Site icon MuslimahHTM News

[Ath-Thariq] Kita dan Perubahan (Bahagian 1/5)

[Ath-Thariq] Kita dan Perubahan (Bahagian 1/5)

Penulis: Syekh Ahmad Athiyat

 

Sesungguhnya penduduk negeri ini (Islam), khususnya kaum muslim, merekalah yang paling memerlukan perubahan ini. Tiada lain kerana keinginan yang dimiliki oleh sebahagian bangsa untuk melakukan perubahan tidak lebih hanya sebuah upaya mencapai keadaan yang lebih baik, maka keinginan tersebut apabila dikaitkan dengan kaum muslim merupakan upaya penyelamatan diri dari kehancuran. Oleh kerana itu, keinginan ini sangat penting dan menentukan kelangsungan hidup umat sehingga tuntutan dan keinginan ini tidak boleh ditunda, ditangguh, dan ditawar-tawar lagi.

 

Kita, sebagai muslim, sejak hampir setengah abad yang lalu telah melalui keadaan yang paling buruk, kemunduran yang sangat memalukan, kehinaan dan kerendahan yang amat memilukan sehingga saya tidak melihat seorang pun yang tidak memahami dan merasakan realiti yang saya paparkan ini, kecuali salah satu dari dua orang berikut, orang bodoh yang tenggelam dalam kebodohannya sehingga buta mata dan hatinya, dan orang yang mengaku berpihak dan menjadi bahagian dari umat ini, sedangkan sebenarnya ia tidak memihak pada umat sedikit pun, baik jauh ataupun dekat, dan umat berlepas diri darinya sedang keberpihakannya itu seperti berlepasnya serigala dari darah Yusuf as.

 

Adapun yang mendorong kami untuk memberikan pernyatan seperti ini adalah bahawa situasi dan keadaan buruk yang telah dan masih mengongkongi kita saat ini begitu tajam dan keras menghimpit sehingga walau betapa bodoh dan dungunya seseorang, nescaya dia akan dapat merasakannya.

 

Oleh kerana itu, mengubati golongan pertama (kebodohan dan kebutaan) menjadi suatu hal yang mungkin walaupun menjadi perkara yang sukar, sedangkan mengubati golongan kedua termasuk hal yang mustahil kerana golongan ini bagaikan bahagian tubuh yang terkena kanser (gangren) yang mana hingga sekarang para doktor belum mampu menyembuhkan penyakit ini, kecuali dengan memotongnya. Oleh kerana itu, kita tidak mungkin menyembuhkan golongan kedua ini, kecuali dengan mengamputasinya.

 

Walaupun saya percaya bahawasanya umat ini secara keseluruhan telah mencapai tahap menyedari dan mengindera sehingga tidak perlu penjelasan dan penerangan akan realiti yang selama ini ada, tetapi saya tetap terdorong untuk memberikan penjelasan yang memaparkan rosaknya realiti yang sedang kita jalani sekarang ini, agar menjadi peringatan bagi mereka yang lalai dan lupa dan menjadi motivasi bagi mereka yang berakal dan menyedarinya. Bagi memudahkan penjelasan ini saya akan membahagi perbahasan singkat ini menjadi beberapa aspek, yakni:

 

  1. Bidang Politik

 

Berbagai bukti yang ada menunjukkan bahawa umat ini selama beberapa kurun yang panjang menjadi umat terdepan di dunia, pemilik negara, peradaban, dan tsaqafah yang paling utama di alam ini yang dunia seluruhnya memperhitungkannya, takut akan terkaman dan serangannya, dan mahu mendengarkan perintahnya, baik atas dasar kebencian ataupun ketaatan. Umat ini, dengan negara, peradaban, madaniyah, dan tsaqafah-nya, sekarang ini berada di deretan belakang yang tergilas kuku kaki unta perang dan alas kaki orang kerdil yang hina.

 

Setelah negara ini menjadi negara yang satu, kuat, dan mulia, ia pun tercabik dan terkoyak menjadi serpihan (boneka dan negara kecil) yang hampir tidak terhingga jumlahnya yang secara berlebihan, bahkan penuh dusta dan kebohongan, diberi label negara. Setelah penghuni negara ini, negara Islam, dapat mengangkat kepala di seluruh penjuru bumi dengan bangga dan mulia, kerana mereka menjadi salah satu penjaga negara agungnya dan anak-anak peradabannya yang tinggi, serta pemilik madaniyah dan tsaqafah yang maju, maka hari ini penghuni negara tersebut menundukkan kepala penuh hina dan rasa malu bila dikaitkan dengan umat ini

 

Setelah seorang muslim tidaklah keluar dari tanah negara Islam yang mulia dihantarkan ke seluruh penjuru bumi, kecuali menjadi seorang prajurit perang yang berjuang untuk meninggikan kalimat Allah, atau menjadi amir untuk wilayah yang telah ditaklukkan oleh tentara Islam, atau menjadi petunjuk yang mengemban agamanya, yang menyeru manusia ke pangkuan negara Islam sehingga berjaya mengeluarkan mereka dari kegelapan ke dalam cahaya, dan kezaliman berbagai agama kepada keadilan Islam, yang sentiasa meyakini bahawa Islamlah agama yang paling benar dan luhur, maka seorang muslim pada saat ini tidaklah keluar dari negara-negara bonekanya, kecuali menjadi pelarian kerana takut akan kezaliman politik negaranya, atau kerana kemiskinan ekonominya, ke Amerika sebagai buruh pembuangan sampah di New York atau Washington, atau ke Perancis menjadi pelayan di Paris, atau menjadi gelandangan yang meminta-minta di jalanan London dan Stockholm, atau yang lainnya.

 

Setelah seorang ketua negara Islam (atau siapa pun yang menjadi penguasa) tidaklah keluar dari negaranya kecuali menjadi seorang panglima perang tenteranya untuk menyongsong kemuliaan dan keluhuran serta untuk meninggikan kebenaran (hak) dan menyebarkan cahaya Islam, maka saat ini para pemimpin itu tidak keluar dari bumi kaum muslim kecuali menjadi pelawat Rumah Putih (White House), Downing Street, atau Kremlin untuk menerima berbagai macam perintah para tuannya (pemimpin negara maju di sana) dan sebelum kembali ke negerinya mereka bermain judi di casino, dihidang dengan berbagai jenis minuman keras yang memabukkan, dan kembali ke negeri-negeri kaum muslim untuk melaksanakan segala titah tuan sepenuhnya tanpa kecuali.

 

Bersambung ke bahagian 2/5

 

Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)

 

#aththariq #perubahan #kebangkitan

Exit mobile version