Site icon MuslimahHTM News

Mendidik Anak di Tengah-tengah Arus Moderasi Agama

[Pendidikan Anak] Mendidik Anak di Tengah-tengah Arus Moderasi Agama

Penulis: Wiwing Noeraini

 

Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian kepada Islam secara menyeluruh. Janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian.” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

 

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan menyatakan, “Allah SWT memerintahkan hamba-hambaNya yang mukmin dan mempercayai RasulNya untuk mengambil seluruh ikatan dan syariat Islam, mengerjakan seluruh perintahNya, serta meninggalkan seluruh laranganNya, sesuai kemampuan mereka.” [Tafsiir Ibnu Kathir, I/247].

 

Oleh kerana itu, ibu bapa juga hendaklah mendidik anak agar mengamalkan Islam kaffah sebagai bahagian dari menjalankan perintah Allah SWT. Namun, hari ini banyak sekali cabaran dalam mendidik anak untuk mengamalkan Islam kaffah. Salah satunya adalah menguatnya arus pemikiran moderat yang terus mencanangkan bahawa Islam kaffah adalah cara beragama yang salah, berlebihan/melampau (ekstrem), serta berpotensi mewujudkan konflik dan permusuhan.

 

Pemikiran Islam moderat ini telah merobohkan segala sesuatu yang sudah ibu bapa tanam dan bangunkan pada diri anak-anak. Ketika mana ibu bapa menanamkan bahawa hanya Islam agama yang benar, pemikiran moderat pula mengajarkan bahawa semua agama adalah benar.

 

Saat ibu bapa mengajarkan anak berpakaian syarie dan membatasi pergaulan dengan lawan jenis, pemikiran moderat malah mengajarkan yang sebaliknya. Berpakaian syarie dianggap tidak penting. Demikian pula, tidak perlu berlebihan membatasi pergaulan kerana apa yang penting ialah mereka berpakaian sopan dan menjaga adab. Demikianlah menurut mereka. Bahkan, ketika ibu bapa mengajarkan pada anak bahawa Islam adalah wahyu Allah SWT ,pemikiran moderat menghancurkannya dengan mengatakan bahawa Islam hanyalah sebatas  agama bagi bangsa Arab

 

Apa yang lebih teruk, pemikiran moderat ini disalurkan secara besar-besaran melalui program moderasi dalam beragama. Ia masuk ke dalam kurikulum pendidikan, dari awal kanak-kanak hingga ke peringkat pengajian tinggi. Tiada siapa boleh menolaknya, kerana ini adalah program daripada kerajaan.

 

Lalu, bagaimana sepatutnya kita sebagai ibu bapa bersikap? Jelas bahawa ibu bapa hendaklah terus mendidik anak agar mengamalkan Islam kaffah dan berusaha melawan arus moderasi tersebut meskipun sukar. Bagaimana caranya?

 

Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa.

 

Pertama, menanamkan keimanan yang kukuh pada anak. Bangunkan keyakinan bahawa Islam bukan agama dan budaya bagi bangsa Arab sahaja, melainkan agama yang berasal dari wahyu Allah SWT. Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diredhaiNya. Allah SWT berfirman,

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ ١٩

“Sungguh, agama (yang diredhai) Allah hanyalah Islam.” [TMQ Ali Imran (3): 19]

 

Ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak memegang kuat pada keyakinan tersebut. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu mencarikan sekolah dan lingkungan sekeliling yang mampu bersama-sama membangunkan keyakinan tersebut. Ketika belum mendapatkannya, tentu ibu bapa perlu bekerja lebih keras untuk memastikan anak memegang erat keyakinan tersebut. Ketika keyakinan tersebut goyah, ibu bapa mestilah segera menguatkannya.

 

Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang sudah besar, mereka agak sukar untuk diarahkan, kerana mereka tidak lagi menjadikan ibu bapa mereka sebagai satu-satunya tempat rujukan dalam berfikir dan mengeluarkan pendapat. Mereka menerima maklumat dari banyak sumber, termasuklah dari media sosial. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu mengarahkan anak agar mampu memilih dengan bijak pelbagai jenis informasi tersebut menggunakan standard Islam.

 

Boleh dilihat kini betapa banyak informasi hari ini yang menjadikan anak cenderung untuk berfikir bahawa bertukar agama adalah perkara yang biasa. Mereka berpendapat itu bukan sebuah perkara yang ‘taboo’, apalagi keburukan. Alasannya, menurut mereka, kerana semua agama adalah benar. Tanpa disedari, anak-anak ini akhirnya merasakan ‘normal‘ apabila melibatkan orang yang bertukar agama. Mereka tidak mengecam dan mencelanya, walaupun perkara tersebut jelas salah.

 

Oleh sebab itu, ibu bapa perlu banyak berkongsi (sharing) dan berbincang dengan anak-anak sehingga mereka mengetahui kefahaman anak-anak tentang Islam. Apabila berlaku masalah, ibu bapa mesti segera membetulkannya.

 

Kedua, membangunkan pemahaman bahawa taat kepada Allah SWT adalah perkara yang wajib. Taat mestilah dalam rangka ketaatan kaffah, iaitu terhadap seluruh hukum syariat, bukan hanya pada sebahagiannya. [Lihat TMQ al-Baqarah (2): 85 dan 208]. Ketaatan inilah yang akan menentukan akhir kehidupan kita di akhirat kelak, samada berakhir bahagia dan berada di syurgaNya atau menderita berada di nerakaNya.

 

Di sinilah pentingnya membangun mindset anak. Kepada siapa seharusnya dia taat? Mana yang akan dipilih ketika dia dihadapkan pada dua pilihan, taat pada manusia, tetapi maksiat kepada Allah sehingga mendatangkan murkaNya? Atau taat kepada Allah, tetapi menentang pendapat manusia sehingga menimbulkan murka manusia? Tentu kita akan memilih yang kedua.

 

Konsep ketaatan ini akan menjadi bekal yang sangat penting bagi anak saat mereka berinteraksi dengan orang lain, baik di sekolah, mahupun di tempat lain. Saat ini, pemahaman Islam kaffah sering dibenturkan dengan konsep ketaatan. Ada pendapat yang menjadikan umat lebih cenderung untuk taat pada undang-undang negara daripada hukum-hukum agama (syariat). Bahkan ada anggapan, taat pada syariat Allah SWT secara kaffah hanya boleh dilakukan ketika undang-undang negara membenarkan.

 

Sudah tentu ini adalah cara berfikir yang salah. Anak-anak mesti dijauhkan daripada cara berfikir ini. Mereka mesti diarahkan kepada cara berfikir yang betul iaitu hukum-hukum Islam (syariat) mesti diutamakan daripada mana-mana hukum termasuk undang-undang negara. Mengapa demikian? Sudah tentu kerana Allah SWT yang memerintahkannya begitu. Allah SWT mahu kita tunduk kepada hukum-hukumNya sahaja. Hukum Allah adalah sumber dari segala sumber hukum. Allah SWT berfirman,

إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِۖ يَقُصُّ ٱلۡحَقَّۖ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلۡفَٰصِلِينَ  ٥٧

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang sebenarnya dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik.” [TMQ al-An’am (6): 57].

 

Ketiga, memahamkan anak bahawa mengamalkan Islam kaffah adalah cara beragama yang benar. Sudah tentu kerana inilah yang diperintahkan oleh Allah SWT. Mengamalkan Islam kaffah tidak akan memunculkan konflik dan permusuhan, malah akan membawa kebaikan, rahmat, dan keberkahan dari Allah SWT.

 

Sebaliknya, Islam moderat adalah cara beragama yang salah dan bertentangan dengan Islam yang sahih. Islam moderat hakikatnya adalah Islam ala Barat. Ia direka untuk menjauhkan umat Islam dari ajaran Islam, juga agar umat Islam bersedia berkompromi dengan pemikiran kufur, seperti demokrasi, hak asasi manusia (HAM), kesetaraan gender, dan lain-lain.

 

Tentu penanaman ini akan menghadapi halangan. Salah satunya menimpa anak yang sedang berusaha mengamalkan Islam kaffah. Di sekolah, boleh jadi mereka akan dianggap sebagai murid yang radikal, tidak bertoleransi, atau berlagak hanya gara-gara menyampaikan dakwah Islam kaffah kepada kawannya. Identiti muslim—seperti, tudung labuh, jilbab yang juga panjang dan longgar—akan sangat berkemungkinan menjadi bahan ejekan, dianggap eksklusif, dan dinilai sebagai tidak sesuai dengan budaya Malaysia. Tidak jarang, anak akan merasakan letih, serta tidak sanggup menanggung beban ejekan dan cemuhan kerana mereka mengamalkan Islam kaffah. Di sinilah peranan ibu bapa diperlukan untuk menguatkan mereka.

 

Oleh kerana itu, ibu bapa hendaklah benar-benar mengukuhkan keimanan anak, membekalkan mereka dengan tsaqafah Islam yang cukup, sekaligus mendorong mereka berdakwah menyampaikan kebenaran Islam, sekalipun itu pahit.

 

Semoga itu semua menjadi bekal yang cukup. Ini supaya ketika kita tidak bersama anak, namun anak tetap mampu untuk istiqamah mengamalkan Islam kaffah dan membentengi diri, bahkan melawan arus moderasi beragama yang menerpa dengan kencang.

 

Khatimah

Demikianlah, beberapa usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mendidik anak mengamalkan Islam kaffah di tengah-tengah arus moderasi yang semakin meningkat. Sudah tentu sebaiknya ibu bapa, serta semua ahli keluarga yang lain, bersetuju terlebih dahulu dalam proses pendidikan ini. Jangan biarkan apa yang diajar oleh ibu bapa berbeza, malah bertentangan dengan apa yang diajar oleh ahli keluarga yang lain.

Tidak kurang pentingnya, ibu bapa hendaklah sentiasa mendoakan anak-anak mereka. Menadah tangan, mengangkat kepala, berdoa, bermunajat terutamanya pada sepertiga malam terakhir, memohon kepada Allah SWT.

 

Semoga Allah SWT senantiasa melindungi dan menjaga mereka. Semoga Allah SWT juga menjadikan mereka berpegang teguh pada ajaran Islam sehingga mereka menjadi sebahagian dari perjuangan penegakan Islam kaffah. Amin. Wallahu’alam bissawab.

 

Sumber: alwaie[dot]net

 

Exit mobile version