[Hukum Fikh] Dalam Ketiadaan Khilafah, kepada Siapa Zakat Ditunaikan?
Oleh: Syeikh ‘Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Soalan:
Assalamu‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuhu.
Ya Syaikhuna, ada perbezaan pendapat, kepada siapa zakat dibayarkan? Adakah kepada pemerintah, sedangkan sudah diketahui pemerintah itu tidak mengelola zakat pada pos-pos pembelanjaan yang sudah dikhususkan untuk zakat, ataukah zakat itu dibayar terus kepada orang-orang fakir dan miskin? Kami mohon penjelasan disertai penyebutan dalil-dalil, dan semoga Allah memberi Anda balasan yang lebih baik. (Muhammad Adil Jamil al-Ghawli)
Jawapan:
Wa’alaikumussalam wa rahmatullah wa barakatuhu.
Berkaitan dengan zakat, maka zakat dalam Islam ditunaikan sebagai berikut:
Zakat emas dan perak (wang) boleh ditunaikan kepada orang yang memiliki kuasa atas zakat dalam daulah dan dia yang menyampaikannya (mengagihkan) kepada orang yang berhak atas zakat. Boleh juga ditunaikan oleh muzaki kepada orang-orang yang berhak, iaitu 8 golongan ashnaf yang disebutkan di dalam ayat yang mulia,
﴿إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ﴾
“Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah, dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (TMQ At-Taubah [9]: 60).
Zakat binatang ternak serta zakat hasil pertanian dan buah-buahan, ditunaikan kepada orang yang berkuasa atas zakat dalam daulah, dan dia yang menyampaikannya kepada orang-orang yang berhak. Tidak boleh zakat binatang ternak dan zakat pertanian dan buah-buahan ditunaikan (dibayar) terus oleh pemiliknya tanpa melalui daulah.
Akan tetapi, ini yang sepatutnya dipraktikkan ketika Daulah Islamiyah akan kembali nanti. Ketika itu Allah memberikan jalan keluar kepada umat Islam dan menolong umat Islam dengan tegaknya Khilafah Rasyidah. Pada saat itu, zakat binatang ternak serta zakat hasil pertanian dan buah-buahan wajib melalui daulah dan bukan melalui individu. Adapun pengeluaran zakat emas dan perak (wang) dan zakat perdagangan (perniagaan), maka boleh ditunaikan melalui daulah atau melalui pemiliknya (muzaki) secara langsung.
Adapun sekarang, di saat tidak ada Daulah Khilafah yang menerapkan hukum-hukum syariat, maka individu menunaikan zakat harta mereka baik berupa zakat binatang ternak, zakat hasil pertanian dan buah-buahan, zakat perdagangan, atau zakat emas dan perak secara langsung kepada orang-orang yang berhak sesuai hukum-hukum syarak dan mereka mesti benar-benar dalam keadaan itu. Wallâh waliyyu at-tawfiq.
Di dalam buku Al-Amwal fî Dawlah al-Khilâfah pada bab “Pembayaran Zakat kepada Khalifah” halaman 170 disebutkan sebagai berikut, “Zakat baik zakat binatang ternak, zakat hasil pertanian dan buah-buahan, zakat wang, ataupun zakat komoditi perdagangan, dibayarkan kepada khalifah atau orang yang mewakili khalifah dari para wali, amil, atau orang yang ditunjuk oleh khalifah di antara para su’âtu dan amil atas zakat. Allah Swt. berfirman,
﴿خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلاَتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ﴾
“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman bagi jiwa mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (TMQ At-Taubah [9]: 103).
Di dalam ayat ini, Allah Swt. memerintahkan kepada Rasul-Nya saw. untuk mengambil zakat dari para pemilik harta. Dan Rasul saw. menunjuk para wali, amil, dan su’atu atas zakat untuk mengambilnya dari para pemilik harta itu, seperti halnya beliau menunjuk para juru taksir untuk menaksir (menganggarkan) hasil kurma dan anggur. Masyarakat pada masa Rasul saw. membayar zakat kepada beliau atau kepada orang-orang yang beliau tunjuk di antara para wali, amil, dan su’atu atas zakat.
Terdapat riwayat-riwayat dari para sahabat dan tabiin atas bolehnya individu melakukan sendiri pengagihan zakat dan menempatkannya kepada orang yang berhak, dalam hal harta-harta ash-shâmitah (diam), yakni wang. Abu ‘Ubaid meriwayatkan bahawa Kaisan datang kepada Umar dengan membawa dua ratus dirham zakat. Dia berkata kepada Umar, “Wahai amirulmukminin, ini zakat hartaku.” Umar berkata kepadanya, “Pergilah dengan hartamu dan bahagikan.”
Abu ‘Ubaid juga meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas ra. yang berkata, “Jika engkau tempatkan zakat pada tempatnya (engkau bahagikan kepada yang berhak) dan engkau tidak hitung darinya seorang pun yang menjadi tanggunganmu, maka tidak apa-apa.”
Abu ‘Ubaid juga meriwayatkan dari Ibrahim dan Al-Hasan yang berkata, “Letakkan di tempatnya (bahagikan kepada yang berhak) dan sembunyikan.”
Ini pada harta yang ash-shâmit (diam/baku) yakni wang. Adapun binatang ternak serta hasil pertanian dan buah-buahan, maka wajib ditunaikan kepada khalifah atau orang yang ditunjuk oleh khalifah. Abu Bakar telah memerangi orang yang enggan membayar zakat, ketika mereka tidak mahu membayarkannya kepada para wali dan as-su’âtu yang dia tunjuk. Dia berkata, “Demi Allah, seandainya sekelompok orang menghalangi dariku apa yang dahulu mereka tunaikan kepada Rasulullah saw., sungguh aku perangi mereka atasnya.” Muttafaq ‘alayh dari jalur Abu Hurairah.
#hukumfikh #soaljawab #zakat

