Site icon MuslimahHTM News

Abdullah bin Mas’ud, from Zero to Hero

[Kisah Inspiratif] Abdullah bin Mas’ud, from Zero to Hero

Penulis: Chusnatul Jannah

 

Beliau merupakan seorang lelaki yang kurus serta pendek manakala tinggi badannya pula tidak jauh beza seperti orang yang sedang duduk. Kedua betisnya kecil dan tidak berisi. Pada suatu hari, dia memanjat pokok Arok dan kedua betisnya terlihat oleh sahabatnya yang lain,lalu ditertawakan oleh mereka. Namun, Rasulullah SAW bersabda, “Kalian mentertawakan betisnya yang kecil itu, ketahuilah bahawa di sisi Allah SWT, kedua betis ini lebih berat timbangannya daripada Gunung Uhud.”

 

Pemilik betis kecil itu ialah Abdullah bin Mas’ud. Beliau merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat yang dijamin masuk ke dalam syurga dan dikenali sebagai lelaki miskin yang berbadan kecil. Namun ketika dia masuk ke dalam Islam, Allah SWT memuliakannya. Walaupun figura beliau biasa-biasa sahaja, namun ilmunya melebihi para sahabat utama seperti Abu Bakar dan Umar. From zero to hero, inilah kisah Abdullah bin Mas’ud, seorang pengembala miskin yang bertukar menjadi superhero setelah Islam menaungi kehidupannya.

 

Sebelum ini, setiap kali berjalan di hadapan pembesar Quraisy, Ibnu Mas’ud selalu berjalan cepat dengan kepala tertunduk. Namun, setelah memeluk Islam, dengan kepala yang tegap dan berani, beliau mendatangi kumpulan pembesar Quraisy yang ada di Kaabah. Di hadapan mereka, Ibnu Mas’ud membaca ayat Al-Quran tanpa gentar.

 

Keberaniannya diceritakan oleh Zubair bin Awwam, “Pada suatu hari, para sahabat Rasulullah SAW berkumpul. Mereka berkata, ‘Demi Allah SWT, orang Quraisy belum pernah mendengar Al-Quran dibacakan di hadapan mereka. Siapa di antara kita yang sudi memperdengarkannya kepada mereka ?”

 

Dengan mata yang bersinar walaupun mukanya terlihat letih, Abdullah bin Mas’ud berkata, ‘Biar aku saja!’. Para sahabat memandangnya pelik dan berkata, ‘Kami bimbang kamu tidak akan selamat. Kami mahu seorang lelaki yang mempunyai saudara mara sehingga dia dapat mempertahankan dirinya daripada kejahatan, wahai anak muda!’

Abdullah bin Mas’ud terdiam sejenak, lalu meyakinkan sahabatnya dengan berkata, ‘Beri aku peluang, nescaya Allah SWT akan membelaku!’

 

Dia berjalan dengan yakin menyusuri jalan-jalan Mekah lalu datang ke Dewan Mesyuarat bagi para Pembesar Quraisy. Dia berdiri dan membaca al-Quran dengan suara yang merdu. Tidak lama kemudian, pegawai Quraisy menghampiri Ibnu Mas’ud dan memukulnya. Namun, Ibnu Mas’ud tetap meneruskan bacaannya sehingga mukanya lebam akibat dipukul. Melihat Ibnu Mas’ud yang penuh dengan luka, para sahabat sangat sedih, ‘Inilah yang kami risaukan tentang kamu,’ Ibnu Mas’ud berkata, ‘Sekarang ini, musuh Allah SWT yang paling hina di mataku adalah mereka. Jika kamu mahu, esok akan kulakukan perkara yang sama.’”

 

Ahli Ilmu

Kehidupan di dunia yang penuh dengan persaingan tidak memberinya peluang untuk bersaing. Dari segi harta, Ibnu Mas’ud tidak mempunyai apa-apa. Dari segi fizikal, dia berbadan kecil dan kurus. Lebih-lebih lagi, dari segi kedudukan dan pangkat sosial, dia termasuk rakyat biasa dan miskin. Namun, keislamannya menjadikan beliau sahabat berilmu yang jauh dibandingkan sahabat-sahabatnya yang lain. Abdullah bin Mas’ud menjadi ahli ilmu di kalangan sahabatnya, sekaligus menjadi rujukan umat dan para penghafal al-Quran.

 

Beliau mendapat penghormatan dengan menerima 70 surah al-Quran secara langsung daripada Nabi SAW, “Aku menghafal 70 surah al-Quran secara langsung daripada Rasulullah SAW. Tidak ada yang menandingiku dalam hal ini.” Rasulullah SAW pernah menasihati para sahabat agar menjadikan Ibnu Mas’ud sebagai contoh, “Berpegang teguhlah pada apa yang diajarkan oleh Ibnu Ummi’ Abdi (Ibnu Mas’ud).”

 

Baginda juga berpesan agar para sahabat meneladani bacaan al-Quran Abdullah bin Mas’ud, “Sesiapa yang ingin mendengar al-Quran sebagaimana yang diturunkan, hendaklah dia mendengarnya daripada Ibnu Mas’ud. Sesiapa yang ingin membaca al-Quran sebagaimana yang diturunkan, hendaklah dia membacanya sebagaimana Ibnu Mas’ud membacanya.”

 

Ibnu Mas’ud selalu menemani Rasulullah SAW, baik ketika bermukim mahupun bermusafir. Dia terlibat dalam semua peperangan bersama Rasulullah SAW. Keistimewaan Ibnu Mas’ud disaksikan oleh para sahabat Nabi, salah satunya Khalifah Umar bin Khattab yang memujinya, “Pemahamannya tentang ajaran Islam sangat mencapai kesempurnaan.” Abu Musa al-Asy’ari juga berkata, “Janganlah kamu bertanya kepada kami tentang agama (Islam) selagi ahli agama ini ada di kalangan kamu.”

 

Allah SWT telah mengurniakan Abdullah bin Mas’ud sebagai sahabat dengan ketaqwaan dan kebijaksanaan yang begitu mulia. Dia adalah seorang lelaki yang dibimbing oleh Allah SWT, dididik oleh Nabi SAW, dan diberi petunjuk oleh al-Quran. Sangat hebat!

 

Khatimah

Ini adalah kisah nyata from zero to hero. Abdullah bin Mas’ud, guru bagi para sahabat, pakar ilmu, dan ahli al-Quran. Semoga kisahnya menjadi teladan bagi generasi akhir zaman. Kita mulia kerana Islam, berjaya kerana menjadikan al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan, dan terhina apabila meninggalkan al-Quran.

Wahai generasi muda Islam, jadilah Ibnu Mas’ud akhir zaman yang akan menghidupkan kembali peradaban Islam dengan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai jalan kehidupan.

 

*Diambil daripada pelbagai sumber

 

Exit mobile version