Site icon MuslimahHTM News

Hukum Menerima Pemberian dari Calon Pilihanraya

Hukum Menerima Pemberian dari Calon Pilihanraya

Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi

 

Soalan: Bagaimana hukum menerima pemberian dari calon anggota legislatif (calon legislatif/ calon pilihanraya)?

 

Jawapan:

 

Para ulama kontemporer telah sepakat mengenai haramnya memberi atau menerima pemberian dalam rangka pilihanraya (al-intikhaabaat). Baik pilihanraya legislatif (al-intikhabat al-barlamaniyyah) mahupun pilihanraya presiden (al-intikhabat ar-riasiyyah). Para ulama tersebut hanya berbeza pendapat dalam hal alasan keharamannya. Sebahagian ulama seperti Dr. Thal’at Afifi, juga ulama Lembaga Al-Azhar (Muassasah al-Azhar), dan ulama Darul Ifta al-Mishriyah (Lembaga Fatwa Mesir) mengharamkan dengan alasan pemberian itu dianggap risywah. Sedangkan sebahagian ulama lainnya seperti Prof. Dr. Ali as-Salus mengharamkan kerana pemberian itu dianggap pengkhianatan terhadap syahadah (kesaksian) yang diberikan pemilih dalam pilihanraya yang sepatutnya kesaksian itu diberikan tanpa bayaran atau pemberian apa pun (Fahad bin Shalih bin Abdul Aziz al-‘Ajlan, Al-Intikhaabaat wa Ahkaamuhaa fi Al-Fiqh al-Islaami, hlm. 418; manaratweb[dot]com).

 

Haram kerana Risywah

 

Menurut kami, hukumnya secara syarie memang haram, baik memberi atau menerima pemberian. Namun, alasan keharamannya yang lebih tepat adalah kerana risywah, bukan kerana pengkhianatan syahadah (kesaksian). Yang demikian itu kerana dalil-dalil umum yang mengharamkan risywah (suap) dapat diterapkan secara tepat pada fakta pemberian yang diberikan calon legislatif (atau calon presiden) kepada para pemilih.

 

Pemberian ini termasuk dalam pengertian umum suap (risywah), iaitu suap atau rasuah adalah setiap harta yang diberikan kepada setiap pihak yang mempunyai kekuasaan untuk menunaikan suatu kepentingan (maslahat) yang sepatutnya tidak memerlukan pembayaran/pemberian bagi pihak tersebut untuk menunaikannya (Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, 2/332; Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/219).

 

Dalil-dalil umum yang mengharamkan suap/rasuah, antara lain hadis dari Abdullah bin ‘Amr ra. bahawa Rasulullah SAW telah melaknat setiap orang yang menyuap dan yang menerima suap (HR Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi, dan Ibnu Majah).

 

Juga hadis dari Tsauban ra bahawa Rasulullah SAW telah melaknat setiap orang yang menyuap, yang menerima suap, dan yang menjadi perantara di antara keduanya (HR Ahmad).

 

Imam Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan dua hadis di atas dengan berkata, ”Hadis-hadis ini bermakna umum yang mencakup setiap suap, baik suap untuk menuntut yang hak mahupun untuk menuntut yang batil, baik suap untuk menolak mudarat (bahaya) mahupun untuk mendapatkan manfaat, baik untuk menghilangkan kezaliman mahupun untuk melakukan kezaliman, semua suap ini haram hukumnya.” (Taqiyuddin an-Nabhani, Al-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, 2/332).

 

Berdasarkan keumuman dalil haramnya suap atau rasuah ini, maka haram hukumnya pemberian calon legislatif, baik bagi pihak yang memberi (calon legislatif) mahupun bagi pihak yang menerima (pemilih). Lebih-lebih lagi, suap atau rasuah yang diberikan ini adalah untuk menuntut yang batil kerana dalam sistem demokrasi saat ini seorang anggota legislatif akan melakukan kebatilan di parlimen, iaitu menjalankan tugas legislasi dengan menyusun undang-undang yang bukan syariat Islam.

 

Adapun tidak tepatnya alasan haramnya pemberian calon legislatif kerana dianggap pengkhianatan syahadah (kesaksian) kerana syahadah itu secara syarie hanya diberikan dalam sidang peradilan (majlis al-qadha), bukan di luar sidang pengadilan seperti di tempat mengundi. Syeikh Ahmad ad-Da’ur dalam kitabnya Ahkaamul Bayyinaat menjelaskan definisi kesaksian (syahadah) sebagai pemberitahuan yang benar untuk menetapkan suatu hak dengan redaksi persaksian yang dilakukan di majlis peradilan (Ahmad ad-Da’ur, Ahkaamul Bayyinaat, hlm.6).

 

Kesimpulannya, haram hukumnya seorang calon legislatif memberi pemberian, sebagaimana haram pula hukumnya seorang muslim menerima pemberian itu, baik berupa wang mahupun barang. Sama saja apakah diberikan dalam rangka kempen, mahupun diberikan secara tersembunyi, tetapi ada indikasi kuat terkait kempen, misalnya memberikan hadiah ketika pengajian atau berinfak membantu pembangunan masjid menjelang waktu pilihanraya. Wallahualam.

 

Exit mobile version