Site icon MuslimahHTM News

Hakikat Al-Ghuraba

[Nafsiyah] Hakikat Al-Ghuraba

Penulis: Ustaz Irfan Abu Naveed

 

Antara perkara ghaib yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad dahulu adalah Islam akan kembali terasing di akhir zaman. Ini dimaklumkan dalam bentuk uslub khabari ibtida’i (suatu ungkapan tanpa satu penegasan), yang menunjukkan maklumat tersebut merupakan maklumat baharu yang tidak boleh diragui dan dinafikan. Daripada Abu Hurairah ra., Rasulullah SAW. berkata,

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُربَاءِ

“Islam pertama kali datang terasing dan akan kembali terasing sebagaimana permulaannya. Oleh kerana itu, beruntunglah mereka yang terasing.” (HR Muslim, Ibn Majah dan Ahmad).

 

Perkataan Al-Ghuraba menunjukkan bentuk jamak. Ini menunjukkan bahawa terdapat segolongan manusia (jamaah) yang akan sentiasa mempertahankan Islam di akhir zaman. Ciri utama Al-Ghuraba ialah mereka berpegang teguh kepada Islam dan sentiasa melakukan pembaikan apabila manusia telah rosak.

 

فَطُوبَى لِلْغُرباء الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِي مِنْ سُنَّتِي

“Maka beruntunglah orang-orang yang terasing, yaitu orang-orang yang memperbaiki sunnahku yang telah dirosakkan oleh manusia sesudahku..” (HR At-Tirmidzi).

 

Kata kerja yushlihuna dengan subjek jamak dalam ayat ini menjelaskan bahawa kumpulan Al-Ghuraba ini berjemaah dan berdakwah secara kolektif. Aktiviti ini dijalankan secara dinamik dan berterusan. Ini ditandai dengan lafaz yushlihuna iaitu al-fi’l al-mudhari’ yang bermaksud al-huduts (dinamik). Apakah maksudnya? Maksudnya ialah menyesuaikan semula sesuatu yang telah menyimpang dari asalnya iaitu kepada Islam. Siapakah mereka? Al-Imam Al-Munawi Al-Qahiri (w. 1031 H) dalam Faydh Al-Qadir (VI/468) ketika menyebut sebahagian dari golongan Al-Ghuraba menjelaskan,

 

وهم القابضون على دينهم عند الفتن كالقابض على الجمر وهم النزاع من القبائل وهم المؤمنون بالغيب إلى غير ذلك مما لا يعسر على الفطن استخراجه من الأحاديث

Mereka adalah kaum yang berpegang teguh pada agamanya apabila fitnah tersebar, seperti orang yang berpegang pada bara api. Mereka adalah kaum yang terpisah dari suku. Mereka adalah orang-orang yang mempercayai perkara-perkara ghaib dan sebagainya yang tidak sukar bagi orang yang berakal untuk mengeluarkan daripada sumber hadis.

 

Keterasingan ini boleh wujud kerana manusia belum mengetahui hakikat kebenaran Islam dan timbul di tengah-tengah penyebaran kejahatan. Imam Abu Hamid Al-Ghazali (w. 505 H) dalam Qawa’id Al-‘Aqa’id (hlm. 101) membayangkan,

النَّاس أَعدَاء مَا جهلوا

Manusia (kadang-kadang) menjadi musuh atas apa saja yang tidak mereka ketahui.

 

Maksudnya, Islam tidak difahami dan diamalkan sebagaimana sepatutnya sehingga mereka yang bepegang teguh kepadanya dianggap sebagai aneh (gharib), malah secara terbuka distigma negatif oleh individu yang terpedaya dengan stigma radikalisme, fundamentalisme (dalam konotasi negatif), diraksasakan agar semakin dipulaukan dan diasingkan oleh masyarakat. Untuk mengelakkan semua ini, perlu adanya usaha untuk memperkenalkan kebenaran Islam ke tengah-tengah masyarakat dan menjadikan Islam sebagai pandangan umum. Bahkan sehingga tahap di mana Islam bukan sahaja diperkatakan, malah juga diamalkan.

 

Keterasingan yang muncul sekarang bukanlah lahir dari sikap apriori (sikap suka mengambil kesimpulan tanpa ada pengetahuan atau pengalaman tentang hal tersebut) atau tidak peduli terhadap keburukan yang menimpa masyarakat sehingga melakukan ‘uzlah dengan menjauh dari masyarakat. Kenyataannya, Rasulullah SAW. tidak pernah melakukan ‘uzlah setelah turunnya risalah. Justeru, Rasulullah “terasing” dari masyarakat jahiliyah yang telah memberikan Baginda gelaran Al-Amin (orang yang tepercaya) setelah menyebarkan risalah Islam ke tengah-tengah masyarakat jahiliyah.

 

Pandangan ini relevan dengan pernyataan bahawa kalimat fathuba li al-ghuraba adalah kalimat kiasan yang menyifatkan keberuntungan kepada akibat (al-musabbab) Al-Ghuraba (menjadi orang yang terasing). Tetapi, yang dimaksudkan ialah punca keterasingan itu sendiri iaitu beruntung kerana berpegang teguh kepada Islam. Dalam perspektif ilmu balaghah, ia merangkumi metafora al-majaz al-mursal bi al-‘alaqah al-musabbabiyyah, ithlaq al-musabbab wa iradat al-sabab (yang disebut ialah kesan, tetapi yang dimaksudkan ialah punca).

 

Keterasingan ini bukanlah bukti bahawa Islam itu tidak benar. Sesungguhnya, kebenaran tidak ditentukan oleh kemasyhuran, pengikut dan pengiktirafan manusia itu sendiri. Kebenaran tetap kebenaran walaupun majoriti manusia menolaknya. Ini kerana kebenaran ialah apa sahaja yang datang daripada Allah ‘Azza wa Jalla dalam bentuk wahyu-Nya, sebagaimana firman-Nya,

 

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَكُمُ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَنِ ٱهۡتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهۡتَدِي لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيۡهَاۖ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيۡكُم بِوَكِيلٖ ١٠٨

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu” [TMQ Yunus (10): 108]

 

Kalimat ya ayyuhan nas dalam ayat ini menunjukkan bahawa kebenaran daripada Allah adalah satu-satunya standard kebenaran untuk seluruh umat manusia. Kalimat Qad ja’akum al-haqq min Rabbikum mengandungi penegasan (tawkid) bahawa kebenaran datang daripada Allah (wahyu-Nya). Sesiapa yang mengambilnya sebagai petunjuk, maka dia mencapai kebaikan untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang tidak mengendahkannya akan ditimpa musibah disebabkan kesesatan dirinya sendiri. Kebenaran ini dibawa oleh Rasulullah, sebagaimana firman-NYA,

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَكُمُ ٱلرَّسُولُ بِٱلۡحَقِّ مِن رَّبِّكُمۡ فَ‍َٔامِنُواْ خَيۡرٗا لَّكُمۡۚ وَإِن تَكۡفُرُواْ فَإِنَّ لِلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمٗا ١٧٠

“Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad s.a.w) dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. Dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 170]

 

Ayat ini menjelaskan standard kebenaran itu sendiri, sangat definitif, jelas batasannya, berdasarkan kebenaran daripada Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya kepada manusia. Dengan cara ini, kebenaran dapat difahami oleh manusia. Kebenaran bukanlah berdasarkan kehendak hwa nafsu si fulan dan si fulan, seperti yang didakwa oleh golongan liberal yang berasa bebas bercakap tentang al-Quran. Mereka sesuk hati bercakap tentang Al Quran sehingga melibas ajaran Islam itu sendiri. Penyair berkata,

 

عجِبْتُ لِقوْمٍ أضَلّوا السّبيلَ *

وقد بيّنَ الله سبلَ الهدى

فما عرفوا الحقّ لماّ استبانَ *

ولا أبصروا الفجرَ لماّ بدا

Aku hairan kepada kaum yang telah tersesat dari jalan kebenaran

Sungguh Allah telah menerangkan jalan petunjuk

Mereka tidak nampak akan kebenaran walaupun ia telah jelas terang-benderang

Tidak juga melihat fajar tatkala ia terbit

 

Bagi mereka yang tenggelam dalam kebatilan, ingatlah pesan hikmah dari Amir Al-Mu’minin, Khalifah ‘Umar bin Al-Khaththab RA., seperti yang dinukilkan oleh A-Hafizh Ibn Kathir dalam Musnad Amir Al-Mu’minin Abi. Hafsh ‘Umar bin al-Khattab ra. (II/775). Dikatakan bahawa Khalifah Umar menulis surat kepada bawahannya, Abu Musa Al-Asy’ari ra.,

 

إِنَّ مُرَاجَعَةَ الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ

Sungguh, kembali pada kebenaran (kebaikan) lebih baik daripada berlarut-larut dalam kebatilan.

 

Beruntunglah Al-Ghuraba. Mereka sentiasa giat memperbaiki kehidupan yang dirosakkan oleh manusia dengan perbuatan kemungkaran sehingga hidup kembali selari dengan Islam. Beruntunglah Al-Ghuraba. Mereka mencapai keberuntungan di dunia dan akhirat dengan menjalani hidup dalam keredhaan-Nya, memberkati kehidupan mereka di dunia dengan iman dan syariat mereka, berbahagia selamanya di akhirat di syurga-Nya. Mereka adalah permata di tengah-tengah dunia yang gelap.

Wallahualam.

 

Exit mobile version