Site icon MuslimahHTM News

Penderitaan Umat Islam Tanpa Pembelaan Pasca Runtuhnya Daulah Khilafah

Penderitaan Umat Islam Tanpa Pembelaan Pasca Runtuhnya Daulah Khilafah

Penulis: Ummu Yaasir

 

Telah genap 100 tahun sejak kali terakhir Sultan Abdul Majid II terpaksa meninggalkan kedudukannya sebagai Khalifah Daulah Islam terakhir di Turki iaitu Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924 lalu oleh tali barut British paling menjengkelkan iaitu Mustafa Kamal Ataturk. Penurunan Sultan Abdul Majid II dari kedudukan kekuasaan tertinggi dalam struktur politik Islam ini menandakan bahawa telah runtuhnya Daulah Khilafah yang menaungi kesejahteraan umat Islam dan semua yang berada di bawahnya selama lebih kurang 1300 tahun sejak Rasulullah SAW mendirikan Daulah Islam pertama di Madinah. Situasi dan keadaan yang menyayat hati umat Islam seluruh dunia ini telah memberi kesan buruk yang amat mendalam kepada semua Muslimin sehingga ke saat ini.

 

Punca utama keruntuhan Daulah Khilafah ini tidak lain adalah kerana kedengkian kafir Barat atas kesejahteraan, kekayaan, kesatuan dan keharmonian umat di bawah naungan Daulah Khilafah. Semua itu adalah kerana sistem politik yang dipraktikkan dalam pentadbiran Khalifah iaitu sistem politik Islam yang menjadikan penerapan syariat Islam sebagai landasan utama pemerintahan. Oleh itu, atas dasar iri hati dan tamakkan kuasa, maka kafir Barat berusaha memusnahkan syariat Islam ini dengan menghilangkan institusi Khilafah yang mentadbir dan mengurus umat. Atas kehendak Allah SWT, mereka berjaya maka Khalifah sebagai junnah umat ini jatuh dan tidak lagi menjadi perisai dan pembela umat. Maka, pada saat ini, kafir Barat memperlakukan umat Islam dengan sewenang-wenangnya dan memijak-mijak maruah umat Islam yang mulia. Lihat saja keadaan umat pada saat ini yang ketiadaan pembela, umat Islam di Palestin dibunuh sesuka hati, Muslim Rohingya disepak terajang hingga mati di lautan, Muslim Uyghur dimalukan dengan dipaksa makan makanan haram dan banyak lagi realiti umat Islam yang disembelih saban waktu oleh kafir. Ketiadaan Khalifah sebagai pengurus umat menjadikan umat Islam tidak diurus dan dibela dengan sebaik-baiknya. Bukankah Islam itu suatu Rahmat kepada alam? Kedaulatan umat Islam ini terbela apabila kedaulatan Daulah dijaga tetapi lihatlah keadaan umat sekarang. Ditambah dengan kelemahan pemikiran umat Islam zaman global ini tentang kesedaran politik Islam telah menyumbang kepada pertambahan kerosakan dan kelalaian umat, hasil dari pengaruh kafir ke atas umat Islam sejak sebelum kejatuhan Daulah Khilafah lagi.

 

Ditambah dengan sistem ekonomi Islam yang sangat adil dan saksama, pengagihan hasil kekayaan tanah-tanah umat Islam yang diberkati dengan kepelbagaian hasil bumi dan amat subur ini memberi kenikmatan kepada seluruh warga Daulah Islam. Hasil galian gas dan minyak, bahan besi, emas, agro pertanian dan banyak lagi hasil bumi lain bernilai trilion ringgit yang menjadi asas kepada kemajuan sains dan teknologi zaman moden banyak terdapat di wilayah umat Islam. Dengan keuntungan yang amat banyak dan mengkayakan kepada sesiapa yang mengusahakannya, maka kafir Barat juga turut ingin mendapatkannya. Malangnya, kekayaan hasil bumi umat Islam ini telah  diratah oleh kafir dan keuntungannya telah dilahap oleh mereka dan sekutu mereka.  Walhasil, kekayaan tanah umat Islam ini tidak dapat dikecapi oleh umat Islam sendiri kerana telah dicuri oleh kafir dan sekutu mereka lalu menjadikan umat Islam seperti merempat di tanah air sendiri kerana terpaksa mengemis meminta simpati kafir untuk meneguk hasil bumi di tempat sendiri! Inilah dasar ekonomi kapitalis barat yang telah diimplementasi di wilayah Islam yang menghalalkan pelakunya untuk bebas memiliki apa saja yang mereka idamkan hatta dengan cara yang paling keji. Gunung emas di Papua, sebuah wilayah di Indonesia habis ditarah oleh Amerika Syarikat dengan izin Presidennya dengan bayaran yang langsung tidak setimpal sedangkan kekayaan itu sepatutnya diagihkan sama rata kepada warganya. Penjajahan ekonomi ini masih lagi berlaku hingga hari ini kerana ketundukan pemimpin Islam kepada sistem ekonomi kapitalis dan kesetiaan mereka kepada kafir Barat. Kesannya, pemimpin Islam hilang taring dalam isu-isu membela umat Islam seluruh dunia apabila ditekan teruk oleh si kafir.

 

Selain itu, penderitaan umat juga boleh dilihat dengan sangat jelas dalam sistem sosial. Sentimen provokasi Islamofobia banyak dilaungkan oleh media Barat dalam rangka menimbulkan kebencian dan persengketaan dengan umat Islam yang berimigrasi ke negara Barat. Media arus perdana di sana banyak memainkan peranan dalam memfitnah umat Islam sebagai pengganas, pedofil dan label buruk yang lain menyebabkan non-Muslim di sana percaya dengan sentimen jahat tersebut. Kesannya, umat Islam di sana mengalami ancaman bunuh setiap hari bahkan ada yang memperlecehkan umat Islam dengan ancaman rogol, menarik tudung, gangguan seksual, diskriminasi sosial dalam beraktiviti harian akibat. Ditambah dengan perkembangan teknologi di media sosial, pengaruh jahat ini lebih mudah tersebar dan meluas cakupannya menyebabkan diskriminasi sosial ke atas umat Islam ini semakin teruk dan menekan.

 

Semua penderitaan dan penyeksaan yang di alami umat Islam pada saat ini adalah kesan daripada ketiadaan penjaga, pembela dan perisai umat. Itulah Khalifah yang mentadbir Daulah Khilafah atas dasar penerapan hukum syariat Islam. Riwayat hadis dari jalur Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda;

 

“Sesungguhnya seorang imam itu [laksana] perisai. Dia akan dijadikan perisai, di mana orang akan berperang di belakangnya dan digunakan sebagai perisai.” [HR Bukhari dan Muslim]

 

Usaha untuk mendirikan semula Daulah Khilafah ini perlulah dilakukan oleh semua umat Islam agar nasib dan maruah kita dapat dibela dengan sebaiknya dan pelaku kejahatan kita dapat dihukum dengan sebenar-benar hukuman.Seruan kepada penyatuan umat juga wajib dilakukan kerana hanya dengan penyatuan umat yang mempunyai pemikiran Islam yang sama dan senada sahaja dapat membantu dalam mengembalikan Daulah Khilafah seperti firman Allah SWT:

 

“Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku.” [TMQ Al-Mu’minun (23): 52]

Exit mobile version