Site icon MuslimahHTM News

Berfikir Politik (Bahagian 4/6)

[At-Tafkir] Berfikir Politik (Bahagian 4/6)

Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani

 

Berfikir politik—meskipun sukar dan tinggi—tetap masih ada dalam batas kemampuan manusia, bagaimanapun proses berfikirnya dan taraf akalnya. Orang yang akalnya biasa-biasa saja, orang yang istimewa, atau orang genius, semuanya mampu melakukan proses berfikir politik dan mampu menjadi ahli politik.

 

Ini kerana berfikir politik tidak menuntut adanya taraf tertentu bagi akal dan pengetahuan, tetapi menuntut adanya pemantauan terhadap berbagai peristiwa dan kejadian yang sedang berlangsung, yakni memantau berbagai berita. Apabila pemantauan tersebut telah terwujud, bererti terwujudlah aktiviti berfikir politik.

 

Hanya saja pemantauan tersebut tidak boleh terputus-putus, melainkan perlu berkesinambungan kerana peristiwa dan kejadian yang sedang berlangsung akan membentuk satu rantai yang saling menyambung pada kedua hujungnya. Apabila terdapat satu mata rantai yang terputus, rantainya pun akan terputus. Dengan kata lain, rantai tersebut akan terpecah. Dengan demikian, seorang pemikir tidak akan mampu mengaitkan dan memahami berbagai berita.

 

Keutuhan rantai tersebut merupakan hal yang mesti ada dalam berfikir politik. Dengan kata lain, pemantauan yang sambung-menyambung merupakan syarat mendasar dalam berfikir politik.

 

Berfikir politik tidak khusus bagi individu saja. Sebagaimana ada pada individu, berfikir politik terdapat juga pada kelompok, yakni terdapat juga pada berbagai bangsa dan umat. Berfikir politik tidak seperti berfikir memahami teks sastera dan berfikir memahami teks hukum yang hanya dapat diwujudkan oleh individu saja dan tidak dapat diwujudkan oleh kelompok, kerana sifatnya memang individual.

 

Berfikir politik merupakan proses berfikir yang sifatnya individual dan kolektif sehingga ia dapat terwujud pada individu mahupun kelompok. Berfikir politik ada pada bangsa dan umat sebagaimana ada pada individu, seperti para penguasa dan ahli politik. Bahkan berfikir politik tidak cukup hanya ada pada individu saja, melainkan perlu ada pada berbagai bangsa dan umat.

 

Hal ini kerana jika berfikir politik tidak ada pada suatu bangsa dan umat, tidak akan terwujud kekuasaan yang baik, tidak mungkin terwujud suatu kebangkitan, juga bangsa atau umat tersebut tidak akan mampu mengemban misi-misinya. Oleh kerana itu, berfikir politik mesti diwujudkan pada bangsa dan umat. Hal ini kerana kekuasaan hanya terdapat pada bangsa dan umat, dan secara terpendam ada pada mereka.

 

Tidak akan ada kekuatan yang mampu mengambilnya kecuali apabila diberikan oleh bangsa dan umat itu sendiri. Jika kekuasaan tersebut dapat dirampas dari suatu bangsa dan umat, itu hanya untuk sementara waktu. Boleh jadi umat akan memberikan kekuasaannya sehingga keadaan yang ada akan terus berlangsung, atau boleh jadi umat akan bersikap keras untuk mengambilnya kembali sehingga jatuhlah kekuasaan itu.

 

Selama kekuasaan itu ada pada bangsa dan umat atau secara terpendam ada pada mereka, maka pada bangsa dan umat tersebut perlu ada berfikir politik. Hal ini kerana berfikir politik perlu ada pada diri umat sebelum ada pada para penguasa. Berfikir politik lebih diperlukan keberadaannya untuk menjaga lurusnya kekuasaan daripada mewujudkan kekuasaan.

 

Oleh kerana itu, umat atau bangsa mesti diberi pendidikan politik dan perlu ada pada mereka berfikir politik. Umat perlu dibekali dengan berbagai informasi dan berita politik, juga perlu dibiasakan mendengarkan berita-berita politik. Hal ini dilakukan dengan cara yang semulajadi, bukan dengan manipulasi. Umat juga perlu diberi tsaqafah yang sahih dan berita-berita yang benar sehingga umat tidak menjadi mangsa penyesatan.

 

Oleh kerana itu, politik dan berfikir politik adalah faktor yang akan mewujudkan kehidupan (dinamik) pada diri suatu bangsa dan umat. Dengan kata lain, politiklah yang akan membuat umat hidup. Tanpa berfikir politik, umat bagaikan mayat yang membisu, tidak bergerak, dan tidak berkembang.

 

Hanya saja kesalahan dalam memahami politik dan kesesatan yang berlaku dari memahami politik,  adalah kerana proses berfikir tentang teks-teks politik dilakukan sama persis dengan proses berfikir tentang teks-teks yang lain, seperti teks sastera, pemikiran, dan hukum.

 

Dengan demikian, seorang pemikir akan memikirkan kata dan susunan kata, misalnya, dan memahami kata-kata dan susunan kata tersebut apa adanya. Atau dia akan memikirkan makna-makna yang terkandung di dalam kata dan susunan kata itu, dan memahami makna-maknanya apa adanya. Atau dia akan memikirkan indikasi-indikasi (ad-dalalat, indications) dari kata-kata dan susunan-susunan kata tersebut, dan memahami indikasi-indikasi yang ada.

 

Di sini berlakunya kesalahan dan kesesatan adalah kerana berfikir tentang teks-teks politik itu berbeza dengan jenus teks yang lain. Kesalahan dan bahaya dalam berfikir politik berlaku kerana tidak adanya pembezaan antara teks politik dengan teks yang lain.

 

Makna-makna teks politik kadang terdapat di dalam teks. Kadang juga terdapat di luar teksnya. Kadang terdapat pada redaksi kata dan susunan kata yang ada, seperti dalam perjanjian, misalnya, dan juga terdapat pada pernyataan-pernyataan para pegawai.

 

Makna teks politik kadang terdapat pada makna-makna, tidak pada redaksinya. Kadang terdapat pada indikasi-indikasinya, bukan pada makna dan kata yang ada. Dan kadang pula terdapat di balik makna, kata, dan indikasi yang ada. Bahkan makna teks politik kadang bertentangan atau berbeza sama sekali dengan teks-teksnya.

 

Apabila seorang pemikir tidak mengetahui apa yang dimaksud dalam teks politik, baik yang terkandung di dalam teks mahupun di luar teks, maka dia tidak akan dapat memahami teks politik, bagaimanapun juga keadaannya. Dia akan terjerumus ke dalam kesalahan dan kesesatan ketika berfikir tentang teks politik.

 

Kemudian di antara hal yang membahayakan proses berfikir politik adalah melepaskan teks dari situasi keadaannya, membuat kesimpulan umum, atau memasukkan analogi komprehensif di dalamnya. Itu kerana teks politik tidak dapat dipisahkan dari situasinya, bagaimanapun juga situasi tersebut, sebab situasi dan keadaan merupakan bahagian dari teks politik.

 

Begitu juga tidak boleh melakukan kesimpulan umum dengan cara apa pun, atau memasukkan analogi komprehensif, bahkan sekadar analogi sekalipun. Yang demikian itu kerana selain situasi politik merupakan bahagian dari teks politik, teks tersebut merupakan teks bagi suatu peristiwa tertentu. Jadi, teks perlu diambil untuk peristiwa itu saja, tidak untuk yang lainnya, dan tidak dibuat kesimpulan umum atas lainnya atau dianalogikan dengan lainnya, baik analogi komprehensif mahupun analogi sebenar.

 

Sebaliknya, teks politik perlu diambil untuk peristiwa itu saja. Oleh kerana itu, melepaskan teks dari situasi keadaannya, membuat kesimpulan umum, atau memasukkan analogi komprehensif atau analogi sebenar, akan membentuk bahaya kesalahan dan kesesatan dalam proses berfikir politik.

 

Bersambung ke bahagian 5/6

 

Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)

Exit mobile version