[Keluarga] Bersama Meniti Jalan Meraih Syurga
Penulis: Najmah Saiidah
Setiap keluarga Islam pastinya bukan sahaja ingin bersama anak dan cucu di dunia, malah juga di syurga kelak. Seorang wanita pastinya tidak mahu ke syurga seorang diri tanpa ditemani suami, anak dan keluarga tercinta. Selain itu, seorang lelaki pastinya tidak mahu masuk syurga seorang diri dan meninggalkan ahli keluarganya di neraka. Ini bermakna setiap ahli keluarga pastinya ingin disatukan dengan anak dan cucu di syurga kelak.
Namun syurga Allah itu tidak diraih secara automatik, tetapi memerlukan pelbagai usaha dan kerja keras. Tentunya hal ini hendaklah dilakukan sesuai dengan syariat Yang Maha Pembuat Hukum dan tidak boleh melanggarnya. Tegasnya, Allah SWT memerintahkan ibu bapa khususnya suami supaya menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka. Allah SWT berfirman,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras yang tidak mendurhakai Allah, apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [TMQ At-Tahrim: 6]
Memasuki Syurga Bersama Keluarga adalah Kenikmatan Terbesar
Syurga adalah puncak segala kenikmatan. Pasti lebih istimewa jika dapat masuk syurga dan meraih puncak kenikmatan bersama keluarga tercinta. Bertuahnya kita sebagai umat Islam, Allah telah memberikan petunjuk yang jelas tentang cara meraihnya di dalam al-Quran.
Sebuah keluarga dapat berkumpul di syurga adalah satu kenikmatan dan puncak kebahagiaan. Allah SWT berfirman,
جَنّٰتُ عَدْنٍ يَّدْخُلُوْنَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ اٰبَاۤىِٕهِمْ وَاَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيّٰتِهِمْ وَالْمَلٰۤىِٕكَةُ يَدْخُلُوْنَ عَلَيْهِمْ مِّنْ كُلِّ بَابٍۚ
“(iaitu) syurga-syurga ‘Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama orang yang soleh dari nenek moyang mereka, pasangan-pasangan mereka, dan anak-anak dan cucu-cucu mereka, sedang malaikat masuk ke tempat mereka dari segala pintu.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 23]
Berhubung dengan ayat ini, Ibn Kathir berkata bahawa seseorang itu akan berkumpul bersama keluarganya di syurga iaitu ibu bapa, isteri dan anak serta cucunya. Ayat di atas adalah dalil satu keluarga boleh masuk syurga bersama.
Bukan sahaja mereka akan masuk syurga bersama-sama, malah Allah akan mengumpulkan satu keluarga di tempat dan kedudukan yang sama. Diriwayatkan bahawa Said bin Jubair berkata, “Apabila seorang mukmin masuk syurga, dia akan bertanya tentang ayahnya, anak-anaknya dan saudara-saudaranya, ‘Di mana mereka?‘ Kemudian dikatakan kepadanya bahawa mereka semua tidak mencapai darjatnya di syurga. Orang yang beriman itu lalu menjawab, ‘Sesungguhnya pahala amalku adalah untukku dan untuk mereka.’ Maka mereka (keluarganya) disatukan semula dalam kedudukan yang sama dengannya.”
Berdasarkan riwayat ini, apabila seorang anak berada di tingkat bawah syurga dan ibu bapanya di atas, maka sebagai bentuk pemuliaan dan penghormatan kepada ibu bapa tersebut, Allah SWT menyamakan kedudukan mereka sehingga mereka berada di darjat syurga yang sama. Darjat anak-anak dinaikkan tanpa mengurangkan sedikit pun pahala ibu bapa mereka.
Kesolehan Ibu Bapa Mempengaruhi Keturunan Mereka
Pengaruh kesolehan ibu bapa bukan sahaja berlaku di dunia, tetapi juga di akhirat. Allah SWT berfirman,
وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِاِيْمَانٍ اَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآ اَلَتْنٰهُمْ مِّنْ عَمَلِهِمْ مِّنْ شَيْءٍۚ كُلُّ امْرِئٍ ۢبِمَا كَسَبَ رَهِيْنٌ
“Dan orang-orang yang beriman beserta anak cucunya yang mengikuti mereka dalam iman, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di syurga), dan Kami tidak mengurangi pahala amal mereka sedikitpun. Setiap orang terikat dengan apa yang dia lakukan.” [TMQ Ath-Thur: 21].
Dalam tafsir Ibn Kathir dijelaskan bahawa Allah SWT menceritakan tentang kurnia, pemberian dan kebaikanNya kepada makhlukNya. Orang-orang yang beriman, jika anak cucu mereka mengikuti mereka dalam hal iman, maka anak cucu mereka akan mengikuti mereka dalam kedudukan yang sama, walaupun anak cucunya belum mencapai darjat amalnya. Ini supaya hati dan pandangan para bapa terasa sejuk apabila berkumpul dengan anak-anak hingga dapat bersama dalam keadaan yang terbaik dari semua aspek. Allah telah menghapuskan kekurangan amal soleh dan menggantikannya dengan amal yang sempurna, tanpa mengurangkan amal dan kedudukan yang sempurna, memandangkan adanya persamaan antara mereka.
As-Thauri telah meriwayatkan daripada Amr bin Murrah, daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu Abbas yang berkata bahawa sesungguhnya Allah benar-benar mengangkat anak-anak dan cucu-cucu orang mukmin setaraf dengannya, walaupun amal mereka di bawahnya. Ini supaya kewujudan mereka bersama-sama menyebabkan hati mereka menjadi bahagia. Kemudian Ibnu Abbas membaca ayat ini; Surah At-Thur, ayat 21.
Menurut Ibnu Kathir, ayat ini menjadi dalil bahawa ibu bapa yang soleh akan terjaga zuriat keturunan mereka. Malah, menurut Al-Qurthubi, kesolehan seseorang itu adalah berkat kesolehan nenek moyangnya. Itulah sebabnya Ibn Al-Musayyib berkata kepada anaknya, “Sesungguhnya aku akan memanjangkan solatku demi dirimu, dengan harapan agar aku dipelihara, begitu juga dirimu.”
Dari Ibnu Abbas, Nabi SAW menyatakan, “Apabila seseorang masuk syurga, dia akan ditanya tentang ibu bapanya, isterinya dan anak-anaknya. Dikatakan, ‘Sesungguhnya mereka masih masih belum dapat mencapai darjatmu.’ Kemudian dia berkata, ‘Ya Tuhanku, sesunggunya aku telah beramal untuk diriku dan juga untuk mereka,’ maka mereka diperintahkan untuk dihubungkan (digabungkan) bersamanya.” Setelah itu Ibnu Abbas RA membaca Surah At-Thur: 21, “Dan orang-orang yang beriman, dan anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan.”
Al-Aufi telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas tentang ayat ini, bahawa sesiapa yang anak dan cucunya beriman, kemudian beramal kepada Allah, Allah akan menghubungkan keturunannya dengan mereka di syurga, begitu juga anak-anak kecil mereka.
Daripada beberapa huraian tafsir dan hadis Nabi Muhammad, jelaslah bahawa bukan sahaja di dunia ini, keberkatan ibadah ibu bapa juga sampai kepada anak-anak mereka di akhirat kelak. Di akhirat kelak, kesolehan ibu bapa dapat menaikkan darjat syurga anak-anak mereka. Namun, kesolehan ibu bapa tidak serta merta menjamin kebahagiaan anak mereka tanpa syarat. Jika seorang anak melakukan dosa, dia juga boleh masuk neraka terlebih dahulu. Dalam Al-Tahrir wa Al-Tanwir karya Ibn ‘Assyur disebutkan bahawa pilihan lafaz اَلْحَقْنَا بِهِمْ yang bermaksud “kami pertemukan mereka” adalah untuk menunjukkan kefahaman bahawa kemungkinan anak-anak mereka akan dimasukkan terlebih dahulu ke neraka untuk membersihkan dosa-dosa mereka. Kemudian barulah mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang setaraf dengan ibu bapa mereka. Ini adalah anugerah Allah kepada orang-orang yang beriman.
Kesolehan Seorang Anak Akan Mempengaruhi Ibu Bapanya
Sebagaimana ibu bapa boleh menaikkan darjat anak-anak mereka, seorang anak juga boleh menaikkan darjat ibu bapanya. Para ulama menyandarkan pendapat ini kepada makna zuriyyah yang bukan sahaja dapat diertikan sebagai anak, tetapi juga ibu bapa, sebagaimana yang terdapat dalam Surah Yasin, ayat 41. “Dan satu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka ialah Kami mengangkut nenek moyang mereka (Nabi Nuh) di dalam kapal yang penuh dengan muatan.”
Oleh itu, zurriyyah juga boleh diertikan sebagai ibu bapa. (Tafsir al-Qurthubi, 17/67). Dengan kata lain, ibu bapa juga boleh dinaikkan darjat mereka oleh anak-anak mereka. Hal ini diperkuat dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ada seseorang yang ditinggikan darjatnya di dalam syurga, kemudian dia bertanya, ‘Bagaimana aku boleh mendapatkan ini?‘ Kemudian dikatakan kepadanya, ‘Berkat istighfar dari anakmu untukmu.”” [HR Ibnu Majah].
Dalam riwayat lain disebutkan,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ اللَّهَ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ”
Telah diceritakan dari Abu Hurairah RA yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah benar-benar meninggikan darjat hamba yang soleh di dalam syurga, lalu hamba itu bertanya, ‘Ya Tuhanku, dari mana datangnya semua ini untukku?‘ Kemudian Allah SWT menjawab, ‘Berkat permohonan ampun anakmu untukmu.‘” [HR Ahmad].
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah bersabda,
“إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ”
“Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah yang mengalir (pahalanya), atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.” [HR Muslim].
Bersama Meniti Jalan Menuju Syurga
Jelaslah kesolehan ibu bapa boleh membawa anak dan cucu mereka ke syurga, begitu juga sebaliknya. Ini adalah berkat kesolehan yang dapat menguatkan antara satu sama lain dan mengangkat darjat sehingga dapat meraih syurga di akhirat kelak. Puncaknya, dengan izin Allah, satu keluarga akan dikumpulkan di syurga yang sama. Allah telah memberi khabar gembira tentang keindahan syurga.
وَبَشِّرِ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ اَنَّ لَهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُ ۗ كُلَّمَا رُزِقُوْا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِّزْقًا ۙ قَالُوْا هٰذَا الَّذِيْ رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ وَاُتُوْا بِهٖ مُتَشَابِهًا ۗوَلَهُمْ فِيْهَآ اَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَّهُمْ فِيْهَا خٰلِدُوْنَ
“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka (disediakan) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, ‘Inilah rezeki yang telah diberikan kepada kami dahulu’. Mereka diberi (buah-buahan) yang serupa, dan di sana mereka (beroleh) pasangan-pasangan yang suci, mereka kekal di dalamnya.” [TMQ Al-Baqarah: 25].
Walaubagaimanapun, ibu bapa adalah contoh teladan kepada anak-anak mereka, dalam kata-kata dan tindakan harian mereka. Apabila ibu bapa soleh, berpegang teguh kepada syariat Islam, dan dekat dengan Allah SWT, pasti anak-anak mereka akan mencontohi mereka kerana melihat akhlak dan tabiat baik mereka berdua. Ibu bapa yang soleh akan membentuk anak-anak yang soleh juga. Bermula dengan menanamkan akidah yang benar agar cinta yang paling tinggi hanya kepada Allah dan RasulNya. Selain itu, perkenalkan syariat Islam dan ajar anak-anak mengamalkannya dalam kehidupan seharian agar mereka sentiasa menjadikan syariat Islam sebagai pijakan melangkah di mana sahaja mereka berada.
Ibu bapa yang soleh akan dapat mendampingi dan membimbing buah hati mereka untuk mencintai Islam dan menjalankan syariatnya dengan penuh ketaatan sehingga menjadi anak yang soleh-solehah. Dengan cara ini, bukan sahaja ibu bapa akan dapat membawa anak-anak mereka ke syurga, begitu juga sebaliknya. Sudah tentu, kita semua benar-benar ingin berkumpul dengan semua ahli keluarga kita di syurga Tuhan pada hari akhirat kelak. Mari jadikan diri kita layak untuk dapat meraihnya. Semoga Allah permudahkan. Wallahua’lam bissawab.

