[Kenyataan Media] Musuh Allah (swt) Sedang Menggeletar dengan Seruan Jihad, Maka Bagaimana Jika Tentera Islam Benar-benar Bergerak untuk Tujuan Itu?
Selepas berterusan menyeru pemerintah dan tentera kaum Muslimin untuk berjihad fi sabillah ke Palestin, pihak pengurusan Facebook (FB) telah menutup FB Hizbut Tahrir / Malaysia (HTM) tanpa sebarang notis. Mereka juga telah menutup FB Jurucakap HTM atas sebab yang sama. Selain itu, beberapa FB Hizbut Tahrir di negara-negara Barat dan Arab turut ditutup. Hal ini tidak lain kecuali menunjukkan ketakutan musuh-musuh Allah (swt) terhadap penyelesaian sebenar untuk masalah Palestin yang dinyatakan oleh Hizbut Tahrir, selain menunjukkan sokongan mereka kepada entiti Yahudi yang haram lagi kejam.
Sejak serangan ke atas Gaza tiga minggu lepas, HTM secara agresif mengadakan demonstrasi dan diskusi, dan menghujani FB dengan pelbagai video, laporan, maklumat, poster dan lain-lain, menyeru tentera kaum Muslimin untuk segera berjihad ke Palestin. Selain daripada FB rasmi HTM dan Jurucakapnya, FB peribadi para anggota Hizbut Tahrir turut terjejas di mana kesemua posting yang dikongsi daripada kedua-dua FB tersebut telah dihapuskan. Begitu juga dengan kesemua posting yang memaparkan perkataan “Hizbut Tahrir” turut dihapuskan.
Sangat jelas bahawa musuh-musuh Allah (swt) telah kalah dalam “perang pemikiran” sehingga mereka terpaksa menggunakan “kuasa” mereka untuk menutup suara kebenaran. Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan bukanlah perkara baru bagi kami, kerana pihak pengurusan FB telah banyak kali menutup FB Hizbut Tahrir di banyak negara daripada semasa ke semasa, kerana ketakutan mereka terhadap seruan kepada Khilafah yang dilaungkan oleh Hizbut Tahrir.
Wahai tentera kaum Muslimin!
Kita telah melihat bahawa musuh-musuh Allah (swt) telah pun kalah dalam peperangan pemikiran dengan kekalahan mutlak, apabila berhadapan dengan pemikiran yang benar. Kita kini sedang melihat bagaimana musuh-musuh Allah (swt) sedang menggigil ketakutan dengan seruan jihad, walaupun dilaungkan oleh hanya sekelompok kecil manusia. Justeru, kalian boleh bayangkan jika kalian benar-benar turun ke medan jihad untuk mengalahkan musuh-musuh Allah (swt) dengan kekuatan sebuah negara, apakah yang akan berlaku kepada mereka? Tidakkah kalian yakin dengan firman Allah (swt) ketika Dia berfirman;
﴿قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنْصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ﴾
“Perangilah mereka, nescaya Allah akan menghancurkan mereka dengan (perantaraan) tangan-tangan kalian, dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kalian atas mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman” [At-Taubah (9): 14]
Akhir sekali, kami ingin menyatakan bahawa apa sahaja yang pihak pengurusan FB atau sesiapa sahaja lakukan untuk menghapuskan suara kebenaran, mereka tidak akan berjaya, kerana sesungguhnya kebenaran itu datangnya daripada Allah (swt) dan Dialah yang akan menyebarluaskannya, menjaganya dan memenangkannya atas segala kebatilan. Ini adalah janji-Nya dan Dia tidak akan pernah mengingkari janji-Nya, sebagaimana Dia tidak akan pernah mengingkari janji-Nya (melalui sabda Nabi-Nya) tentang kembalinya Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua, orang-orang Yahudi. akan dikalahkan, dan seluruh umat Islam akan bergembira, yang akan berlaku tidak lama lagi dengan izin-Nya.
Pejabat Media Hizbut Tahrir Malaysia
Ruj: HTM1445/03
Rabu, 12 Rabi’ul Akhir 1445H/25 Okt 2023

