[Soal Jawab] Haram Menjual Barang Haram
Oleh: Syeikh ‘Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Soalan :
Ada tawaran kerja (duta komoditi) milik syarikat yang menjual produk kecantikan dan minyak wangi. Sesetengah produk mengandungi alkohol dalam tahap yang berbeza-beza. Terdapat cologne yang mengandungi nisbah etilalkohol (etanol) yang tinggi. Terdapat produk yang mengandungi bahagian etilalkohol, metilalkohol, isopropilalkohol, seperti minyak wangi dan kosmetik.
Soalannya adalah, adakah dibolehkan bekerja sebagai duta produk di situ? Bolehkah bekerja di dalam perusahan tersebut walaupun bukan pada bidang produk, contohnya pekerjaan administrasi?
Jawapan:
Pertama: hukum bekerja sebagai duta produk dalam syarikat yang menjual beberapa barangan haram (minyak wangi dan kosmetik yang mengandungi etil alkohol dan sebagainya). Kami telah membincangkan perkara ini dalam kitab kami dan kami menjelaskan bahawa ia adalah haram. Dalam kitab Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyah juz 2 bab “Kullu Mâ Hurima ‘alâ al-‘Ibâd Fa Bay’uhu Harâm[un] (Segala yang diharamkan kepada hamba, menjualnya adalah haram)” menjelaskan:
Di situ ada sesuatu yang Allah haramkan untuk dimakan seperti daging bangkai, sesuatu yang Allah haramkan untuk diminum seperti arak, sesuatu yang Allah haramkan diambil (digunakan) seperti berhala, sesuatu yang Allah haramkan untuk dimiliki seperti patung, dan sesuatu yang Allah haramkan untuk dibuat seperti gambar. Semua ini dinyatakan oleh dalil-dalil syarie berupa ayat atau hadis tentang pengharamannya. Apa yang Allah haramkan bagi hamba berupa sesuatu yang pengharamannya dinyatakan oleh dalil syarie, baik ianya haram dimakan, diminum atau yang lainnya, maka menjual sesuatu ini yang telah Allah haramkan atas hamba itu adalah haram kerana keharaman harganya. Jabir ra. pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda,
إِنَّ اللهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِير وَالْأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ الله، أَرَأَيْت شُحُومَ الْمَيْتَةِ فَإِنَّهَا يُطْلَى بها السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَال: لَا، هُوَ حَرَامٌ. ثُم قَالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذَلِكَ : قَاتَلَ الله الْيَهُودَ، إِنَّ الله لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوه ثُمَّ بَعُوه فَأَكَلُوا ثَمَنَه
“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala. Kemudian dikatakan, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu tentang lemak bangkai, kerana ia boleh digunakan untuk mengecat perahu, meminyaki kulit, dan orang menggunakannya untuk bahan bakar lamou?” Baginda berkata, “Tidak. Itu haram.” Kemudian Rasulullah SAW. bersabda lagi, “Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah, apabila mereka mengharamkan lemak binatang, mereka mencairkannya, kemudian mereka menjualnya dan mereka memakan harganya.” (HR Bukhari).
Jamalûhu adalah adzâbuhu (mencairkannya). Ibnu Abbas ra. juga bertutur bahawa Nabi SAW. pernah bersabda,
قَاتَلَ الله الْيَهُودَ ثَلَاثًا، إِنَّ الله حَرَّمَ عَلَيْهِمُ الشُّحُومَ فَبَاعُوهَا وَأَكَلُوا أَثْمَانها، وَإِنَّ الله إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيْءٍ حَرَّمَ عَلَيْهِمْ ثَمَنَهُ [رواه البخاري]
“Semoga Allah membinasakan Yahudi.” Baginda mengatakan ini tiga kali. “Sungguh Allah telah mengharamkan atas mereka lemak lalu mereka jual dan mereka makan harganya. Sungguh Allah jika telah mengharamkan atas kaum memakan sesuatu maka Allah pun mengharamkan atas mereka harganya.” (HR Bukhari).
Oleh kerana itu, bekerja di bidang ini adalah haram.
Kedua: Adapun pekerjaan administratif di perusahaan yang menjual sebahagian barang yang haram maka dilihat sebagai berikut:
– Jika pekerjaan administratif itu berhubungan langsung dengan penjualan barang haram, seperti Anda bekerja dalam menyiapkan permintaan-permintaan yang terkait dengan penjualan barang-barang yang haram atau seumpamanya, maka pekerjaan administratif ini adalah haram. Hal ini kerana, ia terkait langsung dengan pekerjaan yang haram, iaitu penjualan barang yang haram.
Sebaliknya, jika pekerjaan administratif itu tidak memiliki hubungan langsung dengan penjualan barang haram (jadi tidak termasuk dalam pekerjaan administratif menyiapkan permintaan-permintaan untuk penjualan barang yang haram atau seumpamanya), maka pekerjaan administratif ini tidak haram walaupun di syarikat itu ada aktiviti menjual barang yang haram. Ini adalah kerana, Anda berada dalam keadaan tidak melakukan pekerjaan yang haram.
Walaupun demikian, kehati-hatian seseorang untuk agamanya bukan hanya menjauh dari yang haram, tetapi sehingga dari sebahagian kemubahan kerana risau adanya yang haram yang dekat darinya. Para sahabat Rasul SAW. dahulu menjauhi banyak pintu-pintu mubah kerana khuatir mendekat pada yang haram. Rasulullah SAW. bersabda,
لَا يَبْلُغُ العَبْدُ أَنْ يَكُونَ مِنَ الْمُتَّقِينَ حَتَّى يَدَعَ مَا لاَ بَأْسَ بِهِ حَذَرا لِمَا بِهِ البَأْسُ [أخرجه الترمذي]
“Seseorang tidak mencapai darjat takwa sehingga dia meninggalkan apa yang tidak ada masalah dengannya kerana khuatir terhadap apa yang ada masalah dengannya.” (HR Tirmidzi).
Imam at-Tirmidzi juga telah mengeluarkan hadis ini dan ia berkata, “Hadis ini hasan sahih,” iaitu dari jalur Hasan bin Ali ra. yang berkata, “Aku menghafal hadis dari Rasulullah SAW. yang bersabda,
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ
‘Tinggalkan apa yang meragukanmu menuju pada apa yang tidak meragukanmu.’” (HR Tirmidzi).
Oleh kerana itu, yang lebih utama dan lebih selamat untuk agama ini adalah dengan menjauh dari bekerja di syarikat seperti ini dan mencari pekerjaan yang di dalamnya ada rezeki yang baik. Allah SWT. pasti menjadikan jalan keluar untuk orang yang bertakwa kepada-Nya,
وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا ٢ وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا ٣
“…dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” [TMQ At-Thaalaq (65): 2-3]
Wallahualam wa ahkam.

