Dampak Sistem Penjajah dan Nasionalisme Terhadap Umat Islam
Oleh : Farisha Aris
Hakikatnya hari ini umat Islam sedang berada dalam belenggu sistem warisan penjajah yang telah ditinggalkan sejak 66 tahun yang lalu. Walaupun era pendudukan Barat telah berakhir, Barat telah berjaya memastikan Tanah Melayu tetap tunduk dengan Sistem Sekular Barat yang seterusnya menjauhkan umat Islam daripada Sistem Islam yang syumul (sempurna). Akibatnya, banyak kerosakan, penganiayaan dan kezaliman berlaku dalam seluruh kehidupan manusia terutamanya di tanah umat Islam.
Sistem Demokrasi Merampas Hak Allah SWT dalam Menetapkan Hukum
Sistem Barat berpegang kepada akidah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan dan negara). Melalui akidah sekularisme, Barat melahirkan sistem kapitalisme dan idea demokrasi (kebebasan). Sistem-sistem Barat inilah yang diterapkan sehingga hari ini dalam kehidupan kita. Para pemimpin umat Islam yang dipilih oleh rakyat dipertanggungjawab oleh barisan penjajah untuk menerapkan undang-undang Barat dalam segala sisi urusan kehidupan. Buktinya, undang-undang di Malaysia adalah hasil pungutan suara majoriti di Parlimen yang menjadi tunjang kepada demokrasi. Kesannya, segala undang-undang Allah yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah tidak berjalan kerana pungutan suara majoriti gagal dicapai. Kejamnya sistem demokrasi telah merampas hak Allah SWT dalam menetapkan hukum. Firman Allah SWT: “Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al- Maidah (5): 50]. Allah SWT berfirman, “Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6): 57]. Ternyata, demokrasi telah menjadi hambatan dalam penerapan hukum Islam sebaliknya menyuburkan kemaksiatan. Atas tiket kebebasan dalam demokrasi, wanita bebas berpakaian, konsert merata-rata, tekanan ekonomi, riba’ bermaharajalela, zina berleluasa dan pelbagai lagi kerosakan yang berlaku. Atas segala kesalahan ini, tiada undang-undang untuk mencegah kemaksiatan ini daripada terus terjadi dan tiada undang-undang untuk menghukum pesalah, sebaliknya pesalah syariat Islam dibiarkan bebas untuk terus bermaksiat.
Nasionalisme Mendorong Perpecahan dan Menjauhkan Kesatuan Umat
Semangat cinta akan bangsa (nasionalisme) ajaran penjajah diteruskan dengan peranan pemerintah menyemarakkannya ke segenap hati dan minda rakyat. Nasionalisme adalah racun yang mematikan perasaan kasih sayang dan menghambat penyatuan umat Islam di seluruh dunia. Akibatnya, umat Islam memandang penderitaan umat Islam di negara lain sebagai masalah asing yang tidak ada hubungannya dengan mereka. Begitu juga pemimpin umat Islam yang mengutamakan kepentingan politik, sempadan nasional, dan ketundukan kepada pihak Barat sehingga sanggup berdiam diri tanpa bangkit membela nasib umat Islam yang sedang menderita dan dizalimi oleh puak kufar. Situasi genting yang sedang berlaku di Palestin telah mengorbankan puluhan ribu nyawa. Para pemimpin tega membiarkan Palestin berjuang sendirian mempertahankan tanah mereka dengan darah dan jiwa. Sedangkan tanah tersebut adalah milik umat Islam keseluruhannya. Begitu juga nasib umat Islam di negara-negara lain seperti Muslim Rohingya, Uighur, Kashmir, Syria, Yaman yang sedang menderita. Padahal Allah SWT telah berfirman, “Sesungguhnya, orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.” [TMQ Al-Hujurat (49): 10]. Allah SWT juga berfirman, “(Tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, kamu wajib memberikan pertolongan.” [TMQ Al-Anfal (8): 72].
Dampak Sistem Kufur ke atas Dunia Islam
Sistem warisan penjajah merupakan sistem kufur ciptaan manusia yang diterapkan ke atas umat Islam. Sebaliknya, hukum Islam yang berasal daripada Allah SWT dibiarkan tanpa penerapan. Maka tidak hairanlah pelbagai permasalahan terus berlaku. Ini terbukti apabila kadar indeks jenayah terus meningkat dengan jumlah kes jenayah seksual meningkat 2.9 peratus dengan 3,303 kes pada 2022 berbanding 3,209 kes pada 2021, jumlah jenayah komersial sebanyak 30,536, jumlah jenayah kekerasan dan jenayah harta benda masing-masing menyumbang sebanyak 10,348 kes dan 40,465, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) [buletintv3, 2/11/2023]. DOSM juga melaporkan kadar pengangguran masih tidak menunjukkan pengurangan yang ketara iaitu kadar pengangguran di Malaysia pada November 2023 ialah 3.3 peratus dengan 569,200 penganggur, berbanding 3.4 peratus dicatatkan pada Oktober [AstroAwani, 10/10/2024].
Sementara itu, hutang ribawi juga semakin meningkat seperti yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi yang menunjukkan hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir tahun 2022 mencecah RM1.08 trilion, meningkat sebanyak RM99.777 bilion atau 10.2 peratus berbanding RM979.814 bilion tahun lalu [Kosmo, 10/10/2023]. Harga makanan turut melambung tinggi dan kos sara hidup turut meningkat. Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024, beberapa kajian menunjukkan isu kos sara hidup serta kadar simpanan dan gaji yang rendah semakin membimbangkan dan terus mengekang kemajuan usaha pemulihan isi rumah [Hmetro, 10/10/2023].
Penjajah turut mewariskan fahaman liberalisme yang mengangkat nilai-nilai kebebasan. Inilah punca ketidakstabilan politik dan ekonomi negara sejak dahulu lagi. Perpecahan di kalangan pemimpin-pemimpin yang mempunyai fahaman politik yang berbeza juga memberi impak dalam tadbir urus negara dan rakyat menjadi mangsanya. Para pemimpin lebih berminat meraih manfaat daripada jawatan dan kuasa yang dimilikinya. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa sinonim dengan mereka. Lebih parah lagi para pemimpin umat Islam sanggup mendahulukan kepentingan sendiri dan mengkhianati umat Islam. Mereka dengan rancaknya mengadakan perjanjian antarabangsa dengan negara-negara Barat sama ada terkait kerjasama ekonomi, perdagangan, ketenteraan, budaya, politik dan sebagainya. Segala perjanjian dan kerjasama ini menuntut mereka untuk tunduk kepada undang-undang antarabangsa yang jelas berteraskan undang-undang kufur. Bukan sekadar menguasai dan merampas sumber alam yang tidak terkira banyaknya di negara-negara kaum Muslimin tetapi penjajah mempunyai misi penting untuk mengawal politik umat Islam agar tidak menggugat hagemoni puak kufar di dunia Islam. Semua strategi dan propaganda yang mereka lakukan semata-mata untuk memastikan kepentingan penjajahan mereka akan berpanjangan.
Kesimpulan
Berdasarkan paparan di atas, maka dengan jelas membuktikan firman Allah dalam al-Quran: “Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan mengumpulkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Taha (20):124]. Oleh yang demikian, setiap individu muslim wajib istiqamah dalam melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta mewujudkan kesedaran politik yang benar untuk melepaskan diri daripada belenggu sistem penjajah. Umat Islam seharusnya peka terhadap situasi politik semasa dalam negara dan internasional dengan sudut pandang universal dan khas iaitu ideologi (mabda’) Islam kerana setiap peristiwa politik yang berlaku pasti tersimpan maksud tersirat yang mesti difahami dari sudut pandang Islam. Seterusnya, negara melalui pemimpin-pemimpinnya hendaklah kembali menerapkan syariat Islam secara keseluruhan tanpa mengabaikan syariat-Nya sedikit pun. Sesungguhnya Allah SWT akan memberi kelapangan dan jalan keluar daripada setiap kesulitan dan kesempitan hidup. Allah SWT telah berjanji sebagaimana firman-Nya, “Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan memberikan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” [TMQ at-Talaq (65): 2–3]
Wallahu A’lam Bishawab.

