[Nafsiyah] Hati Yang Bersih Mampu Meraih Hikmah
Tiada perbuatan yang kita lakukan yang tidak mendapatkan hikmah. Justeru dengan mengetahui hikmahnya, ia dapat melapangkan hati dan jiwa dalam menjalani kehidupan. Namun, jika kita seringkali melihat perkara yang tidak berfaedah, sesungguhnya ia akan mempengaruhi sehingga sukar untuk mendapatkan hikmah seperti menonton podcast yang mengaibkan manusia, filem hiburan yang melalaikan dan sebagainya.
Oleh sebab itu, kita mesti membersihkan fikiran kita daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan akan membawa kepada kemaksiatan. Pemikiran yang rosak juga akan memberi kesan kepada hati sehingga menjadi kotor dan tertutup. Jangan sibukkan diri dengan perkara yang mendatangkan dosa.
Ulama berkata, “Berapa ramai orang yang hidup malah mematikan hati kita ketika melihat masalah mereka kerana tidak memberi manfaat.”
Imam Mujahid dalam kitab Fathul Qadir berkata, “Hati itu ibarat tapak tangan yang terbuka jika bersih. Sedangkan jika hati melakukan dosa, satu persatu jari akan tertutup sehingga akhirnya semua jari akan tergenggam rapat. Begitulah diibaratkan seperti hati, jika tangan yang menggenggam tidak menerima apa-apa, hati yang tertutup juga tidak akan menerima sebarang kebaikan. Inilah yang menyukarkan seseorang untuk mendapat nasihat daripada sesiapa pun termasuk dari Allah SWT dan RasulNya. Begitu juga, untuk memenuhi seruan kepada pelbagai ketaatan.”
Hati yang Bersih
Allah SWT berfirman, “Ketika dia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.” [TMQ as-Saaffaat (37):84]
Jika hati seorang hamba terhindar dari syirik, keraguan dan syahwat yang dapat menghalangnya daripada mengetahui kebenaran dan mengamalkannya, maka dia akan terpelihara daripada kejahatan. Di antara bentuk keselamatan hati ialah selamat dari perbuatan tipu daya manusia, hasad dengki dan akhlak yang tercela.
Boleh jadi juga seseorang itu sukar untuk menerima nasihat dan mendapat hikmah kerana hatinya tidak bersih. Ingatlah pada doa yang selalu kita minta kepada Allah SWT, “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”..” [TMQ al-Hasyr (59):10]
Allah SWT menyebut dalam doa tersebut permohonan untuk menghilangkan perasaan ghil dari hati mereka, timbul perasaan kasih sayang antara saudara sesama muslim, tolong-menolong dan nasihat-menasihati antara satu sama lain serta sifat terpuji lain yang merangkumi hak orang beriman. Ghil adalah perasaan tidak suka yang disertai rasa sakit di hati melihat orang lain tanpa dalil syarie yang dibenarkan walaupun seseorang itu boleh mencari pembenaran.
Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan dari Abdullah bin Amr bin Ash RA, “Rasulullah SAW pernah ditanya, ‘Siapakah orang yang paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Setiap orang yang bersih hatinya dan benar ucapannya.’ Para sahabat berkata, ‘Orang yang benar ucapannya telah kami fahami maksudnya. Lantas apakah yang dimaksudkan dengan orang yang bersih hatinya?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Dia adalah orang yang bertakwa (takut) kepada Allah SWT yang suci hatinya, tidak ada dosa dan derhaka di dalamnya, serta tidak ada pula dendam dan hasad.’” [HR Ibnu Majah dan Thabrani].
Nasihat Ulama Salaf
Ibnul Qayyim berkata, “Hati ibarat raja kepada anggota badan. Anggota badan akan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh hati dan menerima segala arahan hati. Anggota badan tidak akan melakukan apa-apa melainkan ianya datang dari tujuan dan keinginan hati. Maka, hati bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anggota badan kerana pemimpin akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Jika demikian, maka usaha untuk memberi perhatian yang besar kepada perkara yang menyihatkan hati dan meluruskannya adalah usaha yang paling utama dan memerhatikan penyakit hati serta berusaha untuk merawatnya adalah ibadah yang paling besar.” (Ighatsah al-Lahfan m.s 5)
Ibnu Qudamah berkata, “Dan ketahuilah bahawa ketika Allah SWT menghendaki kebaikan pada seseorang, maka dia akan mengetahui aibnya. Sesiapa yang mempunyai mata hati yang tajam, tidak akan disembunyikan kesalahannya dan jika dia mengetahui aibnya, nescaya dia dapat mengubati penyakit tersebut. Malangnya, kebanyakan manusia tidak tahu kesalahan mereka sendiri. Mereka hanya melihat “kotoran” di mata saudaranya, tetapi mereka tidak dapat melihat “anak lembu” di mata mereka sendiri.”
Wahai saudaraku, berusahalah untuk membersihkan hati agar mudah mendapatkan hikmah. Jangan biarkan hati terus tercemar dan akhirnya merugikan diri sendiri kerana sukar menjalani kehidupan tanpa memahami pelbagai pengajaran. Setiap pengajaran yang Allah SWT berikan dalam setiap kisah hidup akan menguatkan kita. Ma syaa Allah. Wallahu muwaffiq.

