Site icon MuslimahHTM News

Asma’ Binti Yazid: Gambaran Perjalanan Wanita dalam Islam

[TPOM] Asma’ Binti Yazid: Gambaran Perjalanan Wanita dalam Islam

Oleh: Rahmi Ummu Atsilah

 

Setiap orang memiliki peranan yang penting dalam kehidupan. Tidak ada satu pun yang tidak saling memerlukan tidak kiralah sama ada wanita ataupun lelaki. Dalam Islam, wanita dan lelaki laksana saudara kandung. Wanita memiliki hak yang sama seperti lelaki. Kewajipan mereka juga sama dalam berbagai perkara kecuali beberapa aspek yang khusus berkaitan dengan lelaki atau wanita sahaja.

 

Allah SWT. telah menetapkan persamaan antara lelaki dan wanita dalam Al-Quran surah Al-Ahzab ayat 35:

 

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

 

Wanita sangat dimuliakan dan dihormati dalam Islam dan itu adalah perkara yang tidak akan ditemui dalam mana-mana agama selain Islam. Syariat yang telah ditetapkan oleh Allah tidak akan sama dengan hawa nafsu dan ajaran manusia. Wanita juga antara yang terbanyak meriwayatkan hadis, seperti Ummul Mukminin Aisyah RA. yang telah meriwayatkan 2210 hadis, Ummu Salamah RA., 387 hadis, Ummu Athiyah dan juga Asma’ binti Yazid.

 

Asma’ binti Yazid merupakan sahabiyah yang dikenali sebagai jurucakap kaum wanita pada zamannya. Sebagai wanita yang telah lulus madrasah nubuwwah, Asma’ memiliki sikap yang tidak terlalu manja atau lemah lembut mendayu ketika berbicara bahkan Asma’ merupakan seorang yang berani, tangguh dan contoh mujahidah di medan perang.

 

Beliau merupakan seorang yang sangat bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan mengamalkannya bagi memenuhi seruan Allah dalam hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.,

 

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

“Menuntut ilmu wajib atas setiap kaum muslimin.”

 

Asma’ binti Yazid datang kepada Rasulullah SAW. ketika Baginda memberi pengajian Islam kepada para sahabat. Dia berkata, “Aku bersumpah, wahai Rasulullah, aku adalah utusan para wanita kepadamu. Sesungguhnya Allah mengutus kamu kepada semua lelaki dan wanita maka kami pun beriman kepada kamu dan kepada Tuhan kamu. Pergerakan kami – kaum wanita – terhad dan terbatas sekitar rumah tangga lelaki, menjadi saluran nafsu mereka, melahirkan anak-anak mereka. Sungguh kalian, wahai para lelaki; kalian diutamakan atas kami dalam mengerjakan solat Jumaat, solat berjemaah, menziarahi orang sakit, menghadiri jenazah, haji dan yang paling utama jihad fi sabilillah. Apabila ada lelaki di antara kamu pergi haji atau jihad, kami menjaga harta kamu, menjaga pakaian kamu, dan kami mendidik anak-anak kamu. Mengapa kami tidak mendapat ganjaran yang kalian dapat?”

 

Nabi SAW. menatap wajah para sahabat, kemudian Baginda bersabda, “Adakah kalian mendengar bahawa soalan wanita ini saja lebih baik dari berbagai persoalan agama yang dia tanyakan?”

 

Lantas Nabi SAW. mengadap ke arah Asma’ dan bersabda, “Wahai para wanita, fahamilah dan sampaikan kepada wanita lainnya: berbuat baik kepada suami, mencari redhanya dan mengerjakan apa yang diizinkannya itu sebanding dengan pahala semua yang disebutkan sebentar tadi.” Maka wanita itu pun pergi dalam keadaan bahagia.

 

Selain mempelajari dan meriwayatkan banyak hadis, sahabiyah juga sangat prihatin dengan pengajaran agama termasuk hadis terhadap anak-anaknya dan umat Islam. Mereka mendatangi majlis ilmu Rasulullah SAW. dan bertanya tentang berbagai persoalan sehingga amal perbuatan mereka tidak tertolak di sisi Allah SWT. dan sentiasa berada di jalan yang benar.

 

Hadis di atas juga jelas menggambarkan peranan wanita dalam Islam iaitu menuntut ilmu khususnya ilmu agama, menjadi sebahagian daripada masyarakat, amar makruf nahi munkar, menyampaikan Islam dan memberi bimbingan kepada sesama wanita. Satu lagi peranan penting wanita dalam Islam adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga suaminya. Melahirkan generasi yang berkualiti dalam kehidupan, mengukir tamadun yang gemilang dan juga memastikan keselesaan penghuni rumah dengan menjaga keindahan dan kebersihan rumah. Semuanya bernilai pahala di sisi Allah setara dengan jihad manusia.

 

Manakala lelaki pula adalah qawwam yang melindungi seluruh ahli keluarga dari penyimpangan terhadap agama dengan sikap keteladanan dan tunjuk ajar, menjaga mereka daripada segala bahaya, mengasuh mereka, dan memberi nafkah yang halal kepada seluruh ahli keluarga. Supaya semuanya berjalan dengan harmoni dan fungsi pendidikan dan penjagaan anak juga optimum. Sebenarnya, semua fungsi ini hanya akan terlaksana secara ideal sekiranya masyarakat menyediakan fungsi kawalan dan negara melaksanakan sistem peraturan yang patuh sepenuhnya kepada Islam. Wallahu a’lam bishshawab.

 

#ThePowerOfMother #ibumithali #ibupencetakgenerasi #ibuideologis #ibumadrasahpertama #perananibu #perananmuslimah

 

Exit mobile version