[Nafsiyah] Menghindari Rasa Malas
Penulis: Ibnu al-Jauzi
Penyebab rasa malas adalah cinta kepada kesenangan, suka menganggur, dan tidak bersedia menghadapi kesulitan. Di dalam hadis Anas bin Malik dikatakan, Nabi SAW senantiasa memperbanyakkan doa,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan serta kelemahan dan kemalasan.”
Di dalam hadis Muslim yang diriwayatkan Abi Hurairah, Nabi SAW bersabda,
اَلْـمُؤْمِنُ الْقَـوِيُّ خَـيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَـى اللهِ مِنَ الْـمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِـيْ كُـلٍّ خَـيْـرٌ ، اِحْـرِصْ عَـلَـى مَا يَـنْـفَـعُـكَ وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلَا تَـعْجَـزْ ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَـيْءٌ فَـلَا تَقُلْ: لَوْ أَنِـّيْ فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَـذَا ، وَلَـكِنْ قُلْ: قَـدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَـفْـتَـحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada mukmin yang lemah; dan pada kedua-duanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah engkau berkata, ‘Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu.’ Namun katakanlah, ‘Ini telah ditakdirkan Allah dan Allah berbuat apa saja yang Dia kehendaki.’ Sebab ucapan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan syaitan.”
Ibnu Mas’ud pernah berkata, “Sesungguhnya aku paling benci kepada orang yang menganggur, tidak memiliki amal dunia, juga tidak memiliki amal akhirat. ” Dia juga berkata, “Akan hadir pada akhir zaman, suatu kaum yang pekerjaan utamanya adalah saling mencela, sementara mereka menyebutnya sebagai pekerjaan.”
Ibnu Abbas berkata, “Sepasang kekasih, lembik dan malas, telah berkahwin hingga melahirkan seorang anak yang bernama kefakiran.”
Malik bin Dinar berkata, “Pasti ada cabaran dalam melakukan suatu amal kebaikan. Barang siapa yang sabar menghadapinya, pasti akan sampai pada kesenangan. Namun apabila dia mengeluh dan mengalah, dia akan berjalan di tempat yang sama.”
Sufyan Ats-Tsauri pernah berkata, “Orang-orang telah pergi menaiki kuda-kuda pilihan, sementara kita mogok di atas keldai yang sakit.”
Ubat Bagi Penyakit Malas
Ubatnya adalah menyemarakkan semangat dengan perasaan takut akan kehilangan sesuatu yang dicita-citakan, takut jatuh ke dalam kehinaan, atau takut terjadi penyesalan dan kesedihan yang mendalam. Sesungguhnya, kesedihan orang yang lalai dan lengah akan terasa lebih menyakitkan daripada segala seksaan, apabila dia menyaksikan kejayaan orang yang berdedikasi dan bersungguh-sungguh.
Orang yang berakal hendaklah memikirkan akibat buruk dari kemalasan. Tidak sedikit kesenangan yang menimbulkan duka cita dan penyesalan yang mendalam.
Barang siapa yang melihat jirannya keluar, lalu kembali dengan membawa keuntungan, maka perasaannya akan semakin sedih dan menyesal berkali ganda lebih besar melebihi nikmat kemalasan. Demikian juga, jika salah seorang daripada dua sahabat cemerlang dalam ilmu pengetahuan sementara yang seorang lagi bermalas-malasan, penderitaan kerana ketinggalan akan jauh lebih besar daripada kenikmatan semasa bermalas-malasan.
Orang-orang bijak telah bersepakat bahawa ilmu tidak dapat diraih dengan kesenangan dan kemalasan. Orang yang mahu menatap—walaupun hanya sekejap—akibat buruk kemalasan dan mengerti nilai-nilai kesungguhan, nescaya lupa akan kesulitan-kesulitan perjalanan dan bersedia menghadapi cabaran.
Orang yang berakal hendaklah sedar bahawa dia tidak diciptakan tanpa tujuan. Kewujudannnya di dunia seperti seorang buruh atau pedagang. Masa beramal di dunia hanyalah sekejap dibandingkan dengan masa bermukim dalam kubur. Bahkan, tidak akan ada apa-apa jika dibandingkan dengan masa bermukim yang kekal abadi, syurga atau neraka.
Ubat yang paling efektif untuk merawat rasa malas ialah dengan merenung tingkah laku dan reputasi orang-orang yang rajin dan bersungguh-sungguh, serta menjauhi sikap berbangga diri yang merupakan faktor timbulnya rasa malas.
Farqad berkata, “Kalian memakai pakaian yang mahal sebelum bekerja. Tidakkah kalian lihat bagaimana seorang pekerja mengenakan pakaiannya yang paling sederhana? Dia akan memakai pakaiannya yang bersih setelah selesai bekerja dan selepas mandi.”
Sumber: Ibnu al-Jauzi, Mengobati Jiwa yang Lelah

