[Tafsir Al-Quran] Larangan Meminta Perlindungan Jin, Tafsir QS Al-Jin [72]: 6—7 (Bahagian 2/2)
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Sambungan dari Bahagian 1
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٞ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٖ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقٗا ٦ وَأَنَّهُمۡ ظَنُّواْ كَمَا ظَنَنتُمۡ أَن لَّن يَبۡعَثَ ٱللَّهُ أَحَدٗا ٧
“Sungguh ada beberapa orang lelaki dari (kalangan) manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari (kalangan) jin sehingga para jin itu menjadikan manusia bertambah sesat. Sungguh para jin itu menyangka sebagaimana kalian (kaum musyrik Mekah) menyangka bahawa Allah tidak akan membangkitkan kembali siapa pun (pada hari kiamat).” (TMQ Al-Jin [72]: 6—7).
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman,
وَأَنَّهُمۡ ظَنُّواْ كَمَا ظَنَنتُمۡ أَن لَّن يَبۡعَثَ ٱللَّهُ أَحَدٗا ٧
“Sungguh mereka (jin) menyangka sebagaimana kalian (kaum musyrik Mekah) menyangka bahawa Allah tidak akan membangkitkan kembali siapa pun (pada hari kiamat).”
Ayat ini masih melanjutkan ayat sebelumnya. Ini ditandai dengan huruf al-wâwu yang merupakan ‘athf yang menghubungkan ayat ini dengan ayat sebelumnya.
Terdapat perbezaan pendapat tentang perkataan ini. Ada yang berpendapat ini adalah perkataan jin yang Allah khabarkan. Jika ini perkataan jin, itu bererti perkataan antara sesama jin. Diperkirakan maknanya, “Sungguh manusia menyangka, sebagaimana kalian menyangka, wahai para jin.” Ada juga yang berpendapat ini merupakan wahyu sehingga diperkirakan maknanya, “Sungguh para jin menyangka sebagaimana kalian menyangka, wahai orang-orang kafir Quraisy.”[1]
Fakhruddin ar-Razi lebih memilih bahawa itu merupakan perkataan jin. Alasannya, kalimat sebelum dan sesudahnya merupakan perkataan jin. Disisipkan perkataan pihak lainnya di antara perkataan mereka itu tampak kurang sesuai.[2]
Ibnu Jarir ath-Thabari juga menyebut bahawa ini perkataan sekelompok jin yang Allah khabarkan. Hanya saja, maknanya tidak seperti yang dikemukakan Fakhruddin ar-Razi. Menurut Ath-Thabari, makna ayat ini adalah, “Sesungguhnya lelaki dari kelompok jin menyangka sebagaimana persangkaan lelaki dari manusia bahawa Allah tidak akan mengutus seorang rasul pun kepada makhluk-Nya untuk mengajak mereka kepada menauhidkan-Nya.” Menurut Ath-Thabari, ini juga merupakan pendapat Al-Kalbi.[3]
Adapun di antara yang berpendapat bahawa ini adalah firman Allah SWT yang disampaikan kepada manusia adalah Al-Qurthubi. Menurut Al-Qurthubi, makna ayat ini “Sesungguhnya para jin menyangka bahawa Allah SWT tidak akan membangkitkan makhluk sebagaimana persangkaan kalian.”[4]
Mengenai makna « الْبَعْثُ » dalam ayat ini juga mengandungi dua kemungkinan. Kata tersebut boleh bererti « بَعْثَ اْلأَمْوَاتِ لِلْحَشْرِ » (pengutusan rasul).[5] Makna ini seperti dalam firman Allah SWT,
هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ ٢
“Dialah Yang mengutus seorang rasul (Nabi Muhammad) kepada kaum yang buta huruf dari (kalangan) mereka sendiri.” (TMQ Al-Jumu’ah [62]: 2)
Boleh juga ertinya « بَعْثَ اْلأَمْوَاتِ لِلْحَشْرِ » (kebangkitan orang-orang yang sudah mati untuk dikumpulkan).[6] Makna ini seperti dalam firman Allah SWT,
وَأَنَّ ٱللَّهَ يَبۡعَثُ مَن فِي ٱلۡقُبُورِ ٧
“Sungguh Allah akan membangkitkan siapa pun yang di dalam kubur.” (TMQ Al-Hajj [22]: 7)
Dalam ayat ini digunakan harf nafiyy al-ta‘bîd, yakni « لَنْ » (tidak akan). Ini menunjukkan bahawa mereka tidak ragu terhadap kemustahilan al-ba’ts (pengutusan rasul atau kebangkitan orang mati).[7]
Dalam ayat ini terdapat perbezaan pendapat tentang makna kata tersebut. Ada yang menafsirkan mengutus sebagaimana penjelasan Ibnu Jarir di atas. Oleh kerana itu, menurut Ibnu Jarir, ayat ini bermakna, “Mereka menyangka Allah SWT tidak mengutus seorang pun menjadi rasul.”[8]
Ada juga yang memaknai kata tersebut sebagai membangkitkan atau menghidupkan setelah mati. Dengan demikian maknanya, mereka mengira Allah SWT tidak membangkitkan atau menghidupkan seorang pun setelah kematiannya. Ats-Tsa’labi berkata, “Wahai orang-orang kafir bahawa Allah SWT tidak akan membangkitkan seorang pun setelah kematiannya.”[9]
Muhammad Ali ash-Shabuni berkata, “Sesungguhnya orang-orang kafir menyangka sebagaimana kalian menyangka, wahai para jin, bahawa Allah SWT tidak akan menghidupkan seorang pun setelah kematian. Sungguh mereka mengingkari kebangkitan, sebagaimana kalian mengingkari hal itu.”[10]
Pendapat senada juga dikemukakan al-Baghawi dan lain-lain.[11]
Beberapa Pelajaran Penting
Dalam ayat-ayat ini terdapat banyak pelajaran penting. Di antaranya: Pertama, adanya jin yang kafir. Hal ini dengan jelas diberitakan dalam ayat ini bahawa mereka menduga atau menyangka Allah SWT tidak mengutus seorang pun rasul dan membangkitkan manusia yang sudah mati. Tentang hal ini, As-Sam’ani berkata, “Dalam ayat ini terdapat dalil bahawa di kalangan bangsa jin juga terdapat kaum yang tidak beriman terhadap kebangkitan sebagaimana di kalangan manusia.”[12]
Menurut Fakhruddin ar-Razi, ayat ini menunjukkan bahawa jin, sebagaimana manusia, ada yang musyrik, Yahudi, dan Nasrani. Ada juga yang mengingkari hari kebangkitan.[13]
Dalam ayat sebelumnya juga diberitakan, sekelompok jin yang beriman setelah mendengarkan Al-Quran itu menyatakan tidak akan lagi menyekutukan Allah SWT. Itu ertinya, sebelum beriman terhadap Al-Quran, mereka telah menyekutukan-Nya. Al-Quran yang menuntun dan menunjuki mereka pada jalan yang lurus sehingga mereka melepaskan diri dari kekufuran.
Dalam ayat berikutnya juga disebutkan bahawa kalangan jin juga terbahagi-bahagi dalam keyakinan (Lihat: QS Al-Jin [72]: 11; QS Al-Jin [72]: 14). Semua ayat itu menunjukkan adanya jin yang kafir, sebagaimana juga ada di antara mereka yang mukmin.
Kedua, larangan meminta perlindungan kepada jin. Sebagaimana diterangkan oleh Ibnu Katsir, pengertian « الْعِيَاذ » adalah memohon perlindungan/sandaran dan penjagaan dari kejahatan.[14] Larangan tersebut disampaikan ayat ini dalam bentuk kalimat berita, yakni celaan keras bagi orang-orang yang: « فَزَادُوْهُمْ رَهَقًا » melakukan itu: (mereka menjadikan mereka bertambah sesat).
Dalam kitab Al-Mawsû’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah disebutkan, “Haram al-isti’âdzah (meminta perlindungan) kepada jin dan syaitan. Hal ini kerana Allah SWT telah mengabarkan bahawa orang yang meminta perlindungan kepada mereka, mereka akan menambah kesesatan.” Kemudian disebutkan ayat ini sebagai dalilnya.[15]
Di bahagian lainnya dalam kitab yang sama juga disebutkan, “Adapun al-isti’ânah (minta pertolongan) kepada selain Allah SWT dapat dilakukan kepada manusia atau kepada jin. Jika al-isti’ânah itu dilakukan kepada jin, maka terlarang, kadang menjadi syirik dan kufur. Dalilnya adalah QS Al-Jin [62]: 6).”[16]
Menurut Ali bin Muhamad al-Mala al-Harari al-Qari, di dalamnya mengisyaratkan hakikat pengesaan dan tauhid. Kerana sesungguhnya selain Allah SWT tidak memiliki kekuasaan terhadap dirinya dalam hal manfaat dan bahaya, kematian dan kehidupan, serta kebangkitan.[17]
Bahkan ketika menjelaskan ayat ini, Al-Qurthubi berkata, “Bukan rahsia lagi bahawa meminta perlindungan kepada jin tanpa meminta perlindungan kepad Allah SWT adalah kufur dan syirik.”
Sebagaimana telah dijelaskan sebelumnya, meminta perlindungan kepada jin itu dilakukan oleh orang-orang kafir pada masa jahiliyah. Ketika mereka singgah di suatu lembah atau tempat, mereka meminta perlindungan kepada jin agar tidak mendapat gangguan. Islam lalu datang melarang dan melenyapkan praktik tersebut serta memerintahkan manusia untuk meminta perlindungan kepada Allah SWT, termasuk dari kejahatan dan bisikan syaitan. Allah SWT berfirman,
وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٠٠
“Jika syaitan benar-benar menggoda kamu dengan halus, berlindunglah kamu kepada Allah. Sungguh Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (TMQ Al-A’raf [7]: 200).
Selain ayat tersebut, perintah yang sama juga disebutkan dalam beberapa ayat lain dan hadis Nabi SAW. Rasulullah SAW juga banyak melakukan hal ini. Khaulah binti Hakim as-Sulaimiyah ra. berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ نَزَلَ مَنْزِلا ثُم قَالَ أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقْ. لَمْ يَضُرُّهُ شَىْءٌ حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ
‘Siapa saja yang singgah di suatu tempat, kemudian membaca doa, ‘Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk,’ maka tidak akan membahayakan dirinya sesuatu apa pun hingga dia meninggalkan tempat tersebut.’” (HR Muslim).
Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW berlindung kepada Allah SWT dari syaitan dalam berbagai keadaan. Selain saat singgah di suatu tempat, Rasulullah SAW juga meminta perlindungan dalam berbagai keadaan. Seperti ketika memasuki tandas, sebagaimana yang diriwayatkan Anas ra.. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW jika memasuki tandas, beliau berdoa,
اللَّهُمَّ إِنِىّ أَعُوذ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
“Ya Allah, sungguh aku memohon perlindungan kepada-Mu dari syaitan lelaki dan syaitan perempuan.”(HR Bukhari dan Muslim)
Yang dimaksud dengan « الخبيثة » (yang buruk) di sini adalah syaitan.[18] Sulaiman bin Surad berkata, “Pernah ada dua orang lelaki yang saling mencaci di hadapan Nabi SAW, sedangkan kami sedang duduk di samping beliau. Salah satunya mencaci kawannya dalam keadaan marah, wajahnya merah. Lalu Nabi SAW bersabda,
إِنِّيْ لَأَعْلَمُ كَلِمَةً، لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ، لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، فَقَالُوا لِلرَّجُلِ: أَلَا تَسْمَعُ مَا يَقُولُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: إِنِّيْ لَسْتُ بِمَجْنُوْنِ
‘Sungguh aku benar-benar mengetahui suatu kalimat, seandainya dia mengucapkan kalimat tersebut, nescaya akan lenyaplah dari dirinya emosi yang membakar dirinya, iaitu, ‘Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk.’ Ketika disampaikan kepada lelaki itu apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW, dia menjawab, ‘Saya bukan orang gila.’” (HR Al-Bukhari).
Demikianlah. Ayat-ayat ini telah menerangkan di antara perbuatan keliru yang dilakukan manusia pada masa jahiliyah, yakni meminta perlindungan kepada jin. Pangkal penyebabnya adalah menganggap bahawa jin memiliki kekuasaan untuk mendatangkan manfaat dan mudarat kepada manusia. Pada saat yang sama, mereka tidak memohon perlindungan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Tindakan mereka ini tidak hanya sesat, tetapi membuat mereka makin tersesat. Wallahualam bissawab.
Catatan Kaki:
[1] Al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 668
[2] Al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 668
[3] Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 23, 657
[4] al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 19, 11
[5] Ibnu ‘Asyur, Al-Tahrîr wa al-Tanwîr, vol. 29, 226
[6] Ibnu ‘Asyur, Al-Tahrîr wa al-Tanwîr, vol. 29, 226
[7] Ibnu ‘Asyur, Al-Tahrîr wa al-Tanwîr, vol. 29, 226
[8] Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 23, 657
[9] Al-Tsa’labi, Al-Kasyf wa al-Bayân ‘an Tafsîr Al-Qur`ân, vol. 10, 51
[10] Al-Shabuni, Shafwat al-Tafâsîr, 3 (Kairo: Dar al-Shabuni, 1997), 435
[11] Al-Baghawi, Ma’âlim al-Tanzîl fî Tafsîr al-Qur‘ân, vol. 5, 160
[12] Al-Sam’ani, Tafsîr Al-Qur‘ân, vol. 6 (Riyadh: Dar al-Wathan, 1997), 66
[13] Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 668
[14] Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 3, 533
[15] Al-Mawsû’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, vol. 4 (Kuawait: Dar al-Salasil, 1427 H), 15
[16] Al-Mawsû’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, vol. 4, 118
[17] Ali bin Muhamad al-Mala al-Harari al-Qari, Murâqat al-Mafâtîh Syarh Misykât al-Mashâbîh, vol. 4 (Beirut: Dar al-Fikr, 2002), 1682
[18] Syamsuddin al-Kirmani, Al-Kawâkibu al-Darâriy fî Syarh Shahîh al-Bukhâri, vol. 2 (Beirut: Dar al-Turats al-‘Arabiy, 1981), 184
#tafsirquran

