Site icon MuslimahHTM News

Berfikir Politik (Bahagian 5/6)

[At-Tafkir] Berfikir Politik (Bahagian 5/6)

Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani

 

Terkadang seorang pegawai memberikan suatu pernyataan, kemudian dari pernyataan tersebut dapat difahami sesuatu. Lalu pegawai tadi memberikan pernyataan yang sama atau pernyataan yang lain sehingga darinya dapat difahami sesuatu yang lain yang kadang berbeza—bahkan kadang-kadang bertentangan—dengan pernyataan yang pertama.

 

Seorang pegawai kadang memberikan suatu pernyataan yang benar, yakni pernyataan yang jujur, lalu difahami itu adalah pernyataan bohong dengan tujuan untuk menyesatkan. Terkadang seorang pegawai memberikan pernyataan yang bohong, lalu difahami itu sebagai pernyataan yang benar dengan tujuan untuk menyampaikan apa yang dimaksudkannya. Kebohongan di dalamnya adalah memberikan pernyataan yang samar secara dusta.

 

Kadang-kadang suatu aktiviti dilaksanakan sesuai dengan pernyataan dan kadang-kadang bertentangan dengan pernyataan. Begitulah seterusnya.

 

Jadi situasi dan berbagai faktor yang melingkupi suatu teks merupakan hal yang akan memberikan pedoman yang jelas untuk memahami suatu pernyataan hingga akhirnya akan tersingkap apa yang dimaksud oleh teks politik, bukan apa makna teks politik itu sendiri. Oleh kerana itu, proses berfikir politik tidak akan mendekati kebenaran kecuali sesuai dengan cara tersebut di atas.

 

Proses berfikir tidak akan mendekati kebenaran, kecuali jika situasi-situasi dijadikan sebagai bahagian yang tidak terpisahkan dari teks atau aktiviti, setiap peristiwa diambil sebagai peristiwa individual, serta menjauhkan generalisasi dan analogi darinya.

 

Umat Islam telah mengalami banyak musibah dan bencana akibat buruknya mereka dalam berfikir politik. Sebagai contoh adalah Daulah Uthmaniyyah. Ketika Eropah memeranginya pada abad ke-19, sebenarnya Eropah lebih banyak memerangi Daulah Uthmaniyyah dengan aktiviti-aktiviti politik dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti militer.

 

Meskipun terdapat aktiviti militer, tetapi sebenarnya hanya untuk mendukung aktiviti politik. Misalnya, apa yang disebut dengan ‘Masalah Balkan’ adalah suatu masalah yang diciptakan oleh negara-negara Barat melalui pernyataan-pernyataan. Barat mengumumkan bahawa negara-negara Balkan wajib dibebaskan dari Uthmaniyyin, yakni dari kaum muslim.

 

Akan tetapi, Barat sebenarnya tidak bermaksud memerangi Daulah Uthmaniyyah. Barat hanya bertumpu pada aktiviti-aktiviti politik untuk menimbulkan kegoncangan dan kegelisahan di Balkan. Kemudian Barat membawa idea nasionalisme dan kemerdekaan, lalu diambil oleh orang-orang Balkan dan mereka pun mula melancarkan berbagai revolusi melawan Daulah Uthmaniyyah.

 

Daulah Uthmaniyyah lalu melakukan aktiviti-aktiviti militer untuk menghadapi berbagai revolusi tersebut dengan tetap menjaga situasi yang telah dibuat oleh negara-negara Barat. Daulah Uthmaniyyah berusaha untuk menyenangkan negara-negara Barat, padahal negara-negara Barat itulah yang menyokong revolusi tersebut dan mengacaukan Daulah Uthmaniyyah.

 

Negara-negara Barat itu pula yang menjadikan Daulah Uthmaniyyah sibuk melawan berbagai revolusi, dengan tujuan agar aktiviti Daulah Uthmaniyyah itu dapat menghancurkan kekuatannya sendiri, bukan menghilangkan revolusi tersebut.

 

Dengan demikian, akibat kesalahan Daulah Uthmaniyyah dan kesesatannya dalam berfikir politik, maka terlepaslah Balkan. Ini kemudian diikuti dengan munculnya idea nasionalisme di pusat negerinya sendiri hingga akhirnya Daulah Uthmaniyyah dapat dihancurkan.

 

Hal tersebut berbeza dengan Rusia atau Kesatuan Soviet. Mereka telah mengalami masalah yang sama di Eropah Timur pada 1950-an.

 

Pada saat itu, Amerika menyerukan kemerdekaan Eropah Timur dari komunisme. Negara-negara Eropah Timur pun mula menyerukan kemerdekaan dari Kesatuan Soviet, yang sentiasa didukung oleh Amerika baik secara terang-terangan mahupun rahsia.

 

Rusia tidak menyikapinya seperti sikap Daulah Uthmaniyyah. Mereka mengetahui bahawa idea kemerdekaan sebenarnya adalah perang melawan Kesatuan Soviet. Oleh kerana itu, mereka tidak mahu berdamai dengan Amerika, malah menjadikan Amerika musuh pertamanya. Ketika muncul revolusi Poland, Kesatuan Soviet pun menghancurkannya seterusnya menghalangnya dari mencapai kejayaan.

 

Ketika Bulgaria melakukan revolusi, Kesatuan Soviet pun menghancurkannya tanpa belas kasihan sedikit pun. Kesatuan Soviet lalu memperkuat cengkeramannya atas Eropah Timur dan menyiapkan perang melawan Amerika apabila Amerika bergerak untuk mendukung Eropah Timur, baik secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan.

 

Itu semua merupakan penyebab gagalnya Amerika sehingga memaksa Amerika—setelah kegagalannya dan setelah ia mengetahui sikap politik Rusia dan pemahaman politiknya—untuk menggantikan idea untuk memerangi dan melemahkan komunisme dengan mengadakan berbagai kesepakatan dengan Rusia dan memilih hidup rukun dengannya. Semua itu bukan diakibatkan oleh kekuatan Rusia, tetapi kerana adanya proses berfikir politik yang benar.

 

Contoh lain adalah ketika Amerika melihat Israel yang telah dijadikannya sebagai suatu negara, hampir lepas dari tangannya, dan Britain hampir saja mengambil kembali negeri-negeri tersebut dengan mengubah negara Israel menjadi institusi lain yang disebut Palestin.

 

Ketika Amerika melihat itu pada akhir 1960-an, Amerika menyebut masalah Palestin sebagai masalah Timur Tengah. Amerika pun melakukan aktiviti politik yang akan memungkinkannya untuk menangani sendiri masalah tersebut. Kemudian, Amerika membuat kata “perdamaian” dan membuat konsep “penyelesaian masalah” sebagai sarana untuk makin mempersulit masalah tersebut.

 

Begitulah, Amerika terus melakukan penyesatan politik sehingga bangsa Arab dan Yahudi jatuh mengikuti kehendak Amerika. Amerika secara berterusan melakukan perubahan dan penyesatan sehingga hancurlah kekuatan Arab dan Yahudi. Akhirnya, Arab dan Yahudi berjalan—tidak menuju penyelesaian masalah—tetapi menuju transformasi kawasan dari keadaan kacau (yang disebut Amerika sebagai keadaan perang) menuju keadaan tenang yang nisbi yang dinamakan Amerika sebagai keadaan damai.

 

Hal itu dilakukan agar Amerika secara perlahan-lahan dan tenang dapat mengukuhkan kawasan tersebut pada keadaan yang telah digariskannya. Akhirnya, Britain pun terusir secara total dari kawasan tersebut dan Amerika dapat sendirian menguasai dan memperluas pengaruhnya pada seluruh kawasan tersebut.

 

Caranya adalah dengan memperkuat negara Israel. Dengan demikian, apa yang disebut sebagai masalah Timur Tengah adalah sama dengan masalah Balkan. Seperti halnya Daulah Uthmaniyyah dan penduduk negara-negara Eropah Selatan terjerumus dalam perangkap akibat kesesatan politik, maka bangsa Arab dan Yahudi pun terjerumus ke dalam perangkap yang sama.

 

Apabila pada diri kaum muslim saat ini tidak terdapat proses berfikir politik untuk memahami masalah Timur Tengah seperti halnya Rusia yang telah memahami masalah Eropah Timur, maka nasib akhir Timur Tengah akan sama seperti nasib Balkan.

 

Jadi, buruknya proses berfikir politik itulah yang telah memusnahkan berbagai bangsa dan umat. Buruknya proses berfikir politik juga telah menghancurkan dan melemahkan berbagai negara, telah menghalangi bangsa-bangsa yang tertindas untuk membebaskan diri dari belenggu penjajahan, serta telah menghalangi bangsa-bangsa yang mengalami kemunduran untuk bangkit. Oleh kerana itu, berfikir terhadap teks-teks politik merupakan hal yang sangat penting.

 

Bersambung ke bahagian 6/6

Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat berfikir (At-Tafkir)

 

#tafkir #tekspolitik #berfikirpolitik

 

Exit mobile version