[Syarah Hadis] Bersabar terhadap Isteri dalam Perspektif Hadis
Oleh: Siti Murlina, S.Ag.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُول اللَّه صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ : أَكْمَل الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهمْ خُلُقًا، وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ
Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap para isterinya.” [HR At-Tirmidzi no. 466; Ahmad no. 250, dan Ibnu Hibban no. 483].
Hadis di atas dinyatakan sahih oleh Imam At-Tirmidzi, Ibnu Hibban, dan Syekh Al-Albani.
Hadis tersebut menegaskan dan mengajarkan bahawa bersikap kasih sayang dan lemah lembut terhadap isteri merupakan salah satu tanda kesempurnaan iman dan orang yang paling baik akhlaknya. Hal ini selari dengan konteks ayat al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا يَحِلُّ لَكُمْ اَنْ تَرِثُوا النِّسَاۤءَ كَرْهًاۗ وَلَا تَعْضُلُوْهُنَّ لِتَذْهَبُوْا بِبَعْضِ مَآ اٰتَيْتُمُوْهُنَّ اِلَّآ اَنْ يَّأْتِيْنَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍۚ وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِۚ فَاِنْ كَرِهْتُمُوْهُنَّ فَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّيَجْعَلَ اللّٰهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْرًا
“Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi wanita dengan jalan paksa, dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali bila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, walhal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” TMQ an-Nisa’ (4): 19].
Dalam memahami konteks hadis dan ayat di atas, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya Sistem Pergaulan dalam Islam, menyatakan agar para suami bersahabat secara baik (berinteraksi dan bercampur dengan penuh keakraban dan rapat) dengan isteri-isteri mereka dan jika mereka telah membangun ikatan suami isteri yang baik, ini adalah supaya pergaulan dan persahabatan mereka satu sama lain berlangsung sempurna.
Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan, persahabatan seperti itu lebih mententeramkan jiwa dan membahagiakan hidup. Pergaulan suami terhadap isteri itu merupakan tambahan kebaikan atas kewajipan memenuhi hak-hak isteri berbentuk mahar dan nafkah. Dimana hendaknya suami tidak bermuka masam di depan isterinya tanpa ada kesalahan dari isteri. Suami hendaklah senantiasa berlemah lembut dalam bertutur kata, tidak bersikap keras dan kasar, serta tidak menampakkan kecenderungan kepada wanita lain. [Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, Sistem Pergaulan dalam Islam, hlm. 244]
Jadi, hadis ini menganjurkan kepada para suami untuk berakhlak baik kepada isteri dengan selalu menampakkan wajah berseri-seri, tidak menyakiti, berbuat baik, dan bersabar dalam menghadapinya. Ini disebabkan oleh, kadang kala dalam pergaulan tersebut boleh terjadi sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan, maka di situlah fungsi suami sebagai qawwam dilaksanakan.
Perlakuan baik kepada isteri bukan sahaja dengan tidak menyakitinya, melainkan juga bersabar atas perilaku buruk, kelambatan, dan kemarahannya. Ertinya, seorang suami itu memahami sikap dan sifat kelebihan dan kekurangan yang dimiliki oleh isterinya. Dan jika terjadi perselisihan, maka suami akan bijaksana mengatasinya.
Ketika suami memahami hal tersebut, dia akan berusaha melakukan ta’dib (pendidikan dan pengajaran) kepada isterinya agar hak dan kewajipan masing-masing pihak dapat terlaksana secara maksimum. Dengan demikian, pernikahan menjadikan seorang isteri merasakan tenteram dan damai di sisi suaminya dan begitu pula sebaliknya. Dari interaksi itu akan menimbulkan sikap saling cenderung antara suami isteri dan bukan saling menjauh, apalagi saling memusuhi. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda,
اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ ، فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَىْءٍ فِى الضِّلَعِ أَعْلاَهُ ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ
“Berbuat baiklah kepada para wanita. Kerana wanita diciptakan dari tulang rusuk. Yang namanya tulang rusuk, bahagian atasnya itu bengkok. Jika engkau mencuba untuk meluruskannya (dengan kasar), engkau akan mematahkannya. Jika engkau membiarkannya, tetap sahaja tulang tersebut bengkok. Berbuat baiklah kepada para wanita.” [HR Bukhari, no. 3331 dan Muslim, no. 1468].
Begitu juga dalam melayani suami dan mengurus rumah. Itu pun mengikut kesesuaian dengan kemampuan isteri. Jika pekerjaan sangat banyak, suami wajib menyediakan pembantu untuk membantu menyelesaikan pekerjaan-pekerjaan itu. Jika tidak boleh menyediakan pembantu, suami dengan senang hati dan penuh rasa cinta membantu isteri mengurus rumah dan pekerjaan lain.
Sebagaimana pesan Rasulullah SAW kepada para suami, dari Jabir RA, “Bertakwalah kepada Allah dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah dari Allah, dan kalian pun telah menjadikan kemaluan mereka halal bagi kalian dengan kalimat Allah. Kalian memiliki hak atas isteri-isteri kalian agar mereka tidak memasukkan ke tempat tidur kalian seorang pun yang tidak kalian sukai. Jika mereka melakukan tindakan itu, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak kuat (tidak menyakitkan dan tidak meninggalkan bekas). Sebaliknya mereka pun memiliki hak terhadap kalian untuk mendapatkan rezeki dan pakaian (nafkah) menurut cara yang makruf.” [HR Muslim].
Hendaknya juga para suami menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam pergaulan yang menyenangkan, bersenda gurau dengan para isterinya, senantiasa lemah lembut, dan sering membuat mereka tertawa. Bahkan baginda SAW pernah berlumba lari dengan Aisyah RA.
Berbeza dengan sistem sekular kapitalisme saat ini yang sudah memalingkan dan mengikis nilai-nilai mulia yang ingin dicapai dalam syariat pernikahan tersebut. Kaum muslim yang tercemar virus sekularisme liberal ini membuatkan mereka menjadi individu-individu yang tidak stabil, tidak mempunyai ukuran perilaku yang berasaskan halal haram, dan hilang arah tujuan hidup yang benar. Apa pun yang mereka lakukan hanya cenderung kepada manfaat dan material sahaja.
Hal ini jelas dan nyata berlaku saat ini, ramai lelaki berlaku kasar (tidak makruf) kepada isterinya. Di antara penyebabnya adalah faktor ekonomi, kerana dalam sistem kapitalisme sekular yang berlaku membuatkan suami sulit mencari nafkah. Fungsinya sebagai qawwam dimandulkan, negara tidak mengutamakan menyediakan lapangan pekerjaan kepada para lelaki. Keadaan ini membuatkan para suami mengalami tekanan yang tinggi sehingga memaksa tindakan kasar kepada isteri atau anaknya.
Selain itu, suami atau isteri terbawa arus pergaulan bebas, seperti curang hingga berzina. Suami atau isteri juga banyak yang tidak memahami hak dan kewajipannya sehingga peranan suami atau isteri tidak dilaksanakan, yang hujungnya berlaku adalah pertengkaran, kekerasan, perceraian, sehingga pembunuhan.
Sungguh pelik, kerap kita temui, baik dengan mata kepala sendiri mahupun di media, kes-kes kekeluargaan dan pembunuhan itu terjadi. Setiap tahun grafnya terus meningkat, bagaikan bom waktu dengan pelbagai alasan dari setiap kes tersebut.
Jadi, sistem kufur kapitalisme inilah yang menjadi penyebab utama dari seluruh permasalahan tersebut. Hal ini semakin menunjukkan terabainya peranan negara sebagai instrumen penting dalam ri’ayah atau mengurus urusan rakyatnya.
Berbeza dengan sistem Islam, negara memberikan dan mengutamakan pendidikan bagi rakyatnya, lelaki dan perempuan, agar kedua-duanya memahami cara menjalankan hak dan kewajipan masing-masing sebagai pasangan suami isteri. Mereka bergaul dengan pasangan dengan cara yang baik agar mampu melaksanakan tugas dan peranan sebagai ibu bapa dan seterusnya memperlakukan anak-anak mereka sesuai dengan tuntunan syariat Islam sahaja.
Seterusnya, negara Islam akan menasihati dan memberi hukuman bagi suami yang tidak bersungguh-sungguh bekerja mencari nafkah. Negara tidak akan membiarkan kemiskinan dan kerosakan moral terjadi di tengah-tengah umat sehingga membuatkan sendi keluarga hancur dan menghinggapi ketua keluarga sehingga bertindak kasar sebagai kesannya, apalagi bilamana sampai terjadi pembunuhan.
Negara juga wajib menyediakan lapangan pekerjaan yang luas dan lebih diutamakan kepada para lelaki, kerana fungsinya sebagai qawwam dapat dilaksanakan. Negara pun hendaklah membina dan memberikan bantuan modal kepada rakyatnya.
Demikianlah dalam Islam, negara benar-benar menjadi problem solver bagi seluruh permasalahan yang terjadi kepada setiap individu rakyatnya. Baik urusan kehidupan dunia mahupun akiratnya..
Wallahu’alam bissawab.
Sumber: suaramubalighah.com

