Site icon MuslimahHTM News

MENGHIDUPKAN KEMBALI WARISAN ILAHI : MENGAPA UMAT ISLAM WAJIB KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

MENGHIDUPKAN KEMBALI WARISAN ILAHI : MENGAPA UMAT ISLAM WAJIB KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Oleh : Ummuhuda

 

Pendahuluan

 

“Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan keduanya , iaitu kitab Allah  dan Sunnah nabiNya” (HR Muslim)

 

Hadith ini adalah wasiat penting Rasulullah saw kepada umat Islam bahawa Al-Quran dan As-Sunnah adalah warisan Ilahi yang paling berharga dikurniakan Allah untuk terus dipelihara sebaik-baiknya. Rasulullah saw telah berjaya membina sebuah peradaban ketamadunan yang sangat unggul dengan menerapkan apa yang terkandung di dalam kitab Al-Quran. Para sahabat Rasulullah saw turut menjalani kehidupan dunia ini seolah-olah mereka seperti Al-Quran yang berjalan. Mereka sentiasa menelaah ayat-ayatnya , membacanya bersungguh-sungguh, mengamalkan isinya dan mendakwahkannya. Jiwa mereka tergetar oleh ayat-ayat ahzab, dan hati mereka pun menjadi tenang kerana ayat-ayat rahmat. Air mata mereka bercucuran kerana tunduk terhadap kemukjizatan dan keagungannya , serta patuh terhadap hukum-hukum dan hikmahnya. Mereka menerima ajaran dan didikan Al-Quran secara langsung dari Rasulullah saw sehingga ayat-ayatnya menusuk dalam lubuk hati mereka yang paling dalam. Oleh yang demikian, mereka memiliki syaksiyah yang tinggi serta menjadi pemimpin yang adil. Setelah kewafatan Rasulullah saw, para sahabat tetap berterusan memelihara Al-Quran, sebagaimana wasiat Rasulullah saw. Maka para pemelihara Al-Quran ini sentiasa berada di barisan terdepan ketika melaksanakan amar makruf dan nahi munkar. Mereka juga sentiasa menjadi terdepan dalam segala kebaikan dan terdepan dalam menghadapi segala rintangan di jalan Allah swt seperti yang telah ditunjukkan di zaman khulafa al-Rasyidin, khilafah Umaiyyah, khilafah Abbasiyah dan seterusnya khilafah Uthmaniah.

 

Menghidupkan Sunnah rasulullah saw Dalam kehidupan

 

Kini tahun 1445H ( 2024M) telah memberi gambaran yang jelas bahawa jarak waktu antara umat kini dengan Rasulullah saw saban tahun semakin jauh. Malah, kejatuhan sistem Khilafah 100 tahun yang lalu telah mengubah landskap pemerintahan negeri-negeri umat Islam yang telah dicerai-beraikan oleh kaum kuffar. Saat ini umat Islam mengalami kemunduran yang amat parah dari pelbagai aspek termasuklah ekonomi, sosial, budaya, moral, politik dan sebagainya. Hal ini diburukkan lagi dengan kemusnahan keilmuan Islam dalam beberapa siri peperangan melawan kaum kuffar sebelum kejatuhan Khilafah. Namun, Allah swt berfirman

 

“Sesungguhnya Kami-lah yang telah menurunkan Al-Quran dan Kami-lah yang akan memeliharanya” [TMQ Al Hijr [15}: 9]

 

Beruntungnya umat Islam dengan jaminan bahawa Allah akan memelihara kitabNya ini. Sebagaimana hadis di atas, dalam usaha kita untuk mengembalikan kehidupan Islam, kita wajib berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah agar kita tidak sesat. Inilah tinggalan Rasulullah saw paling berharga bagi umat Islam. Al-Quran akan membimbing kita untuk meraih semua kebaikan, dan mengangkat kedudukan kita lebih tinggi. Kita mesti sentiasa memeliharanya dengan membaca, memahami , menyakini dan mengamalkannya, sehingga kita menjadi sebaik-baik generasi khalaf, mewarisi generasi salaf yang terbaik. Begitu juga As-Sunnah yang secara bahasa berarti jalan yang ditempuh (at-thariqat al-maslukah). As-Sunnah menurut istilah bermakna segala sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah saw, baik berupa perkataan (qawl), perbuatan (fi’il) atau ketetapan (taqrir).

 

Ada sebuah ayat di dalam Al-Quran yang mengabadikan perkataan Rasulullah saw yang sedang mengeluh akan sikap umatnya terhadap Al-Quran. Allah swt berfirman :

“Dan Rasul itu ia berkata, Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini diabaikan.” (TMQ Al-Furqan [25] : 30).

 

Imam Ibnu Taimiyyah menyebutkan bahwa ada tiga golongan orang yang mengabaikan Al-Quran: Orang yang tidak membaca Al-Quran, maka sungguh dia telah mengabaikan Al-Quran. Orang yang membaca Al-Quran akan tetapi tidak mentadabbur (mempelajari, merenungi) maknanya maka sungguh ia telah mengabaikan Al-Quran. Dan orang yang membaca lalu mentadabburnya, akan tetapi tidak mengamalkannya maka sungguh ia telah mengabaikan Al-Quran.

 

Khatimah

 

Oleh itu, jelas mengambarkan kepada kita bahawa adalah menjadi tanggungjawab besar kepada setiap umat Islam untuk sentiasa memartabatkan Al-Quran dan AS-Sunnah ini dalam kehidupan seharian. Segala masalah kehidupan manusia yang berlaku pada masa kini akan dapat diubati dengan memahami dan memikirkan isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah. Langkah ini akan dapat membangkitkan umat Islam dalam pembangunan kualiti diri untuk menjadi sebahagian daripada pembawa perubahan serta seterusnya menegakkan kembali Islam pada kedudukan tertinggi yang diredhaiNya. Moga kesedaran umat ini dengan izinNYA akan lebih cepat tegaknya  semula zaman kegemilangan Islam mengikut manhaj Rasulullah saw.

 

Rujukan

  1. Pilar-pilar pengukuh nafsiyah Islamiyah, HTI Press 2016 : Memelihara Al-Quran
  2. Al-Wa’ie Edisi Muharram, 1-31 Agustus 2023/ Muharram 1445H
  3. http://Kagat.army.mil.my: Al-Quran dan Hadith warisan tinggalan nabi
  4. Studi Dasar-dasar Pemikiran Islam : Muhammad Husain Abdullah, Pustaka Thariqul Izzah 1432H/2011M

 

Exit mobile version