Site icon MuslimahHTM News

[Syarah Hadis] Politik dan Kepimpinan

[Syarah Hadis] Politik dan Kepimpinan

 

“Dahulu Bani Israil diurusi dan dipelihara oleh para nabi, setiap kali seorang nabi meninggal digantikan oleh nabi lain, dan sesungguhnya tidak ada nabi sesudahku, dan akan ada para khalifah, dan mereka banyak.” Para Sahabat bertanya, “Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Nabi bersabda, “Penuhilah baiat yang pertama dan yang pertama, berikanlah kepada mereka hak mereka, dan sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawapan mereka atas apa yang mereka diminta untuk mengatur dan memeliharanya.” [HR Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Ahmad].

 

Makna dan faedah yang terkandung dalam hadis tersebut ada beberapa perkara penting.

 

Pertama, bahawa dahulu Bani Israil dipimpin, diatur, dan dipelihara urusan mereka oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, Allah SWT mengutus nabi yang lain untuk memimpin, mengatur, dan memelihara urusan mereka.

 

Kedua, sabda Rasulullah SAW, “tasûsuhum al-anbiyâ’.” Ibnu Hajar al-‘Ashqalani di dalam Fathu al-Bârî menjelaskan maknanya, “Iaitu jika nampak di tengah mereka kerosakan, Allah SWT mengutus seorang nabi kepada mereka untuk mengatur urusan mereka dan menghilangkan hukum Taurat yang telah mereka ubah. Dalam hal ini terdapat isyarat bahawa mesti ada bagi rakyat orang yang mengatur urusan mereka, membimbing mereka ke jalan yang baik dan memberi keadilan kepada orang yang dizalimi dari orang yang zalim.” Menurut As-Suyuthi dalam Ad-Dibâj ‘alâ Shahih Muslim maknanya “iaitu yang menjalankan urusan mereka.”

 

Ketiga, hadis ini menjelaskan makna as-siyâsah (politik). As-siyâsah (politik) maknanya adalah ri’âyah syu’ûn al-ummah (pengaturan dan pemeliharaan urusan-urusan umat).

 

Keempat, bahawa Nabi SAW juga menjalankan peranan politik sebagaimana nabi-nabi Bani Israil. Ertinya Nabi SAW juga berperanan memimpin, mengatur, dan memelihara urusan umat. Dengan demikian, pada saat yang sama, Nabi SAW menduduki dua jawatan sekaligus: jawatan kenabian dan jawatan politik kepimpinan umat dengan menjadi ketua negara di Madinah.

 

Kelima, bahawa tidak akan ada nabi sesudah Rasulullah SAW. Ertinya siapa sahaja yang mengaku sebagai nabi sesudah baginda, maka orang itu adalah pendusta.

 

Keenam, kerana sesudah baginda tidak ada nabi, timbul pertanyaan, “Siapa yang menjalankan politik iaitu mengatur dan memelihara urusan umat sesudah baginda?” Bahkan hal ini secara eksplisit ditanyakan oleh para sahabat seperti dalam riwayat Abu ‘Awanah, Ibnu Majah, dan Ibnu Abiy Syaibah. Jawapan baginda adalah, “sayakûnu khulafâ`u fa yaktsurûn—akan ada para khalifah dan mereka ada banyak”. Maknanya adalah bahawa kalian wahai kaum muslim, urusan kalian akan diatur dan dipelihara oleh para khalifah. Jadi baginda sudah menentukan siapa yang akan mengatur dan memelihara urusan kaum muslim. Baginda sudah menentukan bahawa pengganti baginda yang menjalankan peranan politik terhadap umat adalah khalifah. Ertinya Nabi SAW juga sudah menentukan sistem politik kaum muslim sesudah baginda adalah sistem Khilafah. Mafhum sabda baginda itu, bahawa selain amir bukanlah penguasa dan bahawa selain khalifah tidak boleh menjalankan peranan politik secara praktik terhadap rakyat. Hadis ini adalah dalil bahawa pengaturan dan pemeliharaan (siyâsah/ri’âyah syu’ûn) rakyat secara praktik hanyalah kekuasaan penguasa dan bukan selain penguasa.

 

Ketujuh, di dalam hadis di atas Rasulullah SAW memerintahkan untuk memenuhi baiat pertama yang sah secara syar’ie. Mafhumnya, selain baiat pertama tidak boleh dipenuhi. Jadi hadis ini juga mengisyaratkan tidak bolehnya dibaiat dua khalifah pada satu masa. Bahkan di dalam hadis lain dinyatakan, jika ada dua orang mengaku sebagai khalifah, Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuh yang lebih akhir dibaiat secara syar’ie.

 

Kelapan, “a’thû haqqahum” maknanya penuhilah hak khalifah yang sah itu. Iaitu di antaranya taatilah mereka selama mereka tidak memerintahkan kemaksiatan.

 

Kesembilan, Allah akan meminta pertanggungjawapan penguasa atas pengaturan dan pemeliharaan urusan rakyat. Jadi kekuasaan selain itu mestilah bertanggung jawab kepada rakyat, penguasa juga mesti bertanggung jawab kepada Allah SWT. Wallahu’alam bissawab.

 

Sumber: https://tsaqofah.id/politik-dan-kepemimpinan/

 

Exit mobile version