Site icon MuslimahHTM News

Niat dan Kedudukannya [Al-Arba’un an-Nawawiyah, Hadis ke-1]

[Syarah Hadis] Niat dan Kedudukannya [Al-Arba’un an-Nawawiyah, Hadis ke-1]

Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman

 

إنَّمَا الأعمَال بالنِّيَّاتِ وإِنَّما لِكُلِّ امريءٍ ما نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ فهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُوْلِهِ ومَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُها أو امرأةٍ يَنْكِحُهَا فهِجْرَتُهُ إلى ما هَاجَرَ إليهِ

“Sesungguhnya perbuatan itu bergantung pada niatnya dan bagi setiap orang akan mendapatkan apa yang dia niatkan. Siapa sahaja yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu menuju Allah dan RasulNya. Siapa yang hijrahnya kerana dunia atau wanita yang akan dia nikahi, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia tuju itu.” [HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibn Majah, Ahmad, Al-Humaidi, Ibn al-Jarud, Ibn Hibban, Ath-Thahawi, Ath-Thayalisi, Ad-Daraquthni, dan lainnya].

 

Hadis ini adalah hadis gharib. Menurut Imam An-Nawawi dalam Syarh al-Arba’în, itu kerana hanya Umar bin Al-Khattab RA yang meriwayatkannya dari Rasulullah SAW. Dari Umar hanya diriwayatkan oleh Alqamah bin Abi Waqash; dari Alqamah hanya diriwayatkan oleh Muhammad bin Ibrahim at-Taimi; dari Muhammad bin Ibrahim hanya diriwayatkan oleh Yahya bin Said al-Anshari. Dari Yahya bin Sa’id barulah diriwayatkan oleh ramai orang sehingga lebih dari dua ratus orang yang kebanyakan adalah para imam.

 

Menurut majoriti ulama, lafaz innamâ adalah untuk membatasi (li al-hashr). Maknanya adalah bahawa perbuatan itu bergantung pada niatnya. Ertinya, tidak ada perbuatan kecuali dengan niat. Penafian yang dimaksudkan adalah penafian konsekuensi hukum perbuatan itu dari sisi keabsahannya. Ertinya, niat menentukan status perbuatan. Hadis ini juga menunjukkan bahawa seseorang hanya akan mendapatkan dari perbuatannya sesuatu yang sesuai dengan apa yang diniatkannya.

 

Maka, hadis ini mempunyai dua perkara tersirat. Pertama, niat dari sisi tujuan bagi suatu perbuatan. Kedua, niat sebagai penentu perbuatan.

 

Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jâmi’ al-‘Ulûm wa al-Hikâm menyatakan bahawa niat dalam pembicaraan para ulama ada dua makna. Pertama, penentuan maksud (motif) perbuatan adakah kerana Allah, kerana yang lain, atau kerana Allah bersama yang lain. Jadi, niat di sini masuk dalam pembahasan bab ikhlas. Kedua, penentu atau pembeza antara suatu ibadah dari satu ibadah yang lain. Contohnya solat, adakah solat zuhur atau asar, wajib atau sunat; puasa adakah wajib atau sunat, dsb..

 

Dari sini akan jelas lingkungan perbuatan yang dicakupi oleh makna niat itu. Niat dalam makna tujuan (maksud) perbuatan adakah kerana Allah atau bukan,  jelas meliputi semua perbuatan dan tindakan yang keluar dari manusia. Jika ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, maka akan mendapat pahala. Sebaliknya, jika tidak, maka tidak akan mendapat pahala.

 

Hadis ini dicontohkan dengan orang -orang yang berhijrah. Jika dia melakukannya dengan niat (maksud) menuju keredhaan Allah SWT, maka dia akan mendapat pahala. Jika dia melakukannya dengan niat (tujuan) mendapatkan dunia (harta, dsb.) atau untuk menikahi wanita, maka mereka  hanya akan mendapatkan dunia atau wanita itu, tetapi tidak mendapatkan pahala di sisi Allah SWT.

 

Untuk mengetahui ikhlas atau tidak, mudahnya adalah jika seseorang melakukan atau tidak melakukan sesuatu kerana perintah dan larangan Allah, iaitu kerana halal dan haram, maka saat itu mereka ikhlas. Jika seseorang berpuasa di bulan Ramadhan atau solat zuhur kerana kedua-duanya wajib, maka itu tandanya ikhlas. Jika seseorang menolak rasuah, tidak berjudi, dsb. kerana semua itu haram, maka dia meninggalkan semua itu kerana ikhlas. Hal itu kerana semua itu dilakukan atau tidak dilakukan kerana perintah dan larangan Allah; ertinya kerana Allah  SWT dan itu adalah ikhlas.

 

Niat dalam konteks kedua, iaitu menentukan suatu perbuatan, maka hal itu tidak akan berlaku dalam semua perbuatan. Ibn Abdis Salam seperti dikutip oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bârî menyatakan tentang hadis ini: kalimat pertama untuk menjelaskan perbuatan yang dinilai; kalimat kedua untuk menjelaskan hasil/konsekuensi perbuatan.

 

Hadis ini menunjukkan bahawa niat hanya disyaratkan dalam ibadah yang tidak boleh dibezakan dengan sendirinya. Adapun yang boleh dibezakan dengan sendirinya ditentukan menurut penerangannya seperti zikir, berdoa, dan tilawah kerana itu sudah jelas sebagai ibadah.

 

Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jâmi’ al-‘Ulûm wa al-Hikam menjelaskan, ramai generasi kebelakangan ini menganggap, tujuannya adalah perbuatan yang sahih, muktabar, atau diterima. Atas dasar ini, yang dimaksudkan tidak lain adalah perbuatan syar’ie yang memerlukan niat. Adapun yang tidak memerlukan niat seperti kebiasaan makan, minum, berpakaian, atau mengembalikan amanah dan jaminan, seperti kiriman  dan ghashab, maka tidak memerlukan niat. Semuanya dikhususkan dari keumuman perbuatan yang disebutkan di sini.

 

Untuk lebih jelas lagi, tindakan (tasharruf) manusia itu terdapat dua jenis. Jenis pertama, tindakan berupa kata-kata (tasharruf qawliyah), iaitu sempurna dengan kata-kata (redaksi). Dalam hal ini:

 

  1. Tindakan itu boleh berasal dari seseorang sebagai timbal balik terhadap pihak lain. Tindakan seperti ini disebut akad.
  2. Berasal dari satu orang sahaja, contohnya pengakuan hutang atau suatu perbuatan, komitmen, wasiat, dsb. dan disebut tasharruf saja.

 

Dalam kedua jenis tasharruf ini tidak dimasuki unsur niat dan niat tidak menentukan sah tidaknya akad dan tasharruf itu. Sah tidaknya ditentukan oleh penerangan, lafaz, dan redaksinya.

 

Jenis kedua, tindakan dalam bentuk perbuatan (tasharruf fi’liyah), penentunya adalah perbuatan, bukan lisan. Dalam hal ini:

  1. Perbuatan indrawi yang pelaksanaannya sudah menunjukkan tujuan (niat) pelakunya sehingga tidak memerlukan niat. Contoh, mengolah tanah sudah jelas untuk bercucuk tanam.
  2. Perbuatan indrawi yang dilakukan atau dihindari secara fizikal seperti wudhu, solat, berperang, memberi harta, membangun masjid, safar, penyembelihan, dsb., semua perbuatan seperti ini memerlukan unsur niat untuk menjelaskan maksud atau tujuannya. Semua ibadah masuk dalam kategori ini. Dalam perbuatan seperti inilah, niat menjadi penentu. Wallahu’alam bissawab.
Exit mobile version