Site icon MuslimahHTM News

Peranan Ulama Dalam Proses Perubahan Global

Peranan Ulama Dalam Proses Perubahan Global

 

Allah SWT. sangat mengagungkan ilmu dan meninggikan setinggi mungkin darjat para ulama. Rasulullah SAW. bersabda:

 

فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ

Keutamaan seorang alim (berilmu) dari seorang abid (ahli ibadah) adalah seperti keutamaanku dari orang yang paling rendah di antara kalian (HR at-Tirmidzi).

 

Ulama, tugasnya memperbaiki akidah (keyakinan) yang rosak, menjelaskan pemikiran yang salah serta menyuarakan kebenaran dengan penuh keberanian dan hujah yang tepat. Ulama, ketika berada di jalan Allah, tidak takut celaan orang yang suka mencela dan menyalahkan dirinya. Dia tidak peduli akan kedudukan orang yang mencela dirinya sama ada dari kalangan penguasa ataupun bukan. Kerana itu, dengan penuh keberanian dan hujah yang benar, para ulama menentang semua yang bertentangan dengan syariah dan menyerang semua kebatilan. Maksudnya, para ulama itu sangat konsisten dengan agamanya. Jika sikap seperti ini wajib ada bagi seorang muslim, tentu akan lebih wajib ada dalam diri para ulama.

 

Ulama rabbani yang mengamalkan ilmunya tidak mengenal rasa takut atau pengecut. Dia dihormati oleh rakyat dan ditakuti oleh penguasa. Ucapan yang keluar dari lidahnya mampu menggerakkan umat dan menggoncang para penguasa. Semua itu, tidak lain tidak bukan adalah kerana ilmu. Kerana ilmulah, Allah SWT. memuliakan ulama dan menghiasi hatinya. Terpancar dari para ulama sifat berwibawa, ketenangan, kesabaran dan ketakwaan. Sebabnya, mereka hanya takut kepada Allah SWT. semata. Mereka menentang setiap penguasa yang telah menyimpang dari jalan yang lurus tanpa memperdulikan seberapa kuat atau perkasanya penguasa itu. Bahkan, fitnah dan seksaan tidak akan dapat mengubah dan memalingkan para ulama dari berpihak pada kepentingan para penguasa. Para ulama juga bersedia menanggung semua bahawa dan cabaran dalam dakwah. Ini kerana, mereka telah memahami makna firman Allah SWT. :

 

وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ لَتُبَيِّنُنَّهُۥ لِلنَّاسِ وَلَا تَكۡتُمُونَهُۥ ١٨٧

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”.” [TMQ Ali Imraan (3): 187]

 

Negara Khilafah, dalam sejarahnya yang panjang, sarat dengan jejak-jejak besar para ulama rabbani ini. Tertulis dalam sikap mereka yang luar biasa terhadap para penguasa iaitu sikap-sikap yang dicirikan sebagai jujur serta berani. Keikhlasan juga tercermin dalam ketundukan mereka kepada Allah dan agama-Nya yang benar. Kerana itu kita dapat menemukan para ulama yang begitu lantang mengecam para penguasa akibat perbuatan dan polisi buruk mereka. Kita juga dapat menemukan, ada di antara mereka yang menasihati para penguasa, menolak pemberian mereka serta sabar dengan ujian yang mereka hadapi. Di antara mereka ada yang berusaha menghadapi para penguasa dengan perkataan yang haq, jelas, berani dan tidak berlapik tanpa kata metafora atau metonimia. Ini kerana, mereka tidak takut pada celaan para pencela. Kemudian, kita dapat melihat bahawa mereka begitu taat beribadah di dalam penjara, menulis serta membimbing manusia kepada apa yang bermanfaat buat mereka di dunia dan akhirat. Mereka adalah lilin yang bersinar dan lampu yang menerangi kemana jua mereka pergi.

 

Sayangnya, selepas Daulah Khilafah diruntuhkan oleh kaum kafir penjajah pada tanggal 28 Rejab 1342H/ 3 Mac 1924M, setelah lebih 1000 tahun memerintah, banyak ulama yang semakin lambat dalam mengemban Panji Islam. Ramai dari mereka yang tidak betul-betul menyokong kebenaran, mencegah kebatilan, melakukan amar makruf nahi mungkar serta meminta pertanggungjawaban para penguasa. Mereka tidak mengikuti jejak para pendahulu mereka yang soleh dari kalangan ulama rabbani agar umat memperolehi kemenangan yang nyata, juga untuk mengembalikan Islam pada posisinya yang utama dengan melanjutkan kehidupan Islam.

 

Ramai dari para ulama ini -kecuali beberapa orang- telah berubah menjadi agamawan menurut konsep Barat. Fahaman ini adalah salah satu dari konsep Barat yang paling berbahaya dan jahat. Istilah ini mengandungi konsep yang berbahaya serta makna yang rosak dan buruk. Istilah ini biasa digunakan oleh Barat untuk merujuk pada pendeta, biarawan dan uskup. Para agamawan ini berasa puas dengan situasi ini. Mereka mandiri dalam bidang kuasa keagamaan sementara para ahli politik mempertahankan kekuasaan duniawi. Perkara ini mengakibatkan pemisahan agama dari kehidupan, kemudian akan berpisahlah agama dari negara, pemerintahan dan juga politik. Konsep agamawan Barat ini juga difokuskan untuk ulama kaum muslim. Akibatnya, ramai ulama yang mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap masalah-masalah umat. Perhatian mereka terbatas pada aturan ibadah individu sahaja. Mereka puas dengan hanya menjadi pengikut, bukan menjadi orang yang diikuti. Bahkan mereka lebih memilih kehidupan dunia daripada akhirat.

 

Namun demikian, di tengah-tengah umat ini, masih boleh kita temui kelompok ulama rabbani yang mengikuti jalan pendahulu mereka, iaitu para ulama yang mengamalkan ilmu mereka. Di antaranya adalah :

 

Syeikh Muhammad Syakir rahimahullah.

Beliau meninggal pada tahun 1939M. Pada tahun 1900M, beliau dilantik menjadi Ketua Hakim di Sudan. Kemudian beliau berpindah ke Kairo untuk membantu Syeikh Al-Azhar yang diangkat menjadi wakil Masjid Al-Azhar pada tahun 1909M. Beliau merupakan ayah kepada dari Al-‘Allaamah al-Muhaddits, Ahmad Muhammad Syakir rahimahulLaah dan ayah kepada Syeikh al-Arabiyah dan pembawa panji-panjinya, Mahmud Muhammad Syakir rahimahullah.

 

Di antara sikap Syeikh Muhammad Syakir rahimahullah yang paling terkenal adalah ketika beliau berada di hadapan Sultan Hussein Kamel Ibnu Khedive Ismail yang disebut sebagai Sultan Mesir. Ketika itu, beliau sedang solat jumaat di Abdeen. Mereka memanggil Muhammad al-Mahdi kerana raja ingin solat di belakangnya. Ketika itu, Dr. Taha Hussein sudah kembali dari misinya ke Perancis dan telah memperolehi gelaran doktor. Dia disambut dengan hangat dan penuh penghormatan secara rasmi. Maka, sang khathib, Muhammad al-Mahdi ingin memuji Sultan Mesir, Hussein Kamel atas perhatiannya terhadap Dr. Taha Hussein. Al-Mahdi berkata, “Dia tidak bermasam muka dan tidak berpaling ketika datang orang yang buta.”

 

Ini adalah ta’ridh yang berisi penghinaan terhadap Nabi SAW. dan keterlaluan dalam menilai sikap Nabi SAW. terhadap Sahabat yang buta, Abdullah bin Umm Maktum ra. Setelah selesai solat, Syeikh Muhammad Syakir rahimahullah terus berdiri. Ketika itu, beliau merupakan wakil Masjid Al-Azhar. Beliau berkata, “Wahai manusia! Solat kalian tidak sah kerana khatibnya telah kafir!”

 

Ketika suatu fitnah terjadi di hadapan penguasa, Syeikh Muhammad Syakir tidak menunggu izin dari Sultan untuk menyuarakan kebenaran, memperbaiki kesalahan dan beramar makruf nahi mungkar. Kerana itu suaranya tetap bergema, “Wahai manusia! Solat kalian tidak sah kerana khatib kalian adalah seorang kafir!”

 

Tak cukup dengan itu, Syeikh Muhammad Syakir pergi ke Istana Sultan Hussein Kamel untuk menyerahkan fatwa yang ditujukan pada Sultan, mengundang Sultan untuk mengulangi solat dan menjelaskan kepada Sultan hukum syariah terkait hal itu. (Lihat: Al-‘Allâmah Ahmad Muhammad Syakir, Kalimah al-Haq, hlm. 150-151).

 

Syeikh Abdul Aziz al-Badri rahimahullah.

Beliau wafat pada tahun 1969M. Beliau merupakan salah seorang pengemban dakwah pertama di Iraq yang menentang kezaliman pihak berkuasa yang memerintah. Beliau menyerukan agar kehidupan Islam dikembalikan dengan mendirikan Khilafah. Beliau juga merupakan pengemban dakwah pertama yang dihukum bunuh di bawah pemerintahan rejim sebelumnya. Rejim itu sangat takut akan kekuatan pengaruhnya di dalam masyarakat. Tetapi, rasa takut tidak pernah masuk ke dalam diri beliau. Beliau menghadapi penindasan dari pemerintah dengan penuh keimanan, kesabaran dan keberanian. Dari mimbar ke mimbar, dari kota ke kota, beliau tetap menjelaskan kezaliman rejim dan pelanggarannya terhadap berbagai ketentuan hukum Islam.

 

Setelah jatuhnya monarki di Iraq pada tahun 1958M, gelombang komunis pula menyambar mangsanya. Beliau menghadapi komunisme di atas mimbar. Akibatnya, dia diletakkan di bawah tahanan rumah selama dua tahun sehingga pengampunan am dikeluarkan untuk ahli politik pada tahun 1961M.

 

Ketika perasmian Masjid Adila Khatun di Jambatan Sarafiya di sisi Rusafa, ketika sedang menyampaikan pidato di atas mimbar, beliau dikejutkan dengan kedatangan Abdul Salam Arif yang merupakan presiden Iraq pada masa itu. Tidak lama setelah Arif duduk, Syeikh Al-Badri mula menyampaikan pesan-pesannya yang terkenal tanpa rasa ragu atau takut, “Wahai Abdul Salam. Terapkan Islam. Jika anda mendekati Islam sedepa, maka kami akan mendekati anda sehasta. Wahai Abdul Salam, nasionalisme tidak dapat memperbaiki kami, dan hanya Islam satu-satunya tempat perlindungan kami.”

 

Selesai berpidato, beliau duduk di samping Presiden Iraq itu. Kemudian, Presiden Iraq bangkit dan menjabat tangannya sambil berkata, “Terima kasih atas keberanianmu ini!”

 

Syeikh Al-Badri melanjutkan pendekatannya yang berani. Beliau tidak menyerah pada keinginan para penguasa Iraq dan sentiasa mengkritik serta menasihati mereka dengan harapan para penguasa itu kembali pada kehidupan Islam. Beliau terus vokal menyuarakan kebenaran di mimbar-mimbar Baghdad.

 

Beliau juga sentiasa memulakan pidato dengan kata pengantarnya yang terkenal, “Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan perbuatan kami dan dari keburukan-keburukan para penguasa kami.” Beliau juga menutup pidatonya dengan mengatakan, “Ya Allah, berikanlah kami negara yang mulia, yang dengannya Islam dan penduduknya akan dihormati, kemunafikan dan orang-orangnya direndahkan. Jadikan kami di antara para penyeru ketaatan dan teladan di jalan-Mu. Beri kami dengan itu martabat dunia dan akhirat serta mati syahid di jalan-Mu.”

 

Tentu saja tindakan dan sikap Syeikh Al-Badri ini tidak menyenangkan rejim sebelumnya dan juga kroni-kroni mereka. Akibatnya, pada suatu malam ketika beliau pulang dari masjid setelah solat Isyak, kroni rejim menerkam beliau. Kemudian mereka pergi ke rumahnya dan menyita semua pidato serta kaset rakamannya termasuk dua kitab yang telah siap untuk dicetak, iaitu Kitabullah al-Khalid (Kitab Allah yang Abadi) dan Al-Islam Harb[un] ‘ala al-Isytirâkiyah wa al-Ra’sumâliyah (Islam Memerangi Sosialisme dan Kapitalisme).

 

Beliau ditangkap dan dipenjarakan di Qasr al-Nihaya, untuk diseksa dan disoal siasat oleh Saddam Hussein (pihak yang bertanggungjawab dalam isu keselamatan negara) dan Nazim Gazzar (bekas Pengarah Keselamatan Awam). Salah seorang saksi yang bersamanya di dalam sel berkata, “Saya tidak pernah melihat lelaki berani seperti dia di dalam penjara.  Dia diseksa dan hilang kesedaran, kemudian dia sedar dan diseksa lagi, sambil terus berzikir kepada Allah, dan kemudian hilang kesedaran sekali lagi.”

 

Mereka yang ditangkap bersamanya meminta beliau untuk berlembut sedikit dan diam. Bagaimanapun, beliau tidak mengiktiraf kesahihan Parti Ba’ath dan penyokongnya. Dia juga tidak memberikan sokongan kepada mereka. Sebaliknya, beliau menegaskan semasa siasatan bahawa mereka adalah agen penjajah.

 

Setiap kali, selepas diseksa, dia dihantar ke Hospital Tentera Al-Rasyid untuk memulihkannya daripada koma. Kemudian dia dihantar semula ke penjara untuk diseksa semula dan demikianlah seterusnya. Ketika diseksa dia selalu mengucapkan Asma Allah, membaca ayat-ayat Al-Quran, dan berdoa kepada Allah, sehingga dia mati di tangan orang-orang yang zalim. Dia dibunuh oleh kroni pemerintah di Baghdad pada 26 Jun 1969 Masihi semasa diseksa.  Dia kemudian dibawa ke Hospital Tentera Al-Rasyid untuk dimandikan dan dikafankan bagi menutup jenayah rejim. Beliau kemudian dimasukkan ke dalam keranda dan dilemparkan oleh tentera di hadapan rumahnya, lalu mereka melarikan diri.

 

Syaikh Al-Badri rahimahullah memiliki lima karya penulisan yang dianggap sebagai kitab terkaya yang ditulis di era modern kita tentang politik Islam, iaitu: Hukm al-Islâm fî al-Isytirâkiyah (Hukum Islam Tentang Sosialisme), Al-Islâm bayna al-Ulamâ’ wa al-Hukkâm (Islam; Antara Ulama dan Penguasa), Al-Islâm Harb[un] ‘ala al-Isytirâkiyah wa al-Ra’sumâliyah (Islam Memerangi Sosialisme dan Kapitalisme), Al-Islâm Dhâmin[un] li al-Hâjât al-Asâsiyah li Kulli Fard[in] (Islam Menjamin Keperluan Primer Setiap Individu) dan KitâbulLaah al-Khâlid al-Qurân al-Karîm (Al-Quran Mulia Adalah Kitab Allah yang Abadi). Selain itu ada puluhan ceramah dan pidato yang biasa beredar di masyarakat sebelum rejim menyita perpustakaan audionya, termasuk rakamannya, dan melarang peredarannya di pasaran (Lihat: Abdullah al-Uqail, Kitab Min A’lâmi ad-Da’wah wa al-Harakah al-Islâmiyah al-Mu’âshirah, hlm. 457; Dr. Muhammad bin Musa al-Syarif, artikel ‘Uzhamâ’ al-Mansiyûn: Al-Syâhid al-‘آlim al-Shâdi’ Abdul ‘Aziz al-Badri al-Sâmirâ’i, di Majalah al-Mujtama’, edisi 192).

 

Syeikh Al-Mufassir al-Muhaddits Thahir bin Asyur rahimahullah.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1973 M. Syeikh Ibn Asyur rahimahullah merupakan seorang ulama mujaddid (reformis). Untuk mengetahui tentang keperibadian dan pengetahuannya, kita tidak boleh hanya mengetahui satu aspek sahaja. Segala-galanya mesti diteliti bermula dari kehidupan, ilmu dan karya tulisannya iaitu pembaharuan dan reformasi melalui Islam; kemudian pandangan dan tulisannya yang muncul sebagai revolusi menentang fenomena taqlid dan stagnasi (kebekuan) pemikiran serta revolusi menentang kelemahan dan kehilangan intelektual serta peradaban. Judul kitab tafsir, At-Tanwîr wa at-Tahrîr, merupakan ringkasan dari judulnya yang panjang, iaitu Tahrîr al-Ma’na as-Sadîd wa Tanwrîr al-‘Aqli al-Jadîd min Tafsîr al-Kitâb al- Majîd.

 

Antara sikap terkenal Thahir bin Asyur rahimahullah adalah keengganan tegas beliau mengeluarkan fatwa yang membenarkan untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan. Itu berlaku pada tahun 1961 M. Pada masa itu, Bourguiba, bekas Presiden Tunisia, menyeru pekerja supaya tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan alasan untuk meningkatkan pengeluaran. Dia meminta Syeikh Assyria mengeluarkan fatwa di radio mengikut kehendaknya. Namun, Syeikh menjelaskan di radio mengikut kehendak Allah SWT. Selepas membaca ayat tentang puasa, Syeikh berkata, “Maha Benar Allah dan Bourguiba telah berdusta.”

 

Kenyataan kotor dan jijik serta seruan palsu ini mereda dan mati berkat kata-kata Ibnu Asyur (Lihat: Kitab Syeikh al-Jâmi’ al-A’zham Muhammad ath-Thâhir bin ‘Asyur Hayâtuhu wa آtsâruhu, karya Dr. Biqâsim Ghâli).

 

Syeikh Thahir bin Asyur rahimahullah menulis kritikan ilmiah sebanyak tiga puluh tujuh muka surat yang ditujukan pada kitab al-Islâm wa Ushûlul al-Hukm (Islam dan asas-asas Pemerintahan) yang ditulis oleh Ali Abdul Raziq pada tahun 1925 M. Kitab yang dikritik ini menimbulkan kegemparan kerana kitab ini jelas menyatakan penolakannya terhadap gagasan Khilafah dan menyeru kepada negara sivil.

 

Seruan

 

Wahai para ulama yang mulia!

 

Umat ​​ini sangat memerlukan ilmu dan keberanian anda terutamanya pada masa sekarang ketika mana terdapat seruan yang kuat untuk ke arah negara sivil yang tidak lain adalah negara sekular, juga menyeru kepada demokrasi yang tidak lain adalah sistem pemerintahan menggunakan ideologi kapitalis yang busuk.

 

Anda tahu bahawa Islam memiliki sistem pemerintahan sendiri. Negaranya adalah Khilafah, penguasanya adalah Khalifah. Dia dibaiat oleh kaum Muslim untuk didengar dan ditaati, untuk menerapkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya SAW.

 

Sungguh, anda tahu bahawa tidak ada peristiwa yang telah atau sedang atau akan terjadi sehingga Allah mewariskan bumi dan apa yang ada di dalamnya kecuali memiliki hukum syariah, dan tidak ada masalah kecuali ada penyelesaiannya iaitu hukum syariah. Untuk itu, wajib di tengah-tengah kaum Muslim ada para mujtadid yang mampu untuk menggali dan mengambil keputusan hukum untuk setiap masalah.

 

Bukan rahsia lagi bagi Anda bahawa semua penguasa Muslim tidak memerintah dengan Islam. Mereka setia pada kaum kafir. Mereka mengakui kekuasaan kufur atas negara-negara umat Islam. Mereka juga tidak berusaha untuk menghilangkan kekuasaan itu. Yang mereka lakukan justeru berusaha melindungi kekuasaan itu dan menormalisasikan agar kaum muslim menerimanya.

 

Kerana itu, anda wajib memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada Anda agar Anda tidak menjadi seperti orang-orang yang difirmankan oleh-Nya :

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّٰعِنُونَ  ١٥٩

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 159]

 

WalLaahu a’lam. [Muhammad Shalih]

Exit mobile version