[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN AYAT PILIHAN] SURAH HUD AYAT 116
فَلَوْلَا كَانَ مِنَ ٱلْقُرُونِ مِن قَبْلِكُمْ أُو۟لُوا۟ بَقِيَّةٍۢ يَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْفَسَادِ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّمَّنْ أَنجَيْنَا مِنْهُمْ وَٱتَّبَعَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مَآ أُتْرِفُوا۟ فِيهِ وَكَانُوا۟ مُجْرِمِينَ ١١٦
“Maka mengapa tidak ada dari umat-umat sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa.”
————
JADILAH SEBAHAGIAN DARIPADA KELOMPOK YANG MENGAJAK PADA KEBENARAN
Menurut penjelasan tafsir:
Mengapa orang-orang sebelum kalian tidak memiliki jiwa yang suci dan semangat yang tinggi, yang melarang orang lain berbuat kerosakan di muka bumi; kecuali sedikit dari mereka yang Allah selamatkan dengan kebaikan dan kesedaran mereka. Sedangkan orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri dan orang lain -dan mereka adalah majoriti- menempuh jalan berfoya-foya dan menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya, mereka berperang demi kekuasaan, kepemimpinan, dan kekayaan agar dapat bersenang-senang dengan harta dan kedudukan, mereka menempuh jalan ini dengan segala cara; mereka adalah orang-orang yang keji dan pembuat kerosakan serta berpaling dari jalan yang lurus dan memerangi kebenaran; sehingga mereka layak mendapat kebinasaan.
(Tafsir Al-Madinah Al-Munawwarah [Markaz Ta’dzhim al-Qur’an di bawah pengawasan Syaikh Prof. Dr. Imad Zuhair Hafidz, professor fakulti al-Quran Universiti Islam Madinah)
Antara pelajaran penting bagi kita sebagai umat Islam adalah agar tetap bersama sekelompok ummah yang konsisten dalam kebenaran dan melakukan dakwah kepada Islam kaffah. Kita mesti berani melakukan muhasabah dan mengajak manusia untuk meninggalkan kerosakan. Terutama pada hari ini, terdapat banyak idea-idea atau fahaman yang menyimpang dari syariat seperti pluralisme, hedonimse, kebebasan seksual, liberalisme dan lain-lain lagi. Gagasan ini sebenarnya muncul daripada idea sekularisme yang tidak menjadikan agama sebagai cara hidup, namun sebatas kepercayaan peribadi yang ditolak daripada diterapkan dalam sistem kehidupan masyarakat. Fahaman daripada Barat ini menganggap agama mengongkong kehidupan manusia dan kebebasan manusia daripada bertingkah laku. Justeru, idea-idea ini bukan sekadar merosakkan pemikiran masyarakat Barat, bahkan turut menular ke negeri-negeri umat Islam pada hari ini. Sebagaimana yang telah kita saksikan, kebebasan seksual, pemikiran liberal dan budaya berhibur tidak syarie telah menjadi normalisasi dikalangan sebahagian masyarakat muslim. Lebih menyedih, pemimpin-pemimpin muslim pada hari ini turut membenarkan kemaksiatan dan kemungkaran berlangsung di dalam negeri pimpinan mereka. Konsert dianjurkan secara besar-besaran, keharaman seperti judi, industri arak, sistem kewangan berasaskan riba, juga dibangunkan. Justeru, menjadi tanggungjawab ummah ini untuk memperbaiki kerosakan yang sedang berlaku dalam masyarakat dengan mengajak mereka untuk meninggalkan kemaksiatan dan kemungkaran. Serta mengingatkan mereka kepada peringatan-peringatan yang Allah swt sampaikan kepada kaum yang engkar. Para pendakwah perlulah berpegang teguh pada agama Allah sekalipun dibenci dan dimusuhi kerana menyampaikan yang haq. Mereka perlu sabar dan terus ikhlas melaksanakan tanggungjawab ini atas dasar kesedaran terhadap iman dan pemahaman terhadap seruan yang telah disampaikan oleh Allah dan Rasul-Nya. Wallahu`alam.

