Site icon MuslimahHTM News

Realiti dan Asas-asas Perubahan (Bahagian 1)

[Ath-Thariq] Realiti dan Asas-asas Perubahan (Bahagian 1)

Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat

Manusia tidak menjalani hidup hanya untuk hari ini, malah mereka memikirkan tentang hari esok, sama ada untuk jangka pendek yang sangat dekat atau jangka panjang yang masih sangat jauh, baik terkait dengan kehidupan dunia atau kehidupan yang ada setelahnya (akhirat).

Begitulah realiti manusia. Oleh kerana itu, manusia tidak mahu menerima begitu sahaja realiti yang mereka jalani. Walau apa pun bentuk realiti itu. Jika realiti itu baik, seseorang ingin menjadikannya lebih baik dan jika realiti itu buruk, seseorang akan berusaha untuk mengubahnya menjadi baik. Berdasarkan hal ini, kita dapati ramai orang sangat merindui masa lalu dan meratapinya serta sentiasa ingin mengetahui masa depan dan merinduinya.

Berfikir untuk melakukan perubahan adalah suatu kepastian dalam hidup dan kehidupan ini, kerana perubahan itu sendiri adalah harakah (pergerakan) dan gerak itu adalah hidup. Sebaliknya, diam adalah tanda kematian, ia tidak dipanggil hidup kecuali terdapat gejala pertumbuhan dan pergerakan.

Oleh itu, setiap umat dan individu mesti mempunyai pemikiran dan aktiviti untuk melakukan perubahan. Jika tidak, maka ketiadaan pemikiran dan aktiviti demi perubahan akan membawa kepada kerosakan umat dan perpecahan individu. Berdasarkan hal ini, sikap fatalisme (berserah diri secara total) terhadap suatu keadaan akan menjadi satu penyakit yang sangat berbahaya dan musibah yang paling mengerikan.

Berfikir untuk melakukan perubahan bukan sahaja ada pada orang yang merasakan pentingnya perubahan, tetapi pemikiran itu ada, selagi di alam semesta ini ada keadaan yang menuntut perlunya perubahan tersebut. Oleh itu, pemikiran ini tidak terhad kepada perubahan yang dilakukan oleh seseorang terhadap keadaan yang dialami oleh dirinya, masyarakat, bangsa dan rakyatnya sendiri, tetapi pemikiran ini ada demi mengubah yang lain juga.

Hal ini terjadi kerana dalam diri manusia terdapat karakter semulajadi manusia iaitu gharizah al-nau’  yang mendorong seseorang untuk memberi perhatian kepada orang lain secara menyeluruh, sama ada dalam negara, bangsa dan rakyatnya sendiri mahupun yang ada di negara lain.Walaupun keinginan untuk melakukan perubahan itu ada dalam diri setiap orang, terdapat faktor dan keadaan tertentu yang menghalang dan membekukan keinginan itu atau sebaliknya mendorong keinginan itu maju ke hadapan dengan penuh kekuatan. Hal ini tidak lain kerana aktiviti melakukan perubahan amat sukar sehingga memerlukan kerja keras dan pengorbanan yang amat besar. Akibatnya tiada siapa yang boleh melakukan perubahan kecuali hanya orang-orang yang kuat dan berjiwa besar yang mempunyai pemikiran yang cemerlang dan penderiaan yang tajam serta sensitif.

Sedangkan perubahan itu sendiri akan dihalang dan diperangi oleh golongan konservatif dan golongan yang sewenang-wenang menindas manusia dan tidak akan diterima oleh orang bodoh, pemalas, dan lemah akal kerana perubahan adalah perkara yang akan dibanteras tanpa belas kasihan lagi.

Biarpun keinginan untuk membawa perubahan datang dari lubuk hati yang paling dalam dan didorong oleh pelbagai realiti kehidupan, tetapi meniti langkah ke arah perubahan bukanlah perkara yang mudah bagi setiap orang, perubahan hanya mampu ditanggung oleh mereka yang berfikiran ke hadapan. Merekalah yang akan mendorong orang lain untuk menempuh jalan perubahan, sama ada secara sukarela atau terpaksa.

Walaupun sebahagian fenomena yang ada menunjukkan bahawa keinginan untuk membawa perubahan menyelubungi setiap jiwa manusia dan menggodanya, sebenarnya keinginan seseorang dengan orang lain adalah berbeza dari segi kekuatan dan kelemahan keinginan tersebut, juga berbeza dalam masalah motif pendorong, maksud, dan tujuannya.

Dengan demikian, apabila kita menemukan sebahagian orang menuntut perubahan dengan begitu kuat sehingga mereka juga beraktiviti untuk melakukan perubahan itu dengan mengerahkan seluruh kekuatan mereka seperti ribut taufan yang boleh menghapuskan segala-galanya di sekeliling mereka, maka kita juga mendapati sebahagian yang lain menyeru perubahan dengan sangat lemah dan berusaha untuk membawa perubahan selemah dan perlahan seperti kura-kura berjalan.

Apabila kita menemukan keinginan untuk melakukan perubahan pada sesetengah orang bertujuan untuk mengubah realiti umat yang begitu buruk, bahkan untuk membawa dunia ini kepada kedudukan yang ideal dan kita mendapati bahawa motif yang mendorongnya adalah keredhaan Allah SWT. dan nilai-nilai yang paling tinggi di sisi-Nya, maka pada masa yang sama kita menemukan keinginan sesetengah orang tidak lebih daripada sekadar untuk mendapatkan sesuap nasi, atau untuk memuaskan nafsu syahwat mereka dan kita juga mendapati bahawa motif pendorong perubahan mereka hanyalah keegoan dengan tujuan yang murah lagi hina.

Dengan mendalami faktor-faktor yang boleh mengakibatkan tinggi atau rendah dan kuat atau lemahnya sebuah motivasi pendorong, maksud, dan matlamat usaha perubahan, maka kita juga mendapati bahawa hal ini dipengaruhi oleh banyak faktor yang kesedarannya adalah berdasarkan pada pemikiran(al-wa’yu al-fikriy) adalah faktor asas. Untuk menjelaskan lebih lanjut, kami akan membentang paparan berikut:

Sebenarnya seorang manusia itu tidak akan berfikir untuk melakukan perubahan kecuali apabila dia memahami bahawa dalam kehidupannya ada realiti yang rosak atau buruk atau tidak berfungsi sebagaimana sepatutunya. Untuk kefahaman ini boleh diperoleh, maka perlu ada rasa kerosakan kepada realiti tersebut. Oleh itu, merasakan sesuatu realiti menjadi syarat mendasar berlakunya sebuah proses berfikir (al-‘amaliyah al-fikriyah) sehingga mustahil seseorang itu dapat memahami apa-apa realiti tanpa merasakan sesuatu atau kesan dan pengaruh sesuatu itu.

*Bersambung

Sumber: Syeikh Akhmad Athiyat, At-Thariq (Jalan Baru Islam)

#RealitiHidup #PrinsipPerubahan

Exit mobile version