Rahsia Ketenangan Hati Pengemban Dakwah
Terkadang kerikil kerikil bahkan batu besar menghalangi perjalanan kita di muka bumi ini, menghempas dan menusuk dan menyakiti kita, tetapi semua itu hanyalah ujian saja, apakah kita termasuk pada golongan orang-orang yang lulus atau yang gagal dalam ujian. Memang banyak orang yang selalu lulus ujian-ujian sekolah, bahkan tidak sedikit yang lulus cum laude, tetapi ketika berhadapan dengan ujian kehidupan dia gagal dan gagal lagi, begitulah manusia, tidak ada yang sempurna.
Semua memerlukan yang lain, semua kita saling memerlukan, oleh kerana itu marilah kita bergandingan tangan menggapai tujuan sebenarnya hidup kita di dunia ini iaitu meraih “mardhatillah” atau redha Allah.
Ada sebuah ayat yang ingin saya ungkapkan tafsirnya yang begitu indah, iaitu surah Ar Ra’du (13) ayat 28
الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَتَطْمَىِٕنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللّٰهِ ۗ اَلَا بِذِكْرِ اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُ ۗ
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.”
Yang ingin saya kupas adalah bahagian terakhir ayat ini, ‘alaa bidzikrillahi tathmainnul quluub, ketahuilah dengan mengingat Allah hati-hati menjadi tenang tentram. Tafsir nash ini adalah :
1. Ketahuilah bahawa dengan terus-terus menerus berzikir dengan lidah-lidah mereka kepada Allah hati-hati akan menjadi tentram (Qatadah)
2. Ketahuilah bahawa dengan terus menerus membaca Al Quran maka hati-hati akan menjadi tenteram (Mujahid, Qatadah dan lain-lain).
3. Ketahuilah dengan terus menerus mengingat dan melaksanakan perintah-perintah Allah maka hati-hati akan menjadi tenteram (Sufyan bin uyainah)
4. Ketahuilah bahawa dengan terus-menerus mengingat janji Allah maka hati-hati akan menjadi tenteram (muqaatil)
5. Ketahuilah bahawa dengan bersumpah atas nama Allah, atau dengan mengingat karuniaNya, nikmatNya, keadilanNya, pembalasanNya dan ketetapanNya maka hati-hati akan merasa tenteram. (Ibnu Abbas).
6. Ketahuilah dengan melakukan taat kepada Allah hati-hati menjadi tenteram
7. Ketahuilah dengan mengingat pahala Allah maka hati-hati akan menjadi tenteram.
Demikian tafsir singkat ayat ar Ra’du 28, semoga menginspirasi ukhti selalu
✍️ Ustazah Mahbubah Aseri Asnawi

