Site icon MuslimahHTM News

Mencetak Generasi Pembela Islam

[Keluarga] Mencetak Generasi Pembela Islam

Oleh: Ustazah Rahmah

 

Permasalahan umat setiap hari terus bertambah dan makin membimbangkan.  Umat tidak mempunyai perisai/pelindung dari segala bentuk musibah. Akibat ketiadaan perisai, iaitu pemimpin yang menerapkan Islam secara kaffah, umat Islam ditimpa berbagai permasalahan. Misalnya kes penghinaan terhadap al-Quran, Nabi Muhamad saw. dan syariah Islam. Kes lain yang menimpa umat Islam berupa penganiayaan, penghinaan dan penjajahan seperti yang dialami saudara kita di Rohingya dan Palestin.

 

Menghadapi berbagai permasalahan tersebut, umat Islam tidak boleh diam. Keluarga-keluarga Muslim tidak boleh diam. Mereka wajib berjuang agar seluruh permasalahan itu segera mendapat solusi dengan benar dan tuntas.

 

Kita wajib berusaha membentuk keluarga pejuang yang memperjuangkan tegaknya tatanan kehidupan Islam, sekaligus keluarga pembela dan penolong agama Islam.

 

Beberapa Bentuk Usaha

Dalam membentuk keluarga pembela Islam ada beberapa perkara yang perlu dilakukan, antara lain:

 

Pertama, ibu bapa wajib mendidik anak-anaknya dengan pendidikan agama Islam. Bersama ayah, seorang ibu wajib mendidik anak-anaknya agar menjadi anak yang soleh, iaitu yang berkeperibadian Islam (yang perilakunya berdasarkan akidah Islam). Pendidikan Islam sangat penting diberikan oleh ibu bapa kepada anaknya. Rasulullah saw.:

 

مَا نَحِلَ وَالِدٌ وَلَدَهُ اَفْضَلُ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

“Tidak ada pemberian seorang ayah (ibu bapa) yang lebih utama daripada pendidikan yang baik.” (HR at-Tirmidzi).

 

Ibu bapa wajib memelihara anak-anaknya dari api neraka. Bersama ayah, seorang ibu memberi bekal ilmu-ilmu Islam kepada anak-anaknya melalui pendidikan keluarga mahupun pendidikan formal. Ibu bapa boleh menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah atau memasukkan mereka ke madrasah/pondok/lembaga pendidikan Islam yang mampu memberi bekal ilmu agama Islam yang kuat. Objektifnya agar mereka faaqih fii ad-diin (faqih dalam ilmu agama) dan berkeperibadian Islam. Dengan itu mereka kelak boleh terhindar dari azab neraka. Allah SWT berfirman:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا ٦

“Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka.” (TMQ at-Tahrim [66]: 6).

 

 

Maknanya: “Jagalah diri kalian, keluarga kalian (anak-anak kalian dan isteri-isteri kalian) dari azab api neraka. Didiklah, ajarilah mereka kebaikan (agama Islam-menerapkan aturan Islam), nescaya hal demikian akan menyelamatkan kalian dari azab neraka.” (Ibn Abbas, Tanwiir Miqbqas, 2/95).

 

Kedua, ibu bapa menjadi teladan bagi anak-anak dalam ketakwaan dan membiasakan anak-anak sentiasa bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, iaitu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya secara kaffah (menyeluruh). Ini boleh diawali dengan membiasakan melaksanakan kewajipan dan meninggalkan keharamam. Seterusnya ditingkatkan dengan melaksanakan yang sunnah dan meninggalkan yang makruh. Berikutnya dengan melaksanakan yang ihsaan dan mengganti yang mubah, yang tidak berguna, dengan menyibukkan diri pada yang wajib dan sunnah. Semua itu perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan bahagia. Allah SWT berfirman:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ  ١٠٢

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah sekali-kali kalian mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (TMQ Ali Imran [3]: 102).

 

Imam az-Zamaksari menafsirkan frasa “حَقَّ تُقَاتِهِ” iaitu benar-benar melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya (Az-Zamaksari, Tafsiir Al-Kasysyaaf, I/306).

 

Anak-anak dibiasakan dalam ketakwaan di keluarga, di sekolah dan di persekitarannya, berteman dengan teman-teman yang soleh/solehah. Selain itu, selalu dalam ketakwaan saat mengakses media dan berteman di media sosial. Seorang yang bertakwa akan sentiasa menjaga agar Allah tidak melihat dirinya di tempat larangan-Nya, dan selalu ada di tempat perintah-Nya. Sentiasa melaksanakan  perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. (Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiyah al-Awlad fii al-Islam).

 

Ibu bapa adalah guru dan teladan pertama dan utama bagi anak-anaknya. Oleh sebab itu, ibu bapa hendaklah senantiasa bertakwa. Ibu bapa mempunyai tugas mendidik anak-anak agar perilakunya sesuai dengan tuntutan Islam, bertakwa kepada Allah, menjadikan mereka semakin dekat dengan-Nya (Abdurrahman Amirah, Manhaaj al-Qur’aan fii Tarbiyah ar-Rijaal).

 

Ketiga, menanamkan kepada keluarga: “Keluargaku, kalian adalah khayru ummah (umat terbaik).” Ibu bapa harus menanamkan kepada anak-anak bahawa ajaran Islam itu mulia dan terbaik. Kita perlu bangga dan bersyukur menjadi umat Islam. Tidak ada kenikmatan melebihi iman dan Islam. Aturan Islam adalah aturan terbaik dan mampu memberikan solusi tuntas. Umat Islam adalah umat terbaik (khayru ummah).

 

Adapun keadaan umat Islam sekarang buruk adalah disebabkan tidak diterapkan Islam. Dengan demikian jika umat ini ingin mulia dan menjadi khayru ummah, mereka perlu menerapkan Islam secara sempurna. Allah SWT berfirman:

 

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ ١١٠

“Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, melakukan amar makruf nahi mungkar, dan beriman kepada Allah.” (TMQ Ali Imran [3]: 110).

 

Ibnu Abbas ra. menafsirkan ayat tersebut: “Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, melakukan amar makruf, dengan mentauhidkan Allah (tidak menyekutukan Dia) dan mengikuti Nabi Muhammad saw.; melakukan nahi mungkar, iaitu menjauhi kekufuran, syirik dan menyalahi Rasulullah; sekaligus mengimani Allah, al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya, serta  Rasulullah Muhammad saw. dan para rasul sebelumnya” (Ibnu Abbas, Tanwiir al-Miqbaas, [Tafsir QS Ali Imran ayat 110).

 

Keempat, membiasakan anak peduli terhadap permasalahan umat Islam dan beramar makruf nahi mungkar. Hal ini boleh dilakukan ibu bapa dengan menceritakan penderitaan umat Islam. Misalnya, anak anak di Palestin sekarang dalam keadaan memprihatinkan. Kita perlu mendoakan mereka. Kita juga perlu berjuang agar mempunyai pemimpin yang mampu membebaskan Palestin dari penjajahan. Hal ini boleh kita lakukan dengan berdakwah, beramar makruf nahi mungkar, sentiasa mengajak teman-temannya untuk mentaati Allah dan Rasulnya, serta mencegah untuk berbuat maksiat kepada Allah dan RasulNya. Allah SWT berfirman:

 

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ  ١٠٤

“Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebajikan dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali Imran [3]: 104).

 

Kelima, menanamkan kepada keluarga bahawa keluarga terbaik adalah keluarga penolong agama Allah. Menurut Imam al-Qaththan dalam Tafsir al-Qaththaan, menolong  agama Allah adalah dengan cara: melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan dalam Islam; menjalankan aktiviti kehidupan dan memperjuangkan tatanan kehidupan berdasarkan manhaj yang lurus (sesuai al-Quran dan al-Hadis. Nescaya Allah akan menolong kalian dengan mengalahkan musuh-musuh kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.

 

Allah SWT berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ  ٧

“Hai orang-orang beriman, jika kalian menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.” (TMQ Muhammad [47]: 7).

 

Dengan demikian, dengan terbentuknya keluarga-keluarga pembela Islam yang sentiasa bertakwa kepada Allah, sentiasa menolong agama-Nya dengan memperjuang-kan tegaknya Islam secara kaffah, insya Allah pertolongan-Nya makin dekat, iaitu kejayaan Islam dan kaum Muslim segera boleh diraih kembali. Aamiin.

 

WallLaahu a’lam bi ash-shawaab.

 

#keluarga #islamicparenting #pendidikanislam #generasipejuang

Exit mobile version