Site icon MuslimahHTM News

Milik Allah SWT

[Nafsiyah] Milik Allah SWT

Penulis: Ustaz M. Taufik N.T.

 

Abu Umamah meriwayatkan bahawa pernah tali sandal Nabi SAW terputus. Kemudian Nabi berkata, “Inna lillahi wainnaa ilaihi rajiun. (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami kembali). Para sahabat kemudian bertanya, “Adakah terputusnya tali sandal merupakan suatu musibah, ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Apa sahaja yang menimpa seorang mukmin yang tidak disukainya adalah musibah.” [HR At Thabrani, dalam Al Kabir].

 

Riyawat ini mengajar kepada kita bahawa walaupun sekecil-kecil perkara sepatutnya menyedarkan kita bahawa kita adalah milik Allah dan kepadaNya kita akan dikembalikan.

 

Orang yang sedar bahawa dia milik Allah SWT juga sedar bahawa dia akan binasa dan dikembalikan kepada Allah. Dia sedar bahawa kembalinya segala urusan adalah kepadaNya. Dia sedar bahawa pada masa hadapan, dia akan dipertanggungjawabkan dan tindakannya akan dinilai sama ada melanggar hukumNya atau tidak. Justeru, dia akan cuba sedaya upaya menyiapkan segala-galanya dengan melaksanakan segala ketentuan pemiliknya. Dia akan menghabiskan hidupnya berjuang untuk hidup di bawah hukumNya.

 

Orang yang meyakini bahawa kembalinya segala urusan adalah kepadaNya, mereka tidak akan mencari-cari alasan untuk mengabaikan, apatah lagi mengingkari hukumNya. Dia tidak akan berkata, “Syariah Islam tidak boleh digunakan di sini. Ini Malaysia, bukan negara Islam.” Dia melakukan ini kerana percaya bahawa seperti dirinya, Malaysia juga milik Allah SWT. Demikian juga bumi, langit dan segala isinya adalah milik Allah SWT. Tidak ada lagi tempat untuk menolak peraturanNya. Allah SWT berfirman:

 

“Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bagiNya (juga) segala pujian di akhirat. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” [TMQ Saba (34): 1].

 

Kita semua akan kembali kepada Allah SWT. Kita akan bertanggungjawab atas segala perbuatan kita di hadapan mahkamah Tuhan. Ketika itu mulut kita akan terkunci. Sebaliknya, tangan dan kaki kita akan bercakap dan memberi kesaksian di hadapan Allah SWT.

 

“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” [TMQ Yasin (36): 65]

Itulah mahkamah yang paling adil. Pada masa itu, hanya hukum Allah SWT sahaja yang akan ditimbang. Syariatnya dijadikan penanda aras, sama ada kita dalam kalangan yang terselamat atau yang rugi. Seorang ketua kampung, yang berhormat, menteri tidak diadili berdasarkan peraturan-peraturan di dunia. Seorang perdana menteri tidak dinilai oleh Perlembagaan atau Undang-undang. Seorang hakim dan pendakwa tidak dibicarakan di bawah Kanun Jenayah. Malah, ahli majlis yang pernah membuat undang-undang dan pelbagai peraturan wilayah ketika itu tidak bertanggungjawab terhadap peraturan yang dibuat oleh dirinya sendiri. Wajarkah seseorang mengaku beriman, berulang kali menyebut Innalillahi wainna ilaihi raji’un, tetapi menolak hukum Allah SWT?

 

“Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang mengaku telah beriman kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka ingin menghukum taghut (orang yang menentukan hukum mengikut hawa nafsu mereka, bukan dengan wahyu), walaupun mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu dan syaitan bermaksud hendak menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.” [TMQ An Nisa (4): 60]

Wallahu’alam.

 

Sumber: mtaufiknt[dot]wordpress[dot]com

Exit mobile version