[Kisah Inspirasi] Zainab binti Khuzaimah, Ummul Masaakin
Zainab binti Khuzaimah dilahirkan di Mekah, kira-kira 13 tahun sebelum Rasulullah saw diutuskan menjadi Nabi. Sejak tinggal di Mekah, beliau terkenal menyayangi orang fakir dan miskin.
Ketika cahaya Islam menerangi bumi Jazirah Arab dan Nabi saw mula menyampaikan agama yang agung ini, Zainab binti Khuzaimah termasuk orang pertama yang masuk Islam. Dia juga termasuk orang yang disebut sifat-sifatnya oleh Allah SWT.
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka juga redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” [TMQ At-Taubah (9): 100]
Zainab telah hidup bersama Islam sejak masih di dalam buaian. Dia menyaksikan sendiri bagaimana umat Islam mengorbankan segala-galanya demi mempertahankan nikmat tauhid. Pemandangan tersebut menjadikannya bertambah kuat dan teguh dalam pegangan agamanya.
Sejak awal, beliau sangat rajin berpuasa, solat dan beribadah kepada Allah Azza wa Jalla. Dia tidak pernah letih walaupun sesaat untuk terus berzikir kepada Allah dan menyantuni orang-orang fakir dan miskin sehingga dia digelar sebagai Ummul Masaakin (ibu orang fakir miskin).
Ibu kita, Zainab binti Khuzaimah ra., sangat menyayangi orang fakir dan miskin sejak masih hidup pada zaman jahiliyah. Selepas memeluk Islam, kasih sayang dan keprihatinannya terhadap orang fakir miskin semakin kuat. Apatah lagi setelah dikahwinkan dengan Nabi saw, sifat ini semakin bertambah kuat. Ini kerana setiap kali, dia menyaksikan sendiri kasih sayang yang terpancar kuat dari hati Rasulullah saw.
Beliau sentiasa menekankan kepada seluruh umat Islam agar bersedekah kepada orang fakir dan miskin serta terus menggalakkannya sehingga mencapai tahap itsar (mendahulukan keperluan orang lain daripada keperluan sendiri).
Abu Hurairah ra, meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda, “Ketika manusia menyambut waktu pagi pada setiap hari, dua malaikat turun. Salah seorang malaikat berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak. Sedangkan malaikat yang lain berkata, ‘Ya Allah, berilah kebinasaan kepada orang yang enggan berinfak (bakhil).’ (Muttafaq ‘alaih)
Dalam tempoh waktu yang sangat singkat bersama Nabi saw, Zainab menyibukkan dirinya dengan banyak beribadah, puasa, dan solat malam. Memang, dia mendampingi beliau dalam waktu yang sangat singkat kerana hanya beberapa bulan selepas perkahwinannya, ajal telah menjemput ibu kita, Zainab ra, sehingga merupakan isteri Nabi saw yang pertama meninggal dunia di Madinah.
Ketika Zainab menghembuskan nafasnya yang terakhir, kesedihan kembali menyelubungi hati Nabi saw. Kematiannya telah mengingatkan beliau kepada kematian Khadijah ra, wanita yang paling hebat di alam semesta.
Zainab binti Khuzaimah ra masuk ke persekitaran keluarga Nabi saw dengan naungan orang-orang yang soleh dan ketenangan ahli-ahli ibadah. Kemudian dia keluar daripadanya dalam ketenangan orang-orang yang khusyuk. Jasadnya dikebumikan di pemakaman Baqi’ dan mendapat keberkatan solat dan doa Nabi saw.
Ibu orang miskin itu telah meninggal dunia tanpa meriwayatkan hadis dari Nabi saw. Imam Adz-Dzahabi rahimahullah berkata, “Beliau sama sekali tidak meriwayatkan hadis.” Ibnu Jauzi rahimahullah berkata, “Setahu kami, dia tidak meriwayatkan hadis sedikit pun.”
Barangkali kerana disebabkan Zainab sangat sibuk menguruskan orang miskin dan terlalu singkat masanya bersama dengan Rasulullah saw. Imam Thabrani rahimahullah mengatakan, “Ummul Masaakiin meninggal dunia ketika Rasulullah saw masih hidup. Dia tinggal bersama Rasulullah saw dalam masa yang sangat singkat.”
Demikianlah pemergian Ummul Masaakiin yang tidak pernah mensia-siakan hartanya jika bertemu dengan mereka. Beliau selalu memberikan segala apa yang dimilikinya untuk mendapatkan gantinya di sisi Allah SWT, kerana apa pun yang diberikan kepada-Nya tidak akan sia-sia. Dia memindahkan apa yang dimilikinya di dunia ke akhirat agar dapat meraih kenikmatan syurga yang tidak akan pernah terputus dan hilang.
Allah SWT berfirman, “Wahai hamba-hamba-Ku, tiada kekhuatiran terhadapmu pada hari ini dan tidak pula kamu bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami dan mereka dahulu adalah orang-orang yang berserah diri, masuklah kamu ke dalam syurga, kamu dan isteri-isteri kamu digembirakan. Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan dan piala-piala dari emas dan di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati serta dipandang indah oleh mata dan kamu kekal di dalamnya. Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amalan yang dahulu kamu kerjakan. Di dalam syurga itu ada buah-buahan yang banyak untukmu yang sebahagiannya kamu makan.” [TMQ Az-Zukhruf (43): 68-73]
Untuk menghantar pemergian ibu kita yang agung ini, tidak ada kata-kata yang dapat kita ucapkan selain firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman (syurga) dan sungai. Di tempat yang disenangi di sisi Tuhan yang berkuasa.” [TMQ Al-Qamar (54): 54-55].
Semoga Allah meredhainya dan membuatnya redha serta menjadikan syurga Firdaus sebagai persinggahan abadinya. Wallahualam. [MNews/Has]
Sumber: Mahmud Al-Mishri. 2006. 35 Sirah Shahabiyah (35 Sahabat Wanita Rasulullah saw.). Jakarta: Al-I’tishom Cahaya Umat.
#KisahInspiratif
#UmmulMasaakin
#IbuOrangFakirMiskin
#ZainabBintiKhuzaimah
#WanitaAhliSyurga
#Dermawan

