[TPOM] Busrah binti Shafwan, Guru Hadis, Sahabat Nabi SAW dan Tokoh Tabiin
Nama lengkapnya adalah Busrah binti Shafwan bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai al-Qurasyiyah al-Asadiyyah. Ada yang mengatakan namanya Busrah binti Shafwan bin Umayyah bin Muhrits bin Haml bin Sa’ad bin ‘Amir bin Tsa’labah bin Al-Harits bin Malik bin Kinanah. Ibunya adalah Salimah binti Umayyah bin Haritsah bin Al-Auqash as-Salamiyyah. Busrah berasal dari Bani Asad. Dia juga merupakan anak saudara kepada Waraqah bin Nufail.
Busrah binti Shafwan merupakan salah seorang sahabat perempuan Nabi SAW yang ikut hijrah dan berbaiat kepada Baginda SAW. Beliau menikah dengan Al-Mughirah bin Abil Ash dan memiliki anak bernama Muawiyah dan Aisyah. Aisyah menikah dengan Marwan bin Al-Hakam (anak saudara Busrah).
Hasil dari pernikahan Aisyah dan Marwan, lahirlah Abdul Malik bin Marwan bin Al-Hakam. Marwan bin Al-Hakam merupakan salah seorang khalifah dalam kekhalifahan Bani Umayyah tahun 684—685. Sedangkan Abdul Malik bin Marwan bin Al-Hakam memerintah pada tahun 685—705.
Busrah juga merupakan sahabat perempuan yang meriwayatkan hadis dari Nabi SAW, kemudian dia riwayatkan kepada murid-muridnya. Di antara muridnya adalah Ummu Kultsum binti Uqbah bin Abi Mu’ith; anak saudaranya sendiri. Busrah dan Ummu Kultsum sangat rapat hubungan mereka. Suatu hari, Busrah ditanya oleh Nabi SAW, “Siapa yang telah melamar Ummu Kultsum?” Dia menjawab, “Fulan, Fulan, dan Abdurrahman bin Auf.”
Nabi SAW bersabda, “Nikahkanlah dengan Abdurrahman, kerana dia adalah sebaik-baik orang muslim. Dan sebaik-baik orang muslim adalah orang yang seperti dirinya.” Lalu Busrah mengabarkan kepada Ummu Kultsum, dan dia menghantarnya kepada saudaranya, Walid bin Uqbah agar Walid menikahkannya dengan Abdurrahman bin Auf saat itu juga.
Banyak di antara para sahabat Nabi SAW dan tokoh tabiin yang menjadi anak murid kepada Busrah, seperti Abdullah bin Amru bin Al-Ash, Urwah bin Az-Zubair, Said bin Al-Musayyab, Hamid bin Abdurrahman bin Auf, dan Marwan bin Al-Hakam; menantunya. Hadisnya tersebar di dalam kitab-kitab hadis.
Adapun di antara hadisnya yang terdapat di dalam kitab Sunan Abu Daud, Sunan At-Tirmidzi, Sunan An-Nasa’i, dan Sunan Ibn Majah adalah sebagai berikut.
عَنْ بُسْرَةَ بِنْتِ صَفْوَانَ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ.
Dari Busrah binti Shafwan RA, bahawasannya Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang menyentuh kemaluannya, maka hendaklah dia berwudhuk.”
Imam Al-Mubarakfuri di dalam kitab Tuhfatul Ahwadzi Syarah Sunan At-Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa menyentuh kemaluan itu dapat membatalkan wudhuk. Maksud menyentuh kemaluan ini adalah dengan tanpa ada penghalang.
Hal ini berdasarkan pada hadis riwayat imam Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya dari Abu Hurairah RA bahawa jika salah seorang dari kalian menyentuh kemaluannya dengan tanpa ada penghalang, wajib baginya berwudhuk. Jadi, jika ada penghalangnya, wudhuknya tidak batal.
Busrah meninggal dunia pada masa pemerintahan khalifah Muawiyah. Dia meninggalkan jejak sebagai guru yang mengalirkan ilmu bagi para sahabat dan tabiin.
Sumber: muslimahnews.com
#thepowerofmother #muslimahinspirasi #sahabiyah #Busrah

