Satu lagi polisi Khalifah Azh-Zhahir ialah mengarahkan semua orang yang berada di penjara untuk dibebaskan dan mengembalikan kembali harta yang telah dirampas oleh negara. Khalifah Azh-Zhahir mengirimkan duit sebanyak 10,000 dinar kepada kadi untuk diagihkan kepada setiap orang yang ditahan di penjara Asy-Syar dan tidak mempunyai wang.
Semakin hari semakin bertambah budi Khalifah Azh-Zhahir Bi Amrillah. Malangnya, rakyat hanya dapat merasai nikmat khalifah yang adil ini dalam masa yang singkat sahaja kerana belum sampai setahun masa kekhalifahannnya, baginda pun menghadap Allah SWT.
Sumber:
Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam, Syekh Muhammad al–Khudari, Pustaka Al- Kautsar

