Site icon MuslimahHTM News

Larangan Meminta Perlindungan Jin, Tafsir Surah Al-Jin [72]: 6-7 (Bahagian 1/2)

[Tafsir Al-Quran] Larangan Meminta Perlindungan Jin, Tafsir Surah Al-Jin [72]: 6-7 (Bahagian 1/2)

Penulis: K.H. Rochmat S. Labib, M.E.I.

 

وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٞ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٖ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقٗا ٦ وَأَنَّهُمۡ ظَنُّواْ كَمَا ظَنَنتُمۡ أَن لَّن يَبۡعَثَ ٱللَّهُ أَحَدٗا ٧

“Sesungguhnya ada beberapa orang lelaki dari (kalangan) manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari (kalangan) jin sehingga jin-jin itu menjadikan manusia bertambah sesat. Sesungguhnya jin-jin itu menyangka sebagaimana kamu (kaum musyrikin Mekah) menyangka bahawa Allah tidak akan membangkitkan semula sesiapa pun (pada hari kiamat).” [TMQ Al-Jin (72): 6-7].

 

Dalam ayat-ayat ini, sebelumnya telah diberitakan kisah sebilangan jin yang mendengarkan al-Quran. Allah SWT mewahyukan kepada Rasulullah SAW bahawa terdapat sebilangan jin yang mendengar bacaan al-Qurannya. Selepas mendengar al-Quran, mereka menyatakan kekaguman mereka. Mereka mengatakan bahawa al-Quran adalah bacaan yang menakjubkan. Seperti yang dijelaskan oleh para ulama, perkataan al-‘ajîb merujuk kepada sesuatu yang sangat bagus, di luar kebiasaan semua Kitab Ilahi yang serupa, terutama jika dibandingkan dengan perkataan manusia.

 

Mereka juga mengatakan bahawa al-Quran menunjukkan jalan kebenaran. Mereka juga beriman kepada al-Quran dan tidak lagi menyekutukan Allah SWT dengan apa sahaja. Mereka juga mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi tidak mempunyai isteri dan tidak mempunyai anak. Mereka berkata bahawa perkataan yang melampaui batas terhadap Allah itu diucapkan oleh orang-orang bodoh. Sesuatu yang tidak pernah mereka sangka ialah ada manusia dan jin yang berani bercakap perkataan dusta terhadap Allah SWT.

 

Kemudian ayat-ayat ini diteruskan dengan menyatakan bahawa ada orang yang meminta perlindungan kepada jin. Tindakan ini juga membuatkan mereka semakin terjerumus ke dalam dosa.

 

Tafsiran Ayat

 

Allah SWT berfirman,

وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٞ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٖ مِّنَ ٱلۡجِنِّ ٦

“Sesungguhnya ada beberapa orang lelaki dari (kalangan) manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari (kalangan) jin.”

 

Huruf al-wâwu pada permulaan ayat ini ialah al-‘athf, iaitu kata hubung yang menghubungkan ayat ini dengan ayat sebelumnya.[1]

 

Perkataan أَنَّ adalah harf tawkîd, yang berguna untuk menguatkan berita yang disampaikan sesudahnya, bahawa sesungguhnya ada sebilangan lelaki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki dari kalangan jin.

 

Perkataan « رِجَالٌ » ialah bentuk jamak daripada perkataan « رَجُل », yang bermaksud manusia yang berjenis kelamin lelaki yang telah mencapai usia baligh. Lawannya adalah « اِمْرَأة » (perempuan).[2] Ini seperti yang ditunjukkan dalam firman Allah SWT,

 

وَإِن كَانَ رَجُلٞ يُورَثُ كَلَٰلَةً أَوِ ٱمۡرَأَةٞ ١٢

“Jika seseorang, baik lelaki atau perempuan, meninggal dunia tanpa meninggalkan bapa dan anak.” [TMQ An-Nisa’ (4): 12].

 

Juga dalam firmanNya,

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ ٣٤

“Lelaki (suami) bertanggungjawab terhadap wanita (isteri).” [TMQ An-Nisa’ (4): 34].

 

Kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa perkataan rajul (lelaki) adalah lawan dari imra’ah (wanita). Bentuk jamaknya adalah ar-rijâl, lawan dari an-nisâ‘.

 

Frasa « مِنَ الْإِنْسِ » (daripada manusia) merupakan sifat bagi perkataan « رِجَالٌ » (lelaki-lelaki). Begitu juga, frasa « مِنَ الْجِنِّ », adalah sifat bagi perkataan « رِجَالٌ » yang kedua.[3]

 

Penggunaan perkataan rijâl bagi jin merupakan bentuk at-tasybîh wa al-musyâkalah (keserupaan dan persamaan) dengan rijâl dari kalangan manusia. [4] Sebutan perkataan rijâl juga menunjukkan bahawa di kalangan jin ada nisâ‘ (wanita). Ini kerana mereka mempunyai rijâl (lelaki). Oleh itu, mereka juga beranak-pinak, tetapi mereka tidak kelihatan seperti iblis dan anak-cucunya.[5]

 

Menurut ayat ini, ada lelaki yang « يَعُوْذُوْنَ » (berlindung) kepada lelaki dari kalangan jin. Menurut Ar-Raghib Al-Asfahani, makna « الْعَوْذ » ialah « الالتجاء إلى الغير والتّعلّق به » (berlindung kepada orang lain dan bergantung kepada mereka).[6]

 

Menurut Ibnu ‘Asyur, « الْعَوْذ » juga bermaksud « الِالْتِجَاءُ إِلَى مَا يُنْجِي مِنْ شَيْءٍ ي َضُرُّ » (berlindung kepada sesuatu yang boleh menyelamatkan daripada perkara yang berbahaya). Allah SWT berfirman,

 

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ ٩٧

“Katakanlah, ‘Ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari bisikan-bisikan syaitan.’” [TMQ Al-Mukminun (23): 97].

 

Apabila perkataan « الْعَوْذ » telah dibawa kepada maksud yang hakiki, maka ayat ini bermaksud, “Sesungguhnya di antara manusia ada lelaki yang meminta perlindungan daripada jin untuk mencegah pelbagai perkara yang boleh mendatangkan mudarat kepada mereka.”[7]

 

Mengenai siapa yang berkata dalam ayat ini dan ayat berikutnya, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama. Ada yang berpendapat inilah yang dikatakan oleh sebahagian jin kepada jin yang lain. Ada juga yang berpendapat bahawa ini termasuk kata-kata wahyu.[8]

 

Fakhruddin ar-Razi menguatkan pendapat pertama. Ini kerana ayat sebelum dan sesudahnya menceritakan perkataan jin. Oleh itu, mengatakan perkataan selain daripada perkataan jin di antara percakapan tersebut kelihatan tidak serasi.[9]

 

Ibnu Jarir at-Thabari juga lebih mengutamakan pendapat ini. Mufasir tersebut berkata, “Allah SWT memberitakan perkataan sekumpulan jin, bahawa terdapat beberapa orang lelaki meminta perlindungan kepada beberapa orang lelaki daripada jin dalam perjalanan mereka jika mereka telah singgah di rumah mereka.”[10]

 

Dalam ayat ini disebutkan perkataan « كَانَ » yang bermaksud dahulu. Maksudnya pada zaman jahiliyah. [11] Seperti yang dijelaskan oleh ahli tafsir, ayat ini berkaitan dengan tabiat masyarakat Arab jahiliah. Ibrahim berkata, “Dahulu, pada masa jahiliyah, ketika mereka berhenti di sebuah lembah, mereka berkata, ‘Kami berlindung kepada penjaga lembah ini dari keburukannya.'”[12]

 

Kenyataan yang sama juga dikemukakan oleh Ibnu Abbas RA, Ibrahim, Mujahid, Qatadah, dan lain-lain.[13]

 

Ibnu Kathir berkata, “Kami dahulu menganggap kami lebih utama daripada manusia kerana mereka sering meminta perlindungan kepada kami.” Maksudnya, “Apabila mereka berada di lembah atau tempat yang mengerikan seperti hutan atau tempat menyeramkan yang lain, begitu juga adat orang arab pada zaman jahiliyah mereka meminta perlindungan daripada ketua jin di tempat mereka berehat agar tidak diganggu oleh mereka. Keadaan ini sama seperti salah seorang daripada mereka jika mereka memasuki kota musuh mereka di bawah jaminan perlindungan orang yang berpengaruh besar di kota itu.”[14]

 

Menurut Muqatil, orang yang mula-mula meminta perlindungan daripada jin ialah kumpulan dari Yaman, kemudian Bani Hunaifah, kemudian tersebar ke seluruh kalangan Arab. Apabila Islam dating, mereka meminta perlindungan kepada Allah SWT dan meninggalkan mereka (bangsa jin).

 

Allah SWT berfirman,

فَزَادُوهُمۡ رَهَقٗا ٦

“Kemudian jin-jin itu menjadikan manusia lebih sesat lagi.”

 

Huruf al-fâ‘ ialah harf al-‘athf, kata hubung sehingga menghubungkan kalimah selepasnya dengan kalimah sebelumnya, iaitu: « كَانَ رِجَالٌ » (ada sebilangan lelaki).[15]

 

Dari segi bahasa, perkataan « الرَّهَقُ » bermaksud « غِشْيَانُ الشَّيءِ » (tertutupnya sesuatu). Dikatakan: « رهِقَه ما يكرَه » (dia diliputi oleh sesuatu yang tidak disukai). Maksudnya: « غشيه ذلك » (ia menutupinya). Hal ini sebagaimana firman Allah SWT,

 

وَلَا يَرۡهَقُ وُجُوهَهُمۡ قَتَرٞ وَلَا ذِلَّةٌۚ ٢٦

“Wajah-wajah mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula diliputi) kehinaan.”[TMQ Yunus (10): 26].[16]

 

Perkataan ini juga boleh bermaksud « الْكَذِبُ » (kepalsuan, pembohongan). [17] Maksud lain: « جَهْلٌ في الإِنْسَانِ وخِفَّةُ في عَقْ لِهِ » (kebodohan pada manusia dan kelemahan akalnya).[18] Juga bermaksud « الظُّلْمُ » (kezaliman). Hal ini sebagaimana firman Allah SWT,

 

فَمَن يُؤۡمِنۢ بِرَبِّهِۦ فَلَا يَخَافُ بَخۡسٗا وَلَا رَهَقٗا ١٣

“Barangsiapa yang beriman kepada Tuhannya tidak (perlu) takut akan berkurangnya (pahala amalnya) dan tidak juga (takut) kesulitan (akibat bertambahnya dosa).” [TMQ Al-Jin (72): 13].[19]

 

Jika diperhatikan, kesemua makna tersebut masih berkaitan dengan makna asal perkataan ar-rahaqa, iaitu ghasyiya (menutup). Kebohongan menutupi fakta, kebodohan menutupi akal, kezaliman juga bermakna kegelapan.

 

Dalam konteks ayat ini, terdapat beberapa tafsiran terhadap perkataan u. Menurut Ibnu Abbas, Mujahid, dan Qatadah bermaksud « خطيئة وإثما » (kesalahan dan dosa).[20]Said bin Jubair mentafsirkan perkataan tersebut sebagai « كُفْرًا » (kufur). Ini kerana bukan lagi rahsia bahawa meminta perlindungan daripada jin tanpa meminta perlindungan daripada Allah SWT adalah kufur dan syirik.[]21 Mujahid berkata, “Menambah kekufuran dan kezaliman.”[22]

 

Ibrahim mentafsirkan perkataan itu sebagai « جَرَاءَة » (kelancangan).[23]

 

Menurut Ibnu Zaid, ia bermaksud « خَوْفًا » (takut).[24]

 

Terdapat perbezaan pendapat mengenai dhamîr al-fâ’il (kata ganti pelaku) dan dhamîr al-maf’ûl (kata ganti objek) dalam firman Allah SWT: « فَزَادُوهُمْ » (maka mereka menambah mereka).

 

Ada yang mengatakan, dhamîr al-fâ’il kembali kepada « رِجَالٍ مِّنَ الجِنِّ » (lelaki dari kalangan jin), manakala dhamîr al-maf’ûl kembali kepada « رِجَالٌ مِّنَ ال ْاِنْسِ (lelaki-lelaki dari manusia). Ayat ini bermaksud jin-jin itu menambah dosa dan kesalahan kepada manusia. Antara yang berpegang kepada pendapat ini ialah Ibnu Abbas, Mujahid, dan Qatadah. Mereka berkata tentang ayat ini, “Jin telah menambahkan rahaq[an], iaitu kesalahan dan dosa, kepada manusia.“[25]

 

Ini juga merupakan pendapat Al-Nakha’i dan Ubaid bin Umair.[26]

 

Pendapat serupa juga diutarakan oleh ahli-ahli tafsir yang lain. Ibnu Kathir juga berkata, “Apabila jin melihat manusia selalu meminta perlindungan daripada mereka kerana takut kepada mereka, maka jin itu menjadikan manusia semakin takut, semakin gentar, dan semakin pengecut sehingga manusia tetap takut kepada mereka dan meminta lebih banyak perlindungan daripada mereka.”[27]

 

Muhammad Al-Ami Al-Harari berkata, “Jin-jin itu menambah kebengkokan kepada orang yang berlindung kepada mereka, dengan menyesatkan mereka sehingga mereka meminta perlindungan daripada jin. Apabila manusia meminta perlindungan kepada jin, mereka menyangka itu dari jin sehingga jin menambah rasa takut mereka kepada syaitan, menerima bisikan-bisikannya.”[28]

 

Pendek kata, apabila manusia meminta perlindungan daripada jin kerana takut kepada mereka dan tidak berlindung kepada Allah SWT, maka jin itu menghinakan mereka dan menjadikan mereka lebih zalim.[29]

 

Pendapat lain malah sebaliknya. Dhamîr al-fâ’il kembali kepada rijâl min al-ins (lelaki dari kalangan manusia), manakala dhamîr al-maf’ûl adalah jin. Maka maksudnya: manusia meningkatkan perbuatan sewenang-wenang bangsa jin kerana manusia meminta perlindungan kepada mereka. Ini adalah pendapat lain daripada Mujahid.[30]

 

Ini juga pendapat Abu al-Aliyah, Qatadah, Al-Rabi’ bin Anas dan Ibn Zaid. Mereka mengatakan bahawa manusia yang meminta perlindungan kepada jin menambah kepada jin yang diminta perlindungan berupa rahaq[an] (dosa dan kesalahan), kerana jin yang diminta perlindungan berkata, “Kami menguasai jin dan manusia.” [31]

 

Ibnu Jarir at-Thabari juga memilih pendapat ini. Menurut At-Thabari, pendapat yang lebih tepat ialah manusia menambah dosa kepada jin dengan perbuatannya. Ini berlaku kerana mereka menghalalkan apa yang Allah haramkan.[32] Pendapat yang serupa juga dikemukakan oleh Al-Baghawi, Abu Hayyan Al-Andalusi, Al-Khazin, dan lain-lain.[33]

 

Abdurrahman menyebut dua kemungkinan tafsiran tersebut. Kemungkinan pertama, manusia semakin menjadikan jin ar-rahaq, iaitu melampaui batas dan sombong apabila jin melihat manusia menyembahnya dan meminta perlindungan. Kemungkinan kedua ialah jin menambah ketakutan manusia apabila melihat manusia meminta perlindungan daripada mereka bagi menggalakkan mereka terus berlindung kepada jin dan berpegang kepada kaedah tersebut. Itulah sebabnya, pada masa lalu, apabila seseorang melintasi lembah yang menakutkan, dia berkata: “Aku berlindung kepada penguasa lembah ini daripada anasir bodoh dari kaumnya.“[34]

 

Wallahua’lam bissawab.

 

Bersambung di bahagian 2/2

 

Nota kaki:

1 Muhyiddin Darwisy, I’râb Al-Qur‘ân wa Bayânuhu, vol. 10 (Damsyiq: Dar Al-Yamamah, 1995), 237

2 Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’ashirah, vol. 2 (tt: ‘Alam Al-Kitab, 2008), 865

3 Al-Da’as, I’râb Al-Qur‘ân, vol. 3 (Damsyiq: Dar Al-Munir, 2004), 388; Muhyiddin Darwisy, I’râb Al-Qur‘ân wa Bayânuhu, vol. 10 (Damsyiq: Dar Al-Yamamah, 1995), 237

4 Lihat Ibnu ‘Asyur, Al-Tahrîr wa al-Tanwîr, vol. 29 (Tunisia: Al-Dar Al-Tunisyiyyah, 1984), 225

5 Lihat Ibnu ‘Asyur, Al-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 225

6 Al-Raghib Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur‘ân (Beirut: Dar Al-Qalam, 1992), 594

7 Asyur, Al-Tahrîr wa al-Tanwîr, vol. 29, 225. Lihat juga Al-Harari, Hadâiq al-Rûh wa al-Rayhân, vol. 31 (Beirut: Dar Thauq an-Najah, 2001), 296

8 Al-Razi, Mafâtîh Al-Ghayb, vol. 30 (Beirut: Dar Ihya‘ al-Turath al-‘Arabiy, 1420 H), 668

9 Al-Razi, Mafâtîh Al-Ghayb, vol. 30, 668

10 Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 654

11 Al-Harari, Hadâiq ql-Rûh wa al-Rayhân, vol. 31, 296

12 Al-Thabari, Jâmi’ ql-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 654–655

13 Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 654–655

14 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8 (Beirut: Dar Thayyibah, 1999), 239

15 Abu Bilal, Al-Mujtabâ min Musykil I’râb Al-Qur‘ân, vol. 4 (Madinah Munawwarah: Majma‘ Malik Fahd, 1426 H), 1375; Mahmud Shafi, Al-Jadwal fi I’râb Al-Qur‘ân, vol. 29 (Beirut: Dar Al-Rasyid, 1998), 112

16 Al-Azhari, Tahzîb al-Lughah, vol. 5 (Beirut: Dar Ihya‘ al-Turatal-‘Arabiy, 2001), 259. Lihat juga Ibnu Manzhur, Lisân al-‘Arab, vol. 10 (Beirut: Dar Shadir, tt), 128; Ibnu Faris, Maqâyîs al-Lughah, 2 (tt: Ittihad Al-Kitab Al-‘Arab, 2002), 373; Zainuddin al-Razi, Mukhtâr al-Shihah (Beirut: Al-Maktabah al-‘Ashriyyah, 1999), 130

17 Ibnu Manzhur, Lisân al-‘Arab, vol. 10, 128

18 Al-Azhari, Tahzîb al-Lughah, vol. 5, 259; Ibnu al-Jauzi, Gharîb al-Hadîth, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1985), 424

19 Al-Zabidi, Tâj al-‘Arûs min Jawâhir al-Qamûs, vol. 25 (tt: Dar al-Hidayah, tt), 380

20 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 10. Lihat juga Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân Al-‘Azhîm, vol. 8, 239; At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 656

21 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 10. Lihat juga Al-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5, 366

22 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8 (Beirut: Dar Thayyibah, 1999), 239

23 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 239

24 Al-Tha’labi, Al-Kasyf wa al-Bayân ‘an Tafsîr Al-Qur`ân, vol. 10 (Beirut: Dar Ihyâ` Al-Turath Al-‘Arabiyy, 2002), 51

25 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 10

26 Syihabuddin Al-Alusi, Rûh Al-Ma’ânî, vol15 (Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 1995), 95

27 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 239

28 Al-Harari, Hadâiq al-Rûh wa al-Rayhân, vol. 31, 297

29 Al-Harari, Hadâiq al-Rûh wa al-Rayhân, vol. 31, 297

30 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 10

31 Al-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5, 366

32 Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 656

33 Al-Baghawi, Ma’âlim Al-Tanzîl fî Tafsîr Al-Qur‘ân, vol. 5 (Beirut: Dar Ihyâ‘ at-Turath Al-‘Arabiyy, 1420 H), 160; Abu Hayyan Al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, 10 (Beirut: Dar Al-Fikr, 1420 H), 295; Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 1995), 349

34 Al-Sa’di, Taysîr Al-Karîm Al-Rahman fî Tafsîr Kalâm Al-Mannân (tt: Muassasah Al-Risalah, 2000), 890

Exit mobile version