Site icon MuslimahHTM News

Khilafah, Bukan Romantisme Sejarah (Bahagian 3/3)

Khilafah, Bukan Romantisme Sejarah (Bahagian 3/3)

 

Penulis: Dr. Ummu Mumtazah

 

Sejarah kelam Khilafah juga kelihatannya sering menjadi alasan untuk menolak Khilafah. Terkait hal ini, sebenarnya negara Barat juga boleh menjadi “pengajaran”.

 

Barat yang menerapkan sistem demokrasi sekarang, bukannya tidak sedar akan sejarah kelam demokrasi. Aristoteles mengatakan bahawa aristokrasi lebih baik dari demokrasi. Socrates mengatakan bahawa demokrasi lebih mengharapkan jumlah dan kurang menghargai pemikiran.

 

Kaisar Octavianus August bahkan mengajak masyarakat Romawi untuk memilih sistem monarki setelah trauma pada demokrasi yang telah membuat para senat Rom berkelahi antara satu sama lain dan masyarakat Rom berpecah. Malah Muhammad Iqbal menyatakan demokrasi hanya melihat kepada bilangan kepala sahaja tanpa melihat isi kepala.  Namun, sebenarnya, semua ini tidak menjadikan masyarakat Barat berpaling dari demokrasi

 

Perlu diakui, memang ada sisi kelam zaman Kekhalifahan terutamanya semasa pemerintahan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah. Hanya saja, ‘penyimpangan’ itu tidak boleh menjadi dalih ‘pengingkaran’, melainkan justeru wajib untuk adanya pelurusan. Ini kerana realitinya, sisi gemilangnya juga merupakan fakta yang tidak dapat disangkal terutamanya semasa pemerintahan Rasulullah SAW. dan para Khulafaurasyidin.

 

Selain itu, penegakan Khilafah saat ini dianggap sebagai utopia atau khayalan, sedangkang berdirinya negara besar atau konfederasi seperti Amerika Syarikat, Cina dan Uni Eropah juga boleh diambil sebagai pengajaran. Pada masa lalu, ketiga-tiga kuasa besar dunia itu hanyalah sebuah idea. Pendiri Amerika dan Cina (George Washington dan Mao Tse Tung) sebelum ini senantiasa dikejar-kejar oleh tentera pemerintah yang berkuasa saat itu. Terkait hal ini, kelihatannya cukup menarik kata-kata Bung Karno, “Jika mereka mentertawakan kita kerana kita ingin membuat negara, bukankah mereka dulu juga seperti kita?”

 

Kemudian, lihatlah Kekhalifahan Islam semasa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz (100 H), wilayahnya terbentang luas dari Sepanyol di Barat sehingga ke perbatasan Cina di Timur. Dari pergunungan Kaukasus di utara sehingga ke “tanduk” Afrika di Selatan. Wilayah itu adalah lanjutan pemerintahan Islam yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW. pada 0 H yang saat itu baru merupakan negara kota (polis) di Madinah.

 

Lalu, mengapa ramai yang meragukan kembalinya Khilafah? Bahkan, tingginya pesawat yang berulang-alik tentunya bermula dari ketinggian 0 meter, bukan? Menariknya lagi, saat ini telah banyak perkara positif yang cukup mendukung kembalinya Khilafah Islamiyah. Presiden George W. Bush pernah mengakui ketergantungan minyak AS pada Timur Tengah. Berbagai negara umat Islam seperti Iran dan Pakistan, mampu untuk mengembangkan teknologi nuklear dan tenaga. Tenaga kerja yang cukup besar di dunia Islam seperti di Indonesia dan Pakistan, tentunya juga jauh lebih bermanfaat untuk diberdayakan oleh umat Islam sendiri daripada dijadikan tenaga kerja murah di berbagai syariat antarabangsa.

 

Pada akhirnya, kembalinya Khilafah Islamiyah adalah sebuah kepastian baik secara empirik mahupun sejarah. Secara empirik, terbukti bahawa umat Islam hanya dapat hidup dan mandiri dengan adanya Khilafah Islamiyah sebagaimana kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal, “Fitnah akan terjadi manakala tidak ada imam yang melaksanakan urusan orang ramai.” Secara sejarah pula, terbukti juga bahawa umat Islam sangat mandiri saat berada di bawah naungan Khilafah.

 

Perkara yang lebih utama, mengembalikan Khilafah Islamiyah merupakan tuntutan syarak. K.H. Hafidzh Abdurrahman, dalam buku Islam, Politik dan Spiritual mengatakan, “Kerana itulah, maka seluruh ulama sepakat mengenai wajibnya mengangkat dan mewujudkan Khilafah Islam apabila ia tidak ada. Baik dari kalangan ahlusunah wal jama’ah, syiah, khawarij mahupun mutazilah, semuanya berpendapat bahawa umat ini mestilah mempunyai seorang imam dan hukum mengangkatnya adalah wajib.”

 

Ungkapan ini ternyata juga disokong oleh fakta bahawa pendapat di kalangan umat Islam tentang “tidak perlunya Khilafah” baru muncul pada awal abad ke-20 setelah dominasi Barat. Ini pastinya satu keanehan.

 

Menarik juga jika kita cermati kata-kata pakar bisnis, Robert T. Kiyosaki, “Adakah masalah-masalah yang ada akan dijadikan alasan untuk kita tidak melakukan apa-apa? Atau masalah yang ada itu justerus dijadikan cabaran yang perlu ditangani dalam mencapai tujuan?” Negara Barat telah memilih pilihan yang kedua. Namun, bagaimana dengan kita -umat Islam- yang ingin bebas dari Barat?

 

Khilafah Pemimpin Dunia

 

Khilafah adalah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum muslim di dunia untuk menegakkan hukum-hukum Islam dan mengemban dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia. Khilafah merupakan institusi politik yang menghimpunkan kaum muslim dan mempersatukan negeri-negeri mereka. Rasulullah SAW. memerintahkan agar kaum muslim memiliki seorang Khalifah untuk mengatur urusan mereka dengan syariat Islam.

 

Termaktub dalam Sahih Muslim, Rasulullah SAW. bersabda, “… dan kelak akan ada para khalifah yang banyak jumlahnya.” Para sahabat pun bertanya, “Apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Rasulullah SAW. menjawab, “Penuhilah baiat pertama dan hanya yang pertama.””

 

Dalam hadis yang lain, “Apabila terjadi baiat atas dua orang khalifah, bunuhlah orang yang terakhir dibaiat (kedua) dari keduanya.”

 

Sebagai wujud sebuah negara, Khilafahlah yang akan menerapkan segala perkara yang telah Allah wajibkan atas kaum muslim berupa hukum-hukum Islam, baik terkait perundangan, pemerintahan, ketenteraan, perekonomian, sosial, pendidikan, mahupun politik luar negeri.

 

Khilafah ditegakkan atas perintah Allah kepada kaum muslim untuk memperbaiki kehidupan mereka, menjauhkannya dari sikap fanatisme sempit. Khilafah bukanlah negara bagi sekelompok orang atau mazhab tertentu. Sebaliknya, Khilafah memandang semuanya sebagai keseluruhan yang perlu ditangani dan memberlakukan Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.

 

Khilafah juga bukan negara milik keturunan atau bangsa tertentu. Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang bukan Arab, tidak pula ada kelebihan atas orang kulit hitam terhadap orang kulit putih, kecuali ketakwaannya.

 

Khilafah Islamiyah menjadi milik seluruh kaum muslim sehingga mereka dituntut untuk mendirikan dan memeliharanya sebagai suatu kewajipan yang diletakkan di bahu-bahu mereka. Bahkan, menerapkan sistem hukum Islam dalam bingkai Khilafah merupakan kewajipan terbesar umat ini. Ini bermaksud, mencampakkan dan melalaikan kewajipan tersebut merupakan kemaksiatan terbesar dari berbagai kemaksiatan yang ada.

 

Kaum muslim juga dibanjiri dengan berbagai masalah yang menggunung tanpa dapat diselesaikan. Dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “Siapa saja yang mati, sedangkan di bahunya tidak ada baiat (ketaatan kepada seorang Khalifah), matinya bagaikan mati jahiliah (dosa besar).”

 

Khilafah Islamiyah bukanlah negara yang hanya menguruskan kaum muslim. Semua orang yang berstatus warganegara, baik muslim mahupun non-muslim, memiliki hak dan layanan yang sama secara sempurna. Semuanya dapat menikmati hak-hak serta kewajipan-kewajipan syarie tanpa diskriminasi. Tidak akan jumpa jurang perbezaan di hadapan perundangan. Urusan darah, harta benda dan jiwa kaum non-muslim juga terpelihara dan dilindungi.

 

Khilafah -dahulu- adalah pemimpin dunia, penjaga Islam dan kaum muslim serta penghina kekufuran dan orang-orang kafir. Namun, orang kafir telah berusaha untuk menghancurkannya dengan kekuatannya sehingga akhirnya mereka mampu memusnahkan Khilafah.

 

Setelah kaum muslim mula sedar akan keislaman mereka, orang-orang kafir itu pun kemudian mempersenjatai diri dan mengawal boneka-boneka mereka yang terdiri dari kalangan para penguasa kaum muslim, termasuk beberapa orang dari putera-puteri kaum muslim yang menjadi ejen bayaran mereka -yang dimana semuanya diberikan arahan untuk memerangi Islam, menumpaskan para pengemban dakwahnya dan mencegah kembalinya Khilafah dan Islam ke tampuk pemerintahan.

 

Semua kejahatan mereka ini bertujuan untuk melemahkan kaum muslim dan agar mereka terpecah-belah tanpa ada seorang pun yang bertanggungjawab terhadap urusan mereka, serta mengikat mereka agar tetap tunduk di bawah hegemoni orang-orang kafir. Dengan demikian, Islam akan tetap jauh dari kehidupan dan peradaban Barat yang kufur serta rosak dapat terus menginjak-injak dan menindas kaum muslim.

 

Kerana itu, sudah saatnya umat ini membuang sikap ketidakpeduliannya, mencampakkan perselisihan dan perpecahan antara kelompok, membuang jauh-jauh fanatisme kebangsaan, golongan, parti, mazhab dan yang sejenisnya. Umat Islam sepatutnya bersatu menyongsong kemenangan dan pertolongan Allah dengan berdakwah, membina umat dengan Islam, membongkar makar-makar jahat pihak kufar dan sekutunya serta meraih kepemimpinan umat.

 

Ketika ini, kaum muslim dihadapkan pada pilihan-pilihan yang menyangkut hidup dan matinya, kemuliaan atau kehinaanya atau kemenangan dan kekalahannya. Pilihan kita adalah sebagaimana sikap dan jawapan Rasulullah SAW. kepada bapa saudaranya, Abu Thalib, “Demi Allah, seandainya matahari diletakkan di tangan kananku, dan rembulan diletakkan di tangan kiriku agar aku mencampakkan perkara ini (iaitu dakwah Islam untuk menerapkan hukum Islam melalui bingkai Daulah Islamiyah), maka aku tidak akan meninggalkannya atau aku binasa kerana (perjuangan untuk menegakkan)-nya.”

 

Ini menunjukkan bahawa menyampaikan dakwah Islam, mendidik umat ini dengan Islam, mengungkap makar jahat pihak-pihak kafir dan sekutunya serta meraih kepemimpinan umat adalah termasuk perkara yang menyangkut hidup dan matinya umat.

 

Cita-Cita Umat

 

Saat ini, sepatutnya Islam telah menjadi cita-cita kalian dan kembalinya Khilafah sepatutnya menjadi harapan dan dambaan seluruh umat manusia. Berhukum dengan apa yang Allah turunkan juga perlu menjadi tujuan kita.

 

Oleh kerana itu, berjuanglah untuk mewujudkan semua itu agar kita dapat menolak tipu-daya orang-orang kafir serta mengembalikan Khilafah dan menerapkan hukum yang telah Allah turunkan. Berjuanglah agar kemuliaan hanya milik Allah, Rasul-Nya, agama-Nya dan orang-orang mukmin.

 

Sesungguhnya, Allah telah memuliakan kita dengan Islam dan menjadikan kita mulia kerananya. Allah SWT. berfirman, “…Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman…” [TMQ Al-Munaafiqun (63): 8]

 

Bersegeralah menuju aktiviti yang Allah dan Rasul-Nya redhai dan beramallah dengan orang-orang yang berjuang untuk menerapkan ketentuan Allah dengan menegakkan Khilafah Rasyidah ala minhajin nubuwwah agar kita memperolehi kemenangan di dunia dan juga akhirat.

 

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” [TMQ As-Saff (61): 8]

 

Rasullullah SAW. telah menyampaikan berita gembira buat orang-orang mukmin melalui sabda Baginda, “ Telah datang masa kenabian di tengah-tengah kalian -sesuai kehendak Allah-, kemudian masa kenabian itu akan diangkat oleh Allah sehingga masa itu pun berlalu. Kemudian akan datang masa Kekhalifahan yang berjalan sesuai dengan minhaj kenabian, yang akan tetap ada selama Allah berkehendak, lalu masa itu pun berlalu. Kemudian akan datang masa mulkan adhan (kekuasaan yang represif), yang akan tetap ada selama Allah menghendaki, lalu masa itu pun berlalu. Kemudian akan datang masa mulkan jabariyyan (penguasa diktator yang bengis sebagaimana para penguasa muslim yang ada saat ini-pen) selama Allah menghendaki, lalu masa itu pun berlalu atas kehendak Allah. Kemudian akan datang masa Kekhalifahan yang berjalan sesuai dengan minhaj Nabi. Kemudian Rasulullah diam.” (HR Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi).

 

Setelah Khilafah dijatuhkan, Barat semakin sewenangnya menerapkan dan menyebarkan ideologi sekular kapitalisnya ke seluruh dunia terutamanya ke Dunia Islam yang kaya dengan sumber daya alam. Pada pertengahan abad ke-20, usaha itu dihambat oleh Uni Soviet yang juga berusaha untuk menerapkan dan menyebarkan ideologi sosialisme-komunisme. Tetapi, pada akhir abad ke-20, Amerika Syarikat telah memimpin dunia dengan ideologi sekular kapitalisme.

 

Usaha untuk mengembalikan kepimpinan Islam sememangnya hanya mampu dilaksanakan dalam satu barisan yang terpimpin, satu formasi ideologi. Tanpa formasi yang rapi, tenaga 1.5 billion umat Islam tidak akan fokus dalam perjuangannya.

 

Bukankah Amerika, Britain, Perancis atau Uni Soviet juga hanya mampu melaksanakan misi ideologi mereka dalam suatu formasi dan struktur yang rapi dengan sebuah negara sebagai panglimanya? Negara mereka peduli terhadap pendidikan, perkembangan teknologi, penerapan ekonomi yang menjamin kemakmuran bangsanya dan politik luar negara yang melindungi kepentingan warganya di seluruh dunia.

 

Khatimah

 

Memang, mendirikan semula Daulah Khilafah tidak semudah membalikkan tangan, juga tidak “semudah’ melakukan rampasan kuasa tentera yang penuh kekerasan (power of muscle), mahupun memenangi pilihan raya dengan sokongan logistik (power of money). Kita perlu betul-betul memahami sejarah perjuangan Rasulullah SAW. dalam mengubah pemikiran dan perasaan umat agar mereka bersedia untuk memperjuangkan penerapan Islam sekalipun menanggung penderitaan yang luar biasa. Inilah kepemimpinan berfikir (qiyadah fikriyah) yang merupakan kunci dari kejayaan para nabi.

 

Untuk itu, sudah saatnya bagi semua gerakan dakwah, para ulama dan cendekiawan, juga tokoh-tokoh politik, untuk bersama-sama mengkaji dan menggali lebih dalam mengenai konsep dan sistem Khilafah yang sebenarnya.

 

Dalam berbagai hadisnya, Rasulullah SAW. mengabarkan berita gembira tentang kembalinya semula Khilafah, iaitu setelah era kekuasaan-kekuasaan sekular (mulkan jabariyyan), sebagaimana Baginda SAW. pernah memberikan khabar gembira tentang pembebasan Konstantinopel. Wallahualam bissawab.

 

#KapitalismeSengsarakanUmat

#KhilafahPerisaiHakiki

#IslamSolusi

#Khilafah

Exit mobile version