[Ath-Thariq] Realiti dan Asas-asas Perubahan (Bahagian 2)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Apabila kerosakan menjadi realiti, maka ia akan memberi kesan atau pengaruh yang boleh dirasai dan diindera. Oleh itu, seorang manusia mesti melihat realiti bersama dengan kerosakannya supaya dia boleh berfikir untuk mengubah realiti tersebut. Jika dia dapat merasakan kerosakan pada suatu realiti, maka dia juga boleh memahaminya sehingga jika dia dapat memahami bahawa realiti yang dijalaninya itu rosak, maka dia akan dapat memulakan proses berfikir untuk mengubah realiti tersebut. Oleh kerana itu, penginderaan terhadap rosaknya sebuah realiti mesti ada.
Namun, pelbagai bukti yang ada menunjukkan bahawa penginderaan terhadap kerosakan, kesombongan, sia-sia, ketakutan, atau apa sahaja yang merosakkan kehormatan, berbeza daripada penginderaan terhadap objek material, seperti sejuknya salji, manisnya madu, atau pahitnya labu. Berlakunya perbezaan ini kembali kepada realiti bahawa semua manusia mempunyai alat indera yang biasa digunakan untuk mengindera objek material, walaupun kepekaan dari penginderaan mereka berbeza-beza.
Adapun berkaitan dengan penginderaan terhadap sesuatu atau perkara yang bukan material seperti kerosakan, kebaikan, keburukan, dan kemuliaan, penginderaan terhadap semua itu memerlukan pemikiran awal(al-fikr al-sabiq) yang membolehkan seseorang menentukan tatacara untuk menetapkan status hukumnya. Oleh itu, penginderaan seperti ini dinamakan penginderaan yang berdasarkan pemikiran(al-ihsas al-fikriy). Manakala penginderaan jenis pertama (penginderaan atas objek material) disebut pemahaman indrawi (al-idrak al-hissiy).
Oleh itu, wujudnya perbezaan dalam al-ihsas al-fikriy adalah perkara fitrah antara manusia kerana berbeza kualiti berfikir mereka. Apa yang dianggap rosak oleh sesetengah orang kerana adanya pemikiran awal mungkin tidak dilihat begitu oleh sebahagian yang lain yang tidak mempunyai pemikiran awal tentang hal itu. Apabila sebahagian orang boleh mengindera suatu kezaliman dengan mudah, kita mendapati bahawa sebahagian orang lain tidak dapat merasakannya atau mereka menghadapi kesukarann untuk merasakan kezaliman itu.
Dengan demikian, berdasarkan perbezaan tahap pemikiran, manusia juga akan berbeza-beza dalam keupayaan mereka melakukan penginderaan yang berlandaskan pemikiran. Dengan kata lain, keupayaan mereka dalam mengindera perkara bukan material juga berbeza. Apabila dilihat dari sudut al-ihsas al-fikriy (penginderaan yang berdasarkan pemikiran), maka manusia boleh dikategorikan kepada tiga golongan:
Pertama, mereka yang mempunyai penginderaan yang tajam (murhif al-ihsas) iaitu mereka yang dapat mengindera kerosakan dan apa pun yang menyerupainya dengan cepat.
Kedua, mereka yang mempunyai penginderaan normal atau biasa-biasa saja (‘adiy al-ihsas) mereka perlu bekerja keras sedikit agar dapat menginderanya.
Ketiga, mereka yang mempunyai penginderaan lemah dan lambat (balid al-Ihsas) iaitu mereka mesti mengerahkan seluruh daya upaya mereka agar dapat mengindera dengan penginderaan jenis ini.
Berdasarkan hal ini, kesedaran(al-wa’yu) dan pemikiran awal(al-fikr alsabiq) menjadi satu keperluan untuk merealisasikan penginderaan yang berlandaskan pemikiran dan seterusnya tiba pada proses berfikir untuk melakukan perubahan, seterusnya melakukan aktiviti perubahan. Bertitik tolak daripada ini, jika penginderaan terhadap kerosakan atau realiti yang rosak tersebut kuat, maka aktiviti untuk membawa perubahan juga akan menjadi lebih kuat.
Akan tetapi, mempunyai kesedaran dan kefahaman tentang kerosakan atau realiti yang rosak sahaja tidak cukup untuk melakukan aktiviti demi mengubah realiti tersebut, tetapi perlu disertakan dengan pemahaman tentang realiti alternatif yang boleh menggantikan realiti yang rosak. Ini adalah bahagian kedua dalam masalah pemahaman dan kesedaran.
Adapun bahagian pertama ialah kesedaran tentang realiti yang rosak yang kemudiannya disertai dengan penginderaan akan kerosakan itu. Manakala bahagian kedua pula ialah kesedaran tentang kewujudan realiti yang akan menggantikan realiti yang rosak. Ini tidak lain agar aktiviti perubahan menjadi matlamat dan dapat berjalan mengikut arah yang sama dengan tujuan yang dinyatakan agar tidak menjadi aktiviti sia-sia yang tidak mempunyai hala tuju yang pasti dan matlamat yang jelas.
Oleh itu, kesedaran ideasional/intelektual(al-wa’yu al-fikriy) dengan dua elemennya iaitu kesedaran tentang realiti yang dijalani dan kesedaran akan realiti pengganti, menjadi asas perubahan dan faktor penting yang mempengaruhi dalam sesuatu proses berfikir (amaliyah al-tafkir). Jika kesedaran ideasional/intelektual itu meningkat, maka penginderaan akan perkara-perkara yang berkaitan dengan pemikiran(al-qadlaya al-fikriyah) juga meningkat, iaitu penginderaannya meningkat kepada tahap penginderaan yang cepat.
Bagi memperjelas perkara di atas, maka kami berikan perumpamaan seperti berikut: jika kita datang kepada dua orang, salah seorang daripada mereka “disusui” dengan “susu” kemuliaan dan kehormatan serta mendapat pendidikan dalam suasana penghargaan dan penghormatan. Sedangkan orang yang kedua “disusui” oleh “susu” kehinaan dan kerendahan serta mendapat didikan dalam “paya” kehinaan dan pelecehan, kemudian kita menyiratkan penghinaan kepada kedua-dua orang tersebut, adakah penolakan kedua-duanya sama? Atau berbeza? Adakah orang pertama menerima penghinaan seperti orang kedua? Dan adakah kedua-dua orang itu berada pada tahap kemarahan yang sama terhadap penghinaan tadi?
Jawapannya sudah tentu sangat jelas, sebab yang pertama adalah hasil dari kesedaran awal dan kebiasaannya dengan rasa hormat dan penghargaan sehingga dia tidak mahu menerima penghinaan. Adapun yang kedua tidak bangkit kerana dia telah terbiasa dengan penghinaan dan kerendahan serta pelecehan, sejak dia diciptakan dalam hidup yang penuh penghinaan, dan dia tidak pernah memahami bahawa penghinaan merupakan sesuatu yang menafikan kehormatan manusia dan kemanusiaan.
Dia seperti seekor keldai yang menduga bahawa penghinaan dan kerendahan atau pelecehan menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan, maka dia tidak dapat membayangkan kehidupan tanpa penghinaan. Begitu juga seseorang yang dilahirkan dan hanya bergerak, membesar dan mencapai usia pertengahan antara dua dinding penjara yang gelap gelita. Dia tidak percaya, malah sukar untuk dia membayangkan kemungkinan adanya tempat lain selain penjara.
Sebuah tempat yang menyenangkan dengan keadaan yang lebih baik daripada penjaranya, atau bahkan dia akan menolak jika penjaranya itu dipanggil penjara, kerana dia tidak dapat membezakan antara penjara dengan yang lain dan menganggap bahawa tempat yang dia tinggal sekarang adalah tempat yang semula jadi dalam kehidupan.
Adapun orang yang merdeka (yang pertama), maka penghinaan adalah sesuatu yang memastikan darah dalam uratnya mendidih, tidak lain kerana dia dapat merasakan dan mengindera makna setiap perkataan di dalamnya dan memahami bahawa menurut asal usulnya sebagai manusia, dia tidak boleh dihina, dia mesti dihormati, dihargai, dan dimuliakan.
Sumber: Syeikh Ahmad Athiyat, At-Thariq (Jalan Baru Islam)
#FikrulIslam #Realiti #AsasAsasPerubahan

