Site icon MuslimahHTM News

[Ath-Thariq] Realiti dan Asas-asas Perubahan (Bahagian 3)

[Ath-Thariq] Realiti dan Asas-asas Perubahan (Bahagian 3)

Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat

Pendek kata, perubahan adalah satu kepastian. Setiap orang mahukan perubahan, walaupun keinginan ini mempunyai tahap yang berbeza antara seseorang dengan yang lain, dan motif pendorong serta maksudnya juga berbeza, jadi sama ada aktiviti untuk membawa perubahan itu kuat atau tidak juga akan berbeza. Asas semua ini adalah kesedaran ideasional/intelektual(al-wa’yu al-fikriy) tentang realiti yang rosak.

Oleh itu, setiap ahli ilmuan yang mempunyai penginderaan yang tajam perlu memahami sepenuhnya faktor-faktor tersebut dan mereka hendaklah giat menjalankan aktiviti untuk merealisasikan penginderaan idea/intelektual dalam kalangan manusia, supaya dapat membawa dan mendorong mereka agar mahu beraktiviti membawa perubahan. Hal ini tidak boleh dilakukan kecuali dengan menjelaskan kerosakan kepada realiti yang ketika ini sedang membelenggu mereka, sekaligus menjelaskan realiti lain yang akan menggantikan realiti yang rosak, dan menjelaskan semua itu dengan penjelasan yang jelas dan mudah difahami. Tanpa semua ini, kejayaan dan kemenangan tidak akan dapat dicapai oleh mana-mana gerakan perubahan.

Seperti yang dinyatakan, kezaliman adalah punca dan motif pendorong kepada pergolakan atau revolusi, tetapi penginderaan terhadap kezaliman itulah yang mendorong berlakunya pergolakan dan revolusi. Penjelasan di atas menerangkan faktor-faktor asas yang bergantung kepada sokongan untuk perubahan, dan juga menjelaskan bahawa idea untuk membuat perubahan atau keinginan untuk berubah itu tidak dapat dicapai dengan sempurna melainkan dengan adanya kesedaran ideasional/intelektual tentang realiti yang rosak. Semua ini mesti diperolehi dengan pertimbangan yang teliti.

Terdapat beberapa perkara lain yang perlu difahami sebelum kita menjalani proses perubahan iaitu:

a. Memahami bahawa aktiviti untuk melakukan perubahan itu merupakan aktiviti yang amat berat dan sukar sehingga tidak ada sesiapa pun yang dapat melaksanakannya sama ada umat, bangsa, ataupun individu kecuali mereka yang kuat dan berjiwa besar. Adapun orang-orang yang mundur dan terkebelakang serta individu-individu yang mempunyai sifat malas yang dikuasai oleh rasa takut dan malu, maka mereka tidak akan dapat melakukan aktiviti perubahan kecuali setelah mereka mengubah diri mereka.

Allah telah berfirman,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu kaum kecuali setelah mereka mengubah diri mereka sendiri.” [TMQ Ar-Ra’du (13): 11].

b. Memahami bahawa aktiviti untuk melakukan perubahan bukan hanya bertujuan untuk mengubah, tetapi dilakukan untuk tujuan yang telah ditetapkan dengan hala tuju yang jelas dan pasti. Perubahan itu bukan bertujuan untuk realiti yang baru saja, tetapi demi realiti baru yang diketahui sebelum ini. Apabila dikaitkan dengan keadaan kita sekarang, realiti baru yang kita sasarkan bercanggah dengan realiti yang ada pada masa dengan segala sisi negatifnya, iaitu untuk mewujudkan realiti pengganti yang akan melenyapkan realiti yang rosak ini agar realiti baru dapat menjamin kemuliaan, kebahagiaan, dan kedamaian umat.

c. Memahami bahawa aktiviti perubahan hendaklah dijalankan di atas landasan yang jelas dan mengikut langkah-langkah yang telah digariskan agar aktiviti perubahan tidak dilakukan dengan cara yang tidak pasti. Hal ini tidak lain untuk memastikan tiada kegagalan di tengah jalan dan memastikan tiada kesilapan dalam mencapai sasaran. Oleh itu, kita akan menjadi bodoh jika kita hanya menerima kenyataan, “Demi perubahan, kita boleh membuat perjanjian dengan syaitan.”

Ketahuilah bahawa syaitan tidak akan membawa kita melainkan ke neraka jahanam. Dengan demikian, usaha perubahan yang hanya bertujuan untuk mencapai perubahan menjadi satu kebodohan, kerana akan terserlah setelah kehilangan masa dan peluang bahawa kita seperti orang yang meminta perlindungan dalam panas dan panasnya neraka atau seperti orang yang menggengam angin atau seperti orang yang tercungap-cungap kehausan di sebalik padang fatamorgana.

Oleh itu, tujuan (ghayah) yang ingin dicapai hendaklah ditentukan dengan jelas sebelum kita melakukan aktiviti perubahan yang metod(thariqah) yang hendak dijalankan juga mestilah jelas dan pasti seperti matlamat yang diingini. Jika tujuan dan metod itu tidak jelas dan pasti, kita akan terpegun dengan apa yang berlaku kepada orang-orang yang lalai sebelumnya, yang terperdaya dengan bulatan bumi, mereka menyangka bahawa mereka telah berjalan di atas jalan dan kaedah yang betul, tetapi mereka tidak sampai kepada tujuannya sehingga apa yang mereka capai hanyalah keyakinan yang kukuh bahawa bumi itu bulat.

d. Memahami bahawa kesungguhan dalam berfikir dan beraktiviti adalah perkara yang pasti dan tidak dapat dielakkan demi sebuah kejayaan dalam mencapai maksud dan tujuan yang telah ditetapkan. Apa yang dimaksud dengan kesungguhan dalam berfikir (al-tafkir) ialah berfikir untuk mencapai tujuan dan objektif yang telah ditetapkan dan bukan untuk tujuan yang batil. Adapun yang menunjukkan kesungguhan dalam berfikir ialah klasifikasi aktiviti yang dapat merealisasikan tujuan tersebut.

Sedangkan kesungguhan dalam beraktiviti wujud apabila aktiviti dijalankan di atas jalan yang lurus menuju sasaran dan tujuan yang dimaksudkan. Oleh itu, berfikir demi perubahan (al-tafkir li al-taghyir) perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh iaitu demi merealisasikan sesuatu tujuan, bukan sekadar berfikir. Aktiviti untuk perubahan juga perlu dilakukan dengan penuh kesungguhan, iaitu segenap daya usaha yang dikerahkan berada di atas landasan yang lurus menuju sasaran yang diingini.

Segala yang telah diterangkan di atas merupakan sebahagian masalah yang perlu dijelaskan sepenuhnya dan dihuraikan dengan jelas sebelum proses perubahan dapat dijalankan. Dan kita juga mesti mengetahui dengan jelas tujuan perubahan yang diingini serta metod yang boleh membawa kita kepada tujuan tersebut. Jalan itu dikelilingi oleh halangan dan kesukaran, dan aktiviti yang dilakukan demi perubahan memerlukan kesungguhan dan ketabahan. Aktiviti perubahan ini perlu dipandang sebagai sesuatu yang tidak dapat tidak mesti dilakukan (qadliyah mashiriyah)oleh umat seluruhnya.

Bagi golongan intelektual pula,  mereka yang mengikuti jalan perubahan perlu memahami hakikat dan realiti itu semua, selain itu mereka juga perlu menyedarkan dan memahamkan umat akan kepentingan dan wajibnya perubahan dengan menyedarkan umat akan kerosakan realiti yang dijalani, dan mendorong mereka untuk dapat merasakan kebusukan realiti itu yang berteraskan pada penginderaan ideasional/intelektual (al-ihsas al-fikriy) juga menyedarkan umat tentang realiti lain yang menggantikan realiti yang rosak ini. Semua ini akan menjadi bahan perbincangan selanjutnya.

Sumber: Syeikh Ahmad Athiyat, At-Thariq (Jalan Baru Islam)

#FikrulIslam #Realiti #PrinsipPerubahan

Exit mobile version