[FIKRUL ISLAM] Pemikiran dan Teori-Teori yang Salah Mengenai Perubahan (Bahagian 2)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Perkara seterusnya ialah,
2. Kebangkitan dengan pendidikan dan sains.
Mereka yang mencetuskan idea ini mengaitkan kemerosotan kita yang jelas ini disebabkan oleh keadaan buta huruf yang berleluasa, bilangan orang yang berpendidikan sedikit dan kekurangan graduan dan kekurangan penyebaran ilmu serta tiada usaha untuk benar-benar menyebarkannya. Oleh itu, kebanyakan mereka mempromosikan slogan seperti “Ilmu itu menjadi asas kebangkitan”, “Ilmu pengetahuan menjadi punca kebangkitan Barat” dan sebagainya.
Sebenarnya, pandangan seperti ini rosak dan untuk menjelaskan kerosakannya kami menerangkan seperti berikut:
a. Jika kita bandingkan jumlah orang yang berpendidikan yang kita ada dengan orang yang berpendidikan yang dimiliki oleh negara maju, kita akan dapati bahawa jumlah orang yang berpendidikan yang kita miliki, terutamanya di Lubnan, Jordan, Kuwait adalah lebih ramai berbanding dengan orang berpendidikan di Eropah Timur dan Barat yang bangkit ketika ini.
b. Adakah mereka bangsa Arab ketika memimpin umat Islam ke tahap kemajuan sains sebuah negara yang terpelajar? Atau adakah kemajuan mereka dalam bidang sains itu diperoleh selepas adanya kebangkitan umat Islam, atau adakah kemajuan dalam bidang sains di Amerika dan Rusia sebelum kebangkitan mereka? Atau adakah kebangkitan negara-negara itu yang telah mencipta kemajuan saintifik? Jawapannya sangat jelas. Tidak semua bangsa yang mempunyai ramai orang berpendidikan menjadi bangsa yang bangkit. Malah sebaliknya. Jika tidak, sudah pasti banyak negeri kita (negara Islam) yang akan menjadi negara yang bangkit dan negara Barat akan menjadi mundur. Dari sini jelas kepada kita bahawa kebangkitan itu adalah punca kemajuan sains dan pendidikan, bukan sebaliknya.
3. Bangkit dengan akhlak.
Pencetus idea ini berpendapat bahawa kebangkitan umat boleh dicapai dengan meningkatkan kualiti akhlak setiap individu dan kemerosotan serta kemunduran umat disebabkan oleh kemerosotan akhlak. Mereka menguatkan pendapat mereka dengan beberapa bait puisi, seperti ungkapan Syauqi berikut:
Umat-umat itu bertahan hidup dan tidak rosak jika akhlak mereka ada
Jika akhlak mereka hilang, maka mereka juga ikut rosak
Atau perkataan yang lain:
Kebenaran dan kesesuaian urusanmu, akhlaklah menjadi tempat ia merujuk
Maka luruskanlah dirimu dengan akhlak itu, nescaya engkau akan tegak dengannya
Atau perkataannya:
Sia-sialah usaha pemimpin yang ingin membina kaumnya
Jika akhlak kaum itu menjadi perosak
Mereka juga menguatkan kenyataan mereka dengan nas-nas syarak yang berasal dari al-Quran seperti firman-Nya,
“Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” [TMQ Al-Qalam (68): 4]
Atau berasal dari hadis Nabi SAW., “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak.”
Untuk menjelaskan kerosakan pendapat mereka, kami memberikan penjelasan berikut:
a. Sebenarnya perbincangan kita berkisar tentang usaha untuk menyedarkan umat dan masyarakat, bukan untuk menyedarkan individu. Bertitik tolak daripada itu, kita mestilah terlebih dahulu memahami realiti masyarakat dan aktiviti untuk mengubahnya. Jika kita menentukan bahawa akhlak boleh mengubah individu—dan ini bukanlah satu kenyataan yang sahih seperti yang akan kita jelaskan kemudian—sebenarnya perubahan individu tidak membawa kepada perubahan dalam masyarakat kerana masyarakat bukan sahaja terbentuk daripada individu tetapi masyarakat itu terbentuk daripada individu-individu dan hubungan antara individu tersebut serta sistem yang menjaga ikatan bahawa sistem ini akan membenarkan sebarang jenis ikatan apa pun. Oleh itu, agar kebangkitan dan perubahan itu boleh berlaku mestilah dibincangkan kaifiah (tatacara) untuk mengubah masyarakat secara keseluruhan, yang mana individu menjadi sebahagian daripadanya sehingga penyelidikan ini bukan sahaja berorientasikan kepada individu.
b. Sebenarnya yang mendorong individu untuk menerima dan berpegang kepada akhlak bukanlah akhlak itu sendiri, tetapi merupakan beberapa faktor di luar akhlak itu sendiri.
Sebagai contoh, kadang-kadang seseorang terbiasa bercakap jujur kerana dia menganggap bahawa sikap jujur itu bermanfaat untuknya atau kerana bapanya mengajarkan perkara itu kepadanya, atau kerana manusia menghormati sikap jujur atau kerana agama memerintahkan bersikap jujur dan sebagainya. Berdasarkan hal ini, jika kita menginginkan agar seseorang berakhlak dengan akhlak tertentu, maka kita hanya menyeru kepada prinsip yang menjadi punca kepada akhlak tersebut, prinsip inilah yang menentukan segala tingkah laku dan perbuatan manusia termasuk akhlak.
c. Bukti yang menunjukkan tidak pentingnya akhlak, apabila dianalogikan dengan perkara-perkara lain ialah al-Quran tidak pernah membicarakan akhlak dalam bentuk lafaz ini kecuali dalam ayat, “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak (budi pekerti) yang amat mulia.” [TMQ Al-Qalam (68): 4].
Kemudian para fukaha Islam telah membuat satu bab bagi setiap jenis hukum, tetapi mereka tidak membuat bab tersendiri dalam kitab mereka yang membincangkan tentang akhlak.
d. Jika kita bandingkan umat dan bangsa yang sedang bangkit dengan segala akhlak mereka dari satu sisi, dengan umat dan bangsa tertinggal dengan akhlaknya pula di sisi yang lain, nescaya kita akan dapati bahawa umat-umat yang tertinggal tersebut, terutama umat Islam adalah orang dan bangsa yang lebih baik akhlaknya, tetapi walaupun begitu, mereka masih mundur dan tidak bangkit.
Apakah faedah yang diperoleh daripada berjuta-juta buku, buletin, ceramah, dan seminar yang membincangkan akhlak sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Bolehkah sesuatu mengubah realiti kita?
Pembentangan ini jelas menunjukkan, kemusnahan propraganda akhlak sebagai asas kebangkitan. Namun, perlu diingatkan bahawa apa yang kita nyatakan bahawa akhlak tidak layak dijadikan asas perubahan, bukanlah bererti kita menolak akhlak, tetapi bererti bahawa akhlak bukanlah satu asas walaupun seseorang manusia mesti mempunyai akhlak yang terpuji.
4. Kebangkitan dengan kekuatan fizikal dan persenjataan.
Sesetengah golongan berpendidikan berpendapat bahawa kemerosotan adalah disebabkan oleh ketidakupayaan kita untuk memiliki kekuatan ketenteraan yang kuat dan persenjataan moden dan seterusnya mereka berpendapat bahawa kebangkitan kita tidak akan tercapai kecuali apabila kita memiliki persenjataan dan kekuatan ketenteraan dan sebagainya.
Pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang rosak. Hal ini kerana banyaknya alasan yang jelas dan nyata. Malah, berdasarkan realiti yang ada, kita tidak memerlukan senjata untuk kebangkitan. Stok simpanan senjata di gudang besar negara-negara Arab melebihi jumlah senjata yang dimiliki oleh negara yang kini sudah bangkit. Namun, persenjataan kita yang banyak itu tidak kelihatan ketika kita memerangi Israel dan amtsal-nya, persenjataan tersebut hanya kelihatan dalam peperangan Al-Asyqa’u.
Oleh itu, sebenarnya senjata yang ada di tangan negara yang tidak bangkit dan mundur adalah seperti senjata di tangan kanak-kanak kecil atau orang gila, yang mana senjata itu tidak terarahkan kepada tujuan yang sebenar mereka, ia hanya digunakan pada tempat yang tidak sepatutnya.
Seorang gila mengacukan senjatanya ke mana sahaja dia mahukan, tanpa menghiraukan niat atau tujuannya, jadi ada kemungkinan dia akan mengacukan senjata tersebut kepada dirinya sendiri atau saudaranya sendiri.
Berdasarkan hal ini, kami katakan kepada ahli pendapat yang sakit ini bahawa senjata yang lengkap tidak membawa kepada kebangkitan, malah persenjataan yang banyak tidak boleh dikaitkan dengan kewujudan kebangkitan. Walaupun negara-negara yang bangkit—disebabkan tabiatnya memiliki persenjataan, persenjataan ini menjadi satu kemestian (dlaruriy) bagi umatnya. Bagaimanapun kelengkapan senjata umat Islam hari ini masih tidak membawa kepada kebangkitan.
Maka jika kita gunakan istilah metafora, keadaannya seperti pepatah berikut, “Celakalah sebuah umat yang memakan sesuatu yang tidak dia tanam, dan memakai sesuatu yang tidak dia tenun”.
Sumber: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)
#FikrulIslam #Pemikiran #Perubahan #TeoriKebangkitan

