[IBRAH] MENCARI NAFKAH
Oleh: Arief B. Iskandar
Mencari nafkah adalah kewajipan bagi setiap muslim. Terutama bagi seorang suami/ayah bagi memenuhi keperluan diri dan keluarganya. Hal ini ditegaskan dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.
Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman (yang ertinya): “Kewajipan ayah itu memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.” (TMQ al-Baqarah [2]: 233).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Seorang lelaki (ayah/suami) adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan dimintai pertanggungjawaban atas mereka.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menekankan tanggungjawab seorang suami/ayah dalam mengurus keluarganya, sudah tentu termasuk tanggungjawab dalam memberi nafkah.
Rasulullah SAW juga bersabda, “Sungguh apa saja yang kamu nafkahkan untuk keluargamu, itu adalah sedekah walaupun itu hanya sesuap makanan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Mencari nafkah dengan niat yang ikhlas dan cara yang halal dicatat sebagai ibadah. Dengan demikian segala usaha yang dilakukan untuk menafkahi keluarga akan berbuah pahala.
Di sisi lain, meninggalkan upaya mencari nafkah yang wajib dan utama adalah dosa. Sebahagian ulama bahkan berpendapat bahawa ada jenis dosa yang tidak dapat dihapus kecuali dengan bekerja mencari nafkah. Ini didasarkan pada sabda Rasulullah SAW, “Dari sekian dosa terdapat jenis dosa yang tidak dapat ditebus kecuali dengan kebimbangan untuk mencari penghidupan (keluarga).” (HR ath-Thabarani).
Kerana itulah Umar bin al-Khattab RA pernah berkata, “Sungguh aku melihat seseorang dan aku menyukai dirinya. Kemudian aku bertanya, ‘Apakah dia punya pekerjaan?’ Jika mereka menjawab, ‘Tidak,’ maka jatuhlah martabatnya dalam pandanganku.” (Mawaa’izh ’Umar bin al-Khatthab, hlm. 82).
Abdullah bin Mas’ud RA juga berkata, sebagaimana dinukil oleh Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Hilyah al-Awliyaa’, “Sungguh aku membenci seseorang yang aku lihat menganggur, tidak bekerja untuk dunianya mahupun beramal untuk akhiratnya.”
Imam al-Hasan al-Bashri rahimahuLaah, sebagaimana dinukil oleh Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam an-Nubalaa’, juga berkata, “Mencari harta yang halal dari dunia ini lebih aku cintai daripada aku menjadi lemah untuk beribadah.”
Imam Ibnu al-Mubarak rahimahuLaah, sebagaimana juga dinukil oleh Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Hilyah al-Awliyaa’, juga berkata, “Sungguh orang-orang soleh dahulu mencari harta yang halal di dunia dan menjadikan harta yang mereka peroleh sebagai sarana untuk menolong agamanya.”
Sa’id bin al-Musayyib rahimahuLaah, sebagaimana juga dinukil oleh Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam an-Nubalaa’, juga berkata, “Tidak ada kebaikan pada seseorang yang tidak suka mengumpulkan harta dari jalan yang halal, yang dengan itu dia dapat menjaga harga dirinya, melunasi hutang-hutangnya dan menyambung silaturrahmi.”
Bahkan Imam Syafi’i rahimahulLaah, sebagaimana dinukil oleh Imam al-Baihaqi dalam Manaaqib asy-Syaafi’i, juga menyatakan, “Bukan termasuk akhlak yang mulia meninggalkan perdagangan atau usaha mencari nafkah.”
Kerana statusnya yang wajib dan merupakan amal yang utama, generasi salafus-shalih tidak pernah mensia-siakan usaha mencari nafkah yang halal ini. Sahabat Abdurrahman bin ’Auf, misalnya, adalah salah seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal sebagai orang yang kaya-raya. Sebagaimana dinukil oleh Imam adz-Dzahani dalam Siyar A’lam an-Nubalaa’, saat hijrah dari Mekah ke Madinah, dia meninggalkan semua hartanya di Mekah. Setibanya di Madinah, dia dipersaudarakan dengan Sa’ad bin Rabi’ yang menawarkan harta dan bantuan. Namun, tawaran dia menolak tawaran itu dengan halus. Dia hanya berkata, “Tunjukkan saja kepadaku di mana pasar.” Lalu dengan berbekal kepakarannya dalam berdagang, Abdurrahman bin Auf bekerja keras di pasar dan berjaya menjadi salah seorang sahabat Nabi yang kaya-raya tanpa perlu bergantung pada bantuan orang lain.
Demikian pula Umar bin al-Khattab RA. Dia dikenali sebagai seorang pekerja yang gigih sejak sebelum memeluk Islam. Ketika sudah menjadi sahabat Rasulullah SAW, dia tetap gigih bekerja. Umar RA pernah berkata kepada para sahabatnya, “Janganlah salah seorang dari kalian duduk-duduk tanpa bekerja dan berdoa, ‘Ya Allah, berikanlah aku rezeki.’ Sungguh kalian tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak.” (Mawaa’izh ’Umar bin al-Khaththaab, hlm. 82).
Hal yang sama dilakukan oleh para ulama salaf setelahnya. Imam Abu Hanifah rahimahuLaah, misalnya, seorang ulama mujtahid, adalah juga seorang pedagang yang berjaya. Sebagaimana dijelaskan oleh Imam adz-Dzahabi dalam Tadzkirah al-Huffaazh, Imam Ahmad biasa terlibat dalam perdagangan kain. Meskipun sibuk dengan ilmu, beliau tetap memastikan dirinya mandiri secara kewangan.
Imam Malik bin Anas rahimahulLaah, salah seorang imam mazhab yang dihormati kerana keilmuannya, juga bekerja keras untuk memenuhi keperluan hidupnya. Sebagaimmana dijelaskan oleh Ibnu Sa’ad dalam Tabaqaat al-Fuqahaa’, Imam Malik terlibat dalam pekerjaan pertanian dan memiliki kebun yang diurus untuk mencukupi keperluannya. Imam Malik tetap menjaga kemandirian kewangannya meski terkenal sebagai seorang ulama besar.
Begitu juga dengan Imam Syafi’i, salah seorang pendiri mazhab fikh terbesar. Dia juga biasa bekerja keras untuk memenuhi keperluannya. Sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Baihaqi dalam Manaaqib asy-Syaafi’i, beliau pernah bekerja sebagai pemanah ulung dan mengikuti beberapa ekspedisi militer untuk menampung kehidupan keluarganya.
Hal yang sama dilakukan oleh Imam al-Bukhari rahimahulLaah, seorang ahli hadis terbesar yang menyusun Shahih al-Bukhari. Sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Manaqib al-Bukhari, Imam al-Bukhari juga terkenal sebagai seorang pedagang yang berjaya. Selain sering bersafar untuk mengumpulkan hadis, pada saat yang sama, dia juga berdagang untuk mencukupi keperluannya.
Hal yang sama juga dilakukan oleh Sufyan ats-Tsauri, dia adalah seorang ulama dan ahli hadis yang sangat dikenal di dunia Islam. Sebagaimana dijelaskan dalam Imam Ibnu Katsir dalam Al-Bidaayah wa an-Nihaayah, di tengah kesibukan dalam mengajar dan menyebarkan ilmu, Sufyan ats-Tsauri tetap bekerja keras untuk mencari nafkah. Dia adalah pedagang yang mahir. Dia sering berdagang kain. Dalam salah satu riwayat, dia pernah mengatakan, “Sungguh bekerja (mencari nafkah) adalah salah satu cara menjaga kehormatan diri.”
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.

